-->

Jaringan jadi penentu

Posted by Admin Tuesday, March 20, 2012 0 comments
 

WOLVERHAMPTON - Perbezaan gol bakal menjadi penentu dalam perebutan gelaran juara Liga Perdana England musim ini.

Pengurus Manchester United, Alex Ferguson berkata, situasi tersebut akan diambil kira selepas pasukan itu membelasah Wolverhampton Wanderers 5-0 di gelanggang lawan semalam.

Kemenangan tersebut memberi peluang kepada skuad The Red Devils untuk melebarkan jurang mata di kedudukan teratas liga iaitu empat mata di depan Manchester City.

Bagaimanapun, kemenangan itu lebih bermakna buat Ferguson apabila berjaya 'menutup mulut' pengkritik yang mempersoalkan kemampuan pasukan itu selepas tersingkir daripada saingan Liga Europa dan Liga Juara-Juara musim ini.

Javier Hernandez meledakkan dua gol, manakala Jonny Evans, Antonio Valencia dan Danny Welbeck masing-masing menyumbat satu gol untuk memberi tekanan kepada skuad bimbingan Terry Connor.

Ketika ini, Wolves menghuni tangga tercorot liga selepas hanya mengutip 22 mata daripada 29 perlawanan musim ini.

Ferguson yang berpuas hati dengan persembahan para pemain United berkata: "Jumlah gol sangat penting dan ia mungkin menjadi sesuatu yang penting pada akhir musim ini.

"Kami berjaya mengecilkan jurang gol dengan City. Kami berharap untuk melebarkan jurang tersebut.

"Masih ada baki 10 perlawanan untuk diharungi dan kami akan menghadapi perlawanan itu satu demi satu. Saya berharap, kami akan mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Kami akan terus memberikan saingan. Kami sentiasa berharap untuk melakukan yang terbaik dan mengelak daripada beraksi dengan buruk.

Ferguson berkata, persembahan para pemainnya sangat baik dan beliau tidak mengharapkan sesuatu yang istimewa.

"Ia adalah sesuatu yang hebat dan jumlah jaringan kelihatan seperti kami sangat komprehensif tetapi penamat kami sangat baik.

"Seperti selalu, Wolves sering kali menyukarkan kami tetapi persembahan kami sangat baik."

- AFP

- Dipetik dari KOSMO! Online 20032012

0 comments:

Post a Comment