-->

Button berhak menang

Posted by Admin Tuesday, March 20, 2012 0 comments

MELBOURNE - Martin Whitmarsh memberi pujian kepada Jenson Button selepas pemandu Britain itu menjuarai perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Australia kelmarin.

Ketua pasukan McLaren itu berkata, kemenangan tersebut adalah sangat penting, terutamanya bagi meningkatkan tahap keyakinan pasukan dalam misi memburu gelaran juara dunia musim ini.

Katanya, kejayaan Button bergelar juara dan rakan sepasukannya, Lewis Hamilton menduduki tempat ketiga membuktikan bahawa McLaren kini bersedia memberi cabaran kepada Red Bull Racing dalam perebutan gelaran juara dunia.

"Secara keseluruhannya, kami (McLaren) memang berhak untuk berasa gembira kerana kami telah bergelar juara.

"Yang pasti, kami telah membuktikan bahawa kami memiliki jentera yang pantas.

"Saya fikir, memulakan saingan musim ini dengan kemenangan telah meningkatkan tahap keyakinan pasukan. Kami berhak untuk bergelar juara dunia," kata Whitmarsh.

Pada perlumbaan di Litar Albert Park itu, Button yang merupakan bekas juara dunia 2009 mencatat masa terpantas 1 jam 34 minit 09.565 saat.

Juara bertahan, Sebastian Vettel dari Red Bull menduduki tempat kedua, manakala rakan sepasukan Button, Hamilton ketiga.

Mengulas lanjut mengenai kejuaraan yang dilakar Button, Whitmarsh memuji sifat ketenangan yang dipamerkan pemandu tersebut sepanjang perlumbaan berlangsung.

"Button bijak mengawal emosi dan dia seorang pemandu yang sentiasa tenang.

"Sebelum ini, ramai orang memandang rendah kemampuannya. Mereka menganggap Button tidak tenang, matang dan sukar untuk bergaul dengan orang. Namun, orang ramai tidak mengetahui situa-si sebenar Button.

"Dia memiliki semua sifat-sifat tersebut dan ia adalah kunci kejayaan Button hari ini (kelmarin)," kata Whitmarsh. - AFP

- Dipetik dari KOSMO! Online 20032012

0 comments:

Post a Comment