-->

Kisah busana mewah

Posted by Admin Friday, March 23, 2012 0 comments
 

Sama ada kita akui atau tidak, terma fesyen yang paling disalah guna pakai masa kini, tentunya haute couture.

Dalam kalangan pereka fesyen, masing-masing mempunyai interpretasi berbeza-beza tentang maksud haute couture mengikut era semasa. Gelaran couture tidak semestinya merujuk kepada busana mewah atau fesyen berkelas tinggi.

Semasa remaja, pada zaman persekolahan-lewat 80-an, saya membesar di Seremban, Negeri Sembilan. Sepanjang tempoh berkenaan, minat saya mula cenderung pada bidang fesyen, tetapi malangnya tiada tempat untuk saya menumpahkan idea kreatif. Malah, saya langsung tidak mengenali sesiapapun yang terlibat dalam industri fesyen.

Majalah fesyen menjadi teman setia saya ke mana-mana saja. Pada masa itu, saya kerap mengunjungi kedai buku semata-mata untuk membaca koleksi majalah fesyen antarabangsa yang harganya sedikit mahal berbanding majalah tempatan. Setiap helaian majalah saya amati sebaik-baiknya kerana itu saja cara terbaik untuk menghilangkan kebosanan.

Setiap bulan saya tidak pernah gagal membaca majalah Vogue edisi United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS). Ia sudah menjadi rutin wajib yang secara tidak langsung menyuntik inspirasi untuk saya lebih mengenali fesyen. Sehingga kini saya masih menyimpan isu-isu yang menampilkan cerita tentang Cindy Crawford dan Christy Turlington.

Mereka antara supermodel yang tiada tandingan dari dahulu, kini hingga akan datang. Majalah British Vogue banyak menyajikan penulisan fesyen yang disertakan visual indah hasil daripada lensa foto jurugambar handalan dunia seperti Patrick Demarchelier.


Cetus semangat

Pengalaman menatap imej-imej fesyen yang hebat telah membuatkan saya bertekad untuk menjadi salah seorang pengamal fesyen dalam industri yang mencabar ini.

Masih teringat bagaimana suatu ketika dulu, saya teruja ketika membeli majalah American Vogue - isu September. Ia memaparkan cerita couture bersama Linda Evangelista. Koleksi foto yang dirakamkan penuh fantasi, rekaan busana yang hebat dari segi buatan dan struktur.

Bertitik tolak dari hari itu, saya mula mengerti tentang keajaiban dan keistimewaan rekaan yang ditakrifkan sebagai couture.

Bagi saya, pereka fesyen yang paling menjadi inspirasi ialah Elsa Schiaparelli. Saya mengagumi hasil rekaan fesyen beliau yang mencetus revolusi, radikal, terkehadapan, moden dan malar segar.

Karl Lagerfeld pula merupakan couturier yang saya hormati kerana kariernya yang cukup prolifik serta malar segar. Beliau sentiasa tampil dengan idea baharu dalam setiap koleksi couture rekaannya. Lagerfeld jarang sekali mengamalkan konsep kitar semula dalam karya beliau.

Dia mungkin mengaplikasi teknik couture yang sedia ada, tetapi dengan gaya olahan yang kontemporari. Lagerfeld telah mencipta semua signatur Chanel yang wujud pada era ini.

Pada saya, haute couture adalah mengenai pembuatan. Saya cukup menghargai semua kerja tangan yang halus dan teliti dalam penghasilan perincian pakaian couture. Ini termasuklah seni sulaman ataupun lipatan. Saya berhasrat suatu hari nanti untuk mereka pakaian couture. Namun, kita boleh mencapai banyak perkara sebelum melonjakkan harga terlalu tinggi.


Ringan walau dramatik

Bila kita memperkatakan tentang teknik pembuatan, couture mampu membuatkan pakaian yang nampak dramatik dan agak berat, namun ia rasa ringan apabila si pemakainya bergerak. Ajaib bukan? Potongan dan bentuk pakaian couture yang jitu membolehkan pemakainya bebas bergerak.

Cristobal Balenciaga pada pandangan saya adalah merupakan pereka yang paling meninggalkan pengaruhnya dalam fesyen. Beliau begitu terperinci dalam aspek konstruksi reka bentuk koleksi pakaiannya dan memberikan penekanan pada streamlined shapes.

Paling penting, couture perlu sesuai untuk sesiapa sahaja yang mahu memakainya. Wanita tersebut juga perlu selesa memakainya. Semuanya adalah mengenai sifat dan perilaku seseorang wanita.

Saya pula sering mereka pakaian untuk senang dipakai. Idea saya untuk berkarya datang dari pelbagai inspirasi, mungkin daripada karya seni, filem, muzik, gaya fesyen jalanan, budaya serta apa jua yang berlaku di sekeliling saya.

Fesyen sepatutnya menjadikan kita lebih ceria apabila memakainya. Ia juga harus mempunyai ciri senang dipakai walapun berlabel avant-garde. Jika ia tidak boleh dipakai, ia adalah kostum.

Dunia fesyen kini telah banyak berubah dibandingkan dengan era 70-an, 80-an dan 90-an.

Pada masa hadapan, couture perlu diadaptasi kepada golongan muda. Kita harus akui bahawa sasaran couture selalunya untuk pelanggan yang lebih berumur.

Namun begitu terdapat pelanggan lebih muda yang tahu menghargai hasil seni ini, tetapi malangnya tidak mampu untuk memilikinya.

Bagaimanapun, ramai penggerak industri hari ini berpendapat bahawa untuk menjadi relevan pada waktu semasa, couture perlu lebih diadaptasi sebagai rekaan sedia pakai. Perspektif anda pula bagaimana? Tepuk dada tanya selera. Ops, salah...tepuk dada tanyalah iman (",).

- Dipetik dari KOSMO! Online

0 comments:

Post a Comment