-->

Gaya dewasa si cilik

Posted by Admin Friday, March 23, 2012 0 comments

IBARAT individu berkerjaya lagaknya, itulah elemen yang cuba diterapkan kepada kanak-kanak untuk musim bunga/panas tahun ini.

Jenama Burberry cuba mencorakkan identiti kanak-kanak perempuan agar kelihatan lebih dewasa dengan pemakaian kot trenc berbutang dua rona biru gelap. Gaya tersebut mencerminkan imej sofistikated si cilik yang sedang meningkat remaja.

Buat si kecil yang berada dalam kumpulan usia lima tahun ke bawah, kot dufel atau jaket yang boleh diterbalikkan (reversible) bakal mewujudkan penampilan segak bagi lelaki dan elegan pada tubuh perempuan.

Kot sejuk berbulu (parkas) dengan cantuman penutup kepala (hoodie) tidak lagi hanya menunggu musim sejuk untuk keluar dari gerobok. Ia kini praktikal digayakan untuk musim bunga dan panas.

Jaket potongan separuh badan berkolar besar pula tampak sesuai dikenakan kanak-kanak perempuan yang menginginkan gaya ranggi. Gabungan warna dan corak jaket itu juga menaikkan seri si pemakai lantas mampu mencuri tumpuan ramai.

Mainan warna bagi koleksi kali ini juga pelbagai iaitu rona putih, hitam, kuning tua atau kuning gelap (khaki), biru emperial, biru firus, merah terang dan banyak lagi,

Penggunaan fabrik kapas pelbagai jenis umpama kapas gaberdin, kapas kanvas dan kapas twil menjadikan pakaian tersebut selesa dipakai kanak-kanak kerana materialnya ringan dan tidak serabut.



Baju kait Kashmir juga menjadi antara signatur klasik untuk koleksi baharu ini. Dres, jumpsuit, jersi dan kemeja berkotak turut menghiasi deretan rekaan kemas Burberry itu.

Pelbagai pilihan disediakan jenama tersebut buat si kecil daripada kumpulan bayi sehingga kepada mereka berusia 14 tahun. Kesemua koleksi baharu itu kini boleh didapati di semua butik Burberry seluruh negara.

Bagi mereka yang ingin melihat lebih banyak pilihan rekaan dan warna yang ditawarkan, bolehlah melayari laman web Burberry di http://burberry.com.

- Dipetik dari KOSMO! Online

0 comments:

Post a Comment