-->

Chong Wei tetap dalam senarai BAM

Posted by Admin Tuesday, March 20, 2012 0 comments
 

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak bercadang mengeluarkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei daripada senarai peserta pada Kejohanan Badminton Piala Axiata meskipun dia mengalami kecederaan bahu.

Pengurus Besar BAM, Kenny Goh berkata, pemeriksaan awal menunjukkan kecederaannya tidak serius dan Chong Wei dilihat mampu beraksi untuk pasukan negara dalam pusingan round robinbermula Jumaat hingga Ahad ini di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur.

"Difahamkan, ia bukan kecederaan yang serius, hanya sakit sahaja.

"Bagaimanapun, kita akan tunggu laporan penuh daripada pakar," katanya semalam.

Chong Wei mengalami kecederaan bahu yang mengakibatkan dia terpaksa menarik diri ketika bertemu pemain China, Lin Dan pada final Kejohanan Seluruh England minggu lepas.

Ketua Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz berkata, kecederaan itu mengambil masa tiga hingga lima minggu untuk sembuh.

Chong Wei juga akan menjalani pemeriksaan lanjut iaitu imbasan ultrabunyi di ISN dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, Kenny berkata, kesediaan seorang lagi pemain badminton negara, Muhammad Hafiz Hashim untuk menggantikan Chong Wei sebagai perseorangan pertama disifatkan sebagai hasrat yang baik.

"Baguslah, ini kejohanan berpasukan. Kita perlukan beberapa orang, bukan seorang sahaja untuk menang," katanya.

Muhammad Hafiz dilaporkan bersedia menggantikan Chong Wei sekiranya pemain itu dinasihatkan agar berehat.

Pemain skuad negara dibahagi kepada dua pasukan iaitu Malaysia Tiger dan Malaysia Leopard untuk menggalas cabaran negara dalam kejohanan badminton yang membabitkan negara-negara Asia Tenggara itu.

Malaysia Tiger yang dibarisi Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim, Liew Daren, Muhammad Arif Abdul Latif serta beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Goh V Shem-Lim Kim Wah diundi dalam Kumpulan K bersama Thailand, Filipina dan Rajawali dari Indonesia.

Pasukan Malaysia Leopard yang terdiri daripada Zulfadli Zulkifli, Iskandar Zulkarnain, Misbun Ramdan Misbun, beregu Ow Yao Han-Chooi Kah Ming serta Teo Ee Yi-Nelson Heg Wei Keat akan bermain dalam Kumpulan J bersama Singapura, Vietnam dan pasukan Garuda dari Indonesia.

Kejohanan berpasukan yang julung-julung kali dianjurkan itu menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM3 juta.

- Dipetik dari KOSMO! Online 20032012

0 comments:

Post a Comment