-->

Schumacher optimistik

Posted by Admin Thursday, March 22, 2012 0 comments

JUARA dunia tujuh kali, Michael Schumacher yakin pasukan Mercedes GP mampu menjadikan kegagalan pada saingan pembuka musim Formula Satu (F1) Grand Prix Australia Ahad lalu sebagai suntikan semangat bagi menghadapi perlumbaan kedua - GP Malaysia minggu ini.

Schumacher memandu jentera W03 dengan baik pada sesi kelayakan GP Australia sehingga berjaya memenangi petak keempat di Litar Albert Park.

Begitupun, prestasi cemerlang pemandu berpengalaman Jerman itu tidak berpanjangan apabila dia tersingkir daripada persaingan selepas jentera yang dipandunya mengalami masalah kotak gear meskipun ketika itu menduduki tempat ketiga.

Justeru, Schumacher optimis jurutera Mercedes GP telah berusaha keras bagi memastikan situasi yang sama tidak berulang lagi pada saingan di Litar Sepang, Ahad ini.

“Kami telah belajar daripada kegagalan di Melbourne minggu lepas, ia jelas sekali sesuatu yang mengecewakan,” jelas Schumacher di Galeri Petronas, Kuala Lumpur semalam.

“Jentera W03 mampu memberi kejutan musim ini. Selepas menyaksikannya sendiri di Albert Park, saya yakin kami akan mencapai keputusan yang diharapkan jika masalah yang sama tidak berlaku di Litar Sepang.

“Matlamat utama kami ialah menunjukkan peningkatan sebanyak yang mungkin dalam setiap perlumbaan, selain berharap konsistensi juga dapat diteruskan dalam satu saingan ke satu saingan.”

Schumacher yang kontraknya bersama Mercedes GP akan berakhir hujung tahun ini, enggan meletakkan sasaran yang tinggi dalam saingan 2012.

Bagaimanapun, dia masih tetap memburu kejayaan podium pada GP Malaysia.

“Sasaran saya ialah untuk memperbaiki prestasi musim lepas,” kata Schumacher.

“Bukannya saya tidak bercita-cita tinggi tetapi kita perlu ingat, prestasi jentera pada awal musim ini masih lagi perlu dipertingkatkan.

“Begitupun, saya tetap mempunyai sasaran untuk menaiki podium dalam beberapa perlumbaan, terutamanya di Sepang kerana Litar Sepang adalah antara litar kegemaran saya dan ia juga memiliki nilai-nilai tersendiri berbanding litar lain,” katanya lagi.

Mengenai masa depannya dalam F1, Schumacher berkata: “Saya rasa tidak bagus untuk bercerita tentang masa depan saya ketika ini.

“Saya mahu menumpukan perhatian terhadap saingan musim ini dan mahu mencatat keputusan yang baik selagi masih bersama Mercedes,” ujarnya lagi.

- Dipetik dari KOSMO! Online 22032012

0 comments:

Post a Comment