-->

Berlian penyeri wajah

Posted by Admin Friday, March 23, 2012 0 comments
PARTIKEL mikro mineral berlian yang ditapis mampu membekalkan tenaga kepada sel kulit.

SEBUT sahaja berlian, semua orang membayangkan kemewahan, kesucian dan kejernihan batu permata tersebut. Ia merupakan batu permata yang amat keras dan terdiri daripada karbon tulen.

Disebabkan fizikalnya yang berkilau, kebanyakan wanita memilihnya sebagai teman akrab untuk dipakai ke majlis-majlis rasmi. Secara ringkasnya, berlian merupakan perhiasan diri paling elegan buat kaum Hawa.

Sebagai simbol keagungan, perkataan berlian pada asalnya ialah adamant, yang digunakan ketika tamadun Yunani. Ia bermaksud ‘tidak dapat ditakluki’.

Kandungan atom karbon dan ikatan molekul yang kuat menjadikannya batu permata yang banyak faedahnya. Berdasarkan faktor itu, berlian telah digunakan dalam bidang perubatan bagi membekalkan tenaga termasuklah hal-hal kecantikan.

Begitupun, ramai tidak mengetahui keunikan berlian dalam mencantikkan kulit. Partikel mikro mineral berlian yang ditapis sebenarnya mampu membekalkan tenaga kepada sel kulit dan meningkatkan peredaran cecair di bawah lapisan kulit.

Kulit kemudiannya akan menerima nutrien yang berguna dan menjadi kuat, bertambah halus dan mengembalikan keremajaan kulit.

Ekstrak mineral asli yang diperoleh daripada batu permata itu akan bertambah mujarab apabila digabungkan dengan bahan-bahan lain yang bersesuaian dalam merawat masalah penuaan.

Kombinasi mineral berlian dengan kalsium, asid amino, benih rai (bijirin yang bijinya dijadikan tepung), bunga pansy liar, alfalfa dan yis meningkatkan penghasilan sel baharu dan menyelesaikan masalah kulit lemah serta mengekang kedutan.

Seseorang wanita perlu mengenal pasti tiga tanda utama penuaan agar tidak terlewat merawat masalah tersebut. Tanda pertama adalah apabila kulit mula kendur, tidak bermaya dan tidak sekata. Ia terjadi akibat kekurangan bekalan nutrien kepada kulit.


KANDUNGAN atom karbon dan ikatan molekul yang kuat dalam 
berlian memberi faedah dalam bidang perubatan dan kecantikan.

Tanda kedua pula ialah kulit yang penuh kedutan disebabkan kehilangan lemak di bawah lapisan kulit dan otot yang menyokong ketegangan kulit.

Akhir sekali, kulit akan menjadi kering dan ternyah hidrat. Masalah ini berpunca daripada cara hidup yang sibuk dan waktu rehat yang tidak mencukupi.

Sekiranya anda memiliki ketiga-tiga tanda tersebut, cuba pulihkan masalah tersebut dengan produk kecantikan kulit yang mengandungi mineral berlian. Tidak dinafikan, ia efektif dalam menyelesaikan kerumitan yang anda hadapi.

- Dipetik dari KOSMO! Online

0 comments:

Post a Comment