-->

Chong Wei rehat lima minggu

Posted by Admin Friday, March 23, 2012 0 comments
CHONG WEI sedang diperiksa oleh dua pegawai perubatan ISN di Bukit Jalil semalam 
sambil diperhatikan oleh jurulatihnya, Seu Bock.

JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei memerlukan tempoh tiga hingga lima minggu sebelum kembali pulih sepenuhnya daripada masalah kecederaan bahu yang dialaminya ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz berkata, dalam tempoh tersebut, Chong Wei hanya akan menjalani latihan ringan bagi mengekalkan tahap kecergasannya.

“Proses pemulihan Chong Wei kini telah memasuki minggu kedua sejak dia mengalami kecederaan ketika beraksi pada kejohanan badminton Seluruh England (minggu lalu).

“Kami (ISN) perlu melaku- kan rawatan secara terperinci dan membuat keputusan tentang penglibatan dan aktiviti Chong Wei supaya dia dapat meneruskan latihan bagi mengekalkan tahap kecergasannya,” kata Dr. Ramlan.

Beliau berkata demikian ketika sidang media khas bagi memberi penjelasan lanjut berhubung kecederaan bahu kanan yang dialami Chong Wei di pejabat ISN di Bukit Jalil semalam.

Turut hadir ialah jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock.

Terdahulu, Dr. Ramlan yang mengulas mengenai laporan ujian Magnetik Reso- nance Imaging (MRI) yang dijalani Chong Wei di Hospi- tal Pakar Damansara kelma- rin menjelaskan bahawa kecederaan yang dialami pemain No. 1 dunia itu tidak melibatkan kecederaan struktur.

Sebaliknya, ia hanya kecederaan melibatkan sekumpulan otot di bahagian bahunya.

“Ini adalah satu petanda yang baik dan ia bukanlah kecederaan yang boleh memudaratkan.

“Rawatan yang kami mulakan sebelum ini sebaik Chong Wei mengalami kece- deraan tersebut adalah rawatan yang betul. Jadi, Chong Wei tidak memerlu- kan rawatan khas atau pembedahan,” jelasnya.

Sementara itu, Seu Bock mengesahkan bahawa Chong Wei, 30, terpaksa diketepikan daripada membarisi skuad negara menjelang aksi peringkat kumpulan Piala Axiata 2012 di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur yang akan bermula hari ini.

Katanya, ia bagi memberi ruang kepada pemain itu menjalani proses pemulihan.

“Dengan keadaannya ketika ini, Chong Wei memang tidak dapat beraksi.

“Begitupun, sekiranya skuad negara layak ke peringkat separuh akhir, kita akan lihat bagaimana dengan tahap kecederaannya ketika itu sama ada dia boleh beraksi atau tidak.

“Jika dia boleh beraksi mungkin dia akan beraksi tetapi ia bergantung kepada proses pemulihannya,” kata Seu Bock.

Tanpa kelibat Chong Wei, tempatnya selaku perseorangan pertama hampir pasti akan diambil alih oleh Muhammad Hafiz Hashim yang disenaraikan selaku perseorangan kedua pada Piala Axiata.

Selain Chong Wei dan Hafiz, skuad negara yang dikenali sebagai Malaysia Tiger turut dibarisi Liew Daren, Muhammad Arif Abdul Latif serta beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Goh V Shem-Lim Kim Wah.

Skuad negara yang diundi dalam Kumpulan K akan membuka tirai saingan menentang Filipina hari ini.

Dua lagi anggota kumpulan itu ialah Thailand dan Rajawali dari Indonesia.

- Dipetik dari KOSMO! Online 23032012

0 comments:

Post a Comment