-->

Idea Ridsect untuk Pusat Darah Negara

Posted by Admin Wednesday, March 21, 2012 0 comments

DALAM memupuk semangat membantu dan berkhidmat untuk masyarakat, SC Johnson, syarikat pengeluar jenama racun serangga Ridsect baru-baru ini melancarkan program kempen menderma darah dan pembasmian denggi.

Dilakukan dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN), program sehari itu berlangsung di ruang legar kompleks beli-belah, Jaya 33 di Petaling Jaya, Selangor.

Pengurus Besar, Kelompok Melayu bagi SC Johnson & Son, Ramon Daez berkata, program itu diadakan bagi mengisi bekalan darah yang semakin menyusut di PDN berikutan cuti panjang sempena perayaan Tahun Baru Cina yang lalu.

Katanya, sebanyak 99 kampit beg darah berjaya dikumpulkan daripada pengunjung dan kakitangan pelbagai syarikat di kompleks berkenaan.

"Program kemasyarakatan ini adalah dalam usaha membantu menambahkan jumlah simpanan dalam tabung darah yang kadangkala mencapai tahap kritikal.

"Kami berharap, pada masa sama ia dapat meningkatkan kesedaran masyarakat untuk membantu menyelamatkan nyawa orang lain melalui aktiviti menderma darah," katanya.

Ramon memberitahu, pihaknya turut meletakkan sasaran untuk memberikan 1,000 pain darah kepada PDN menjelang bulan Mei nanti.

"Sejak dianjurkan, ia telah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat. Pada tahun lalu sahaja kami berjaya mengumpulkan 400 orang penderma di empat buah lokasi di sekitar Lembah Klang.

"Kami merancang untuk mengadakan kempen yang sama di Menara Millenium dan Menara Hap Seng dalam masa terdekat nanti," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Ramon berkata, selain kempen menderma darah, pihaknya turut menyokong pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan untuk menghapuskan nyamuk aedes.

"Program ini ibarat serampang dua mata. Selain menderma darah, pengunjung juga berpeluang membawa pulang produk perlindungan nyamuk," katanya.

Maklumat dan risalah mengenai langkah-langkah menghindari denggi dan membasmi nyamuk aedes turut dibawa pulang pengunjung. - AMMAR JAZLAN MAD LELA

- Dipetik dari KOSMO! Online 21032012

0 comments:

Post a Comment