-->

Bunga padi untuk Bunohan

Posted by Admin Tuesday, March 20, 2012 0 comments

BERPERANG dengan rasa, separuh bangga, separuh gemuruh dan separuh lagi bersungguh-sungguh, semuanya bergaul dan berpusar membentuk hanya satu perkataan yakni Bunohan. Itu judul sebuah filem nasional tetapi tidak keterlaluan disebut sebagai filem antarabangsa. Bunohan buah tangan anak bangsa sendiri yang meraih pencapaian di luar negara sebelum ia ditonton, jauh lagi diiktiraf di tanah sendiri.

Kepada tiga pembawa karakter, Zahiril Adzim, Tengku Azura dan Amerul Affendi, mereka barangkali bukan nama besar dalam ruang perfileman di Malaysia. Selepas Bunohan, panji-panji kemegahan bergelar anak wayang bagaimanapun layak berada di tangan mereka.

Masuk hari keempat menembusi 40 panggung serata negara, tiga serangkai itu masih dahagakan lebih banyak reaksi. Tiada istilah tamak mengejar angka kutipan box-office, hakikatnya mereka mahu berkongsi keghairahan. Darah, pengkhianatan, mitos bersalut realiti, setiakawan, dosa silam dan hubungan tiga bersaudara dalam Bunohan, menjadikan ia filem yang wajib ditonton.

Bertukar tajuk daripada Bunga Lalang menjadi Bunohan, suatu masa nanti, jika masin mulut kaki filem, bunga-bunga padi yang biasanya menjadi simbol kemenangan di mana-mana festival filem akan terhias pada nama-nama pelakon mahupun poster Bunohan sendiri.


Tebus dosa

Semangat Zahiril Adzim berkobar-kobar, menggunung dan membesar mengatasi saiz fizikalnya. Sementelah, dia dikenali bukan kerana tubuh tapi atas lakonan yang hidup di mata penonton.



"Tidak pernah lagi perasaan saya seumpama ini, tak pernah lagi berlakon filem yang ditunggu-tunggu ramai seperti yang berlaku kepada Bunohan," lontarnya seperti melepas lelah yang tersimpan sekian tahun.

Dalam senyum bersalut lega, penggerak watak Adil yang dipuji cemerlang itu menambah: "Kalau difikir-fikirkan, kerja dalam Bunohan ini seumpama menebus dosa-dosa lakonan saya terdahulu. Saya kena berlakon untuk meneruskan kehidupan sebagai pelakon. Seperti kata sifu saya, Namron, seniman juga harus makan.

"Semasa berlakon sebelum ini, kalau apa yang saya lakonkan itu betul, maka betullah yang dirasakan pihak lain, tapi kalau saya rasakan lakonan saya itu salah, ia tetap dilihat betul. Bunohan tidak begitu, ia kembalikan nilai sebuah lakonan."

Tiga bulan masa yang diambil untuk kerja eksplorasi dan persembahan karakter, itu juga satu tindakan yang tidak pernah dibuatnya sepanjang bergelumang dengan lakonan, baik teater, drama mahupun filem.

"Dalam tempoh itu, saya tak rasa perlu ambil kerja lain, semua yang terlibat pun buat benda yang sama. Saya banyak kali terfikir, kenapa Dain (pengarah Bunohan) ambil saya, tapi dapat kerja dengan dia pun sudah rasa besar hati sangat-sangat.

Berlawan tomoi seperti ayam sabung di tengah gelanggang, jerit-pekik penonton yang mengharapkan salah seorang tumbang menghabiskan perlawanan, situasi sebegitu beri persepsi baharu kepada Zahiril.

"Penonton yang tengok orang berlawan tomoi macam tengok sabung ayam, mereka suka kalau ada peninju yang jatuh atau berdarah. Itu keseronokan. Saya yang berlakon ketika itu rasa macam betul-betul tengah berlawan. Penggambaran untuk babak perlawanan mengambil masa empat hari untuk selesai," ceritanya yang mendapat keyakinan, fizikal seseorang petinju tomoi tidak perlu besar bersayap untuk diyakini dalam filem.


Tengku Azura ke layar perak

Di pentas peragaan, kelibat Tengku Azura masih dipuja. Tahun ini, Azura mengalih perhatian ramai. Dia membikin cemburu banyak aktres handalan lain kerana menjadi satu-satunya bunga di kalangan kumbang Bunohan.

Kepada Azura, 37, tiada istilah terlewat untuk menjadi pelakon filem. Sedar persepsi itu yang mungkin ada di benak ramai, ibu kepada dua cahaya mata itu melenturkan penjelasan.

"Selama ini saya tak melihat diri saya sebagai seorang pelakon, saya peragawati. Saya pernah muncul sebagai pelakon undangan dalam Spa Q dan sebuah naskhah komedi tak lama dahulu tapi saya kenal Dain dengan hasil kerjanya dalam filem iklan komersial," katanya yang cukup terkenal dalam bidang diceburi sejak lebih 20 tahun lalu.

Berselut, digigit lintah dan direndam dalam paya sehingga ke paras dada, itu cabaran fizikal yang ditempuh Azura untuk menyerap roh Mek Yah, satu-satunya kaum Hawa yang dipersembahkan dalam Bunohan.

Mati beragan dan bertukar menjadi makhluk yang hanya wujud di alam mistik, Azura turut menyifatkan Mek Yah satu watak yang mengembalikan dirinya mengenal leluhur.

"Sepanjang cerita, saya hanya berkain batik dan berkaki ayam. Memanglah, saya lahir di Kuala Lumpur tetapi ibu saya berasal dari Terengganu. Ada satu babak dirakam di sebuah kampung, kalau tak silap saya Kampung Payang.



"Menurut ibu saya, itu kampung arwah nenek saya. Ia memang sesuatu yang sangat sentimental," katanya harus menukar lidah Terengganunya menjadi Mek Yah yang bertutur loghat Kelantan.

Mengharapkan impak serta penerimaan positif penonton di Malaysia terhadap filem sulungnya itu, Azura tidak malu mengakui, keterujaan paling membuak buat dirinya adalah melihat diri sendiri di layar perak.

"Ini pengalaman pertama saya, saya nak tengok diri saya dalam skrin besar dan saya gembira dengan hasilnya," ketawanya berderai mengutarakan lintasan kecil yang menyelinap dalam hati.


Amerul dalami kedaifan

Tidak popular di mata khalayak yang bukan pencinta tegar teater dan filem, wajah bersegi dan karakter menunduk Amerul Affendi bagaimanapun mulai digemari kanak-kanak menerusi siri Cuak di Astro Ceria. Selain Cuak yang boleh dijadikan rujukan semasa buatnya, Amerul antara pendokong filem Karaoke yang pernah ditayangkan di Festival Filem Cannes tahun 2009. Dia juga mencuri perhatian dengan watak dalam filem Tolong Awek Aku Pontianak.

"Saya tak banyak berlakon tapi kanak-kanak panggil saya abang Ucin, setidak-tidaknya ada juga yang nampak kehadiran saya. Itu kerja cari makan saya dalam industri," luahnya.

Sedikit terkebelakang berbanding Zahiril yang pernah bersama-sama dengannya dalam teater mahupun filem, dia muncul sebagai Muski yang menjadi teman seguru dan regu terbaik di sisi Adil atau Bunga Lalang lakonan Zahiril.

"Muski dan Adil anak didik Pak Wah (Namron). Dalam persahabatan, dia ada simpan perasaan untuk diberi perhatian sama macam Adil. Pak Wah tak beri peluang untuk dia naik gelanggang tapi tetap anggap Adil sebagai kawan baik.

"Saya boleh kata bahawa Muski seorang yang oportunis, dia cuma mahu ambil kesempatan," Amerul menyimpan sedikit suspen watak Muski untuk disaksikan sendiri penonton Bunohan.

Bertubuh kurus dan jauh dari pada budaya budak kampung yang serba daif, Amerul menyelami situasi Bunohan dengan cara tersendiri.

"Saya tak pernah kenal seni mempertahankan diri, jadi kena dapatkan roh selain latihan intensif untuk masuk gelanggang. Saya berjaya naikkan berat badan menjadi 63 kilogram, walaupun kurus tapi badan kena nampak pejal sesuai dengan watak budak kampung yang daif.

"Cuba tak mandi, pakai baju yang sama berhari-hari untuk dapatkan tubuh berminyak, berdaki dan tidak terurus. Mula-mula rasa geli tapi lama-lama jadi selesa. Setiap karakter sangat bertepatan dengan latar lokasi yang kami lalui," ujarnya yang banyak belajar ilmu seni tomoi daripada Wanji, salah seorang koreografer seni lawi ayam untuk Bunohan.



Enggan jadi perosak filem besar itu, dia menolak rasa kecil ketika berganding pelakon hebat lain seperti, Namron, Bront Palarae, Zahiril, Shoffi Jikan dan Faizal Hussein terutamanya. Jika Bunohan itu dikatakan menjual lelaki, Amerul ada persepsi berbeza.

"Lelaki memang nampak keras tetapi hatinya lembut. Pertentangan anak dengan ayah, adik beradik, kawan jadi lawan tapi di hujungnya tetap ada ikatan yang tak boleh diketepikan," katanya.

Berlapis bahasa sinema, landskap dan budaya, kata seorang pemerhati, tidak salah menonton Bunohan sebagai satu bahan hiburan. Tidak habis di panggung, ia menjadi isi buah fikiran sebagai bekal diskusi sebuah khazanah seni masa hadapan. Visual dan rasa yang ditebarkan Bunohan akan terbawa-bawa oleh khalayak sehingga ke luar panggung.

- Dipetik dari KOSMO! Online 11032012

0 comments:

Post a Comment