-->

Gergasi mahu baham Singa

Posted by Admin Tuesday, March 20, 2012 0 comments

PERTEMBUNGAN antara dua musuh tradisi, Selangor dan Lions XII FC dalam aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura malam ini pastinya mengujakan peminat fanatik kedua-dua pasukan.

Sekadar seri 1-1 dalam aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil bulan lepas, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim pastinya mahu meneruskan momentum kemenangan selepas membenam cabaran Kuala Lumpur dengan keputusan 3-0, Sabtu lepas.

Kredibiliti skuad V. Sundramoorthy yang ketika ini unggul di tangga ketiga liga dengan 20 mata, lima mata di depan Gergasi Merah juga pastinya mengundang rasa waspada dalam kalangan anak-anak buah Irfan.

Tambahan pula, kemenangan malam ini dilihat mampu memperbaiki kedudukan Selangor bagi memintas Perak di tangga kelima liga.

Malah, kehadiran semula tonggak pertahanan import dari Lebanon, Ramez Dayoub serta Bunyamin Omar yang sebelum ini digantung perlawanan juga pastinya melegakan Irfan bagi memastikan gawang mereka tidak ditembusi pasukan tuan rumah malam ini.

“Saya gembira dengan kepulangan Ramez yang dilihat mampu memperkuatkan benteng pertahanan kami ketika menentang Lions XII (malam ini).

“Beraksi di atas permukaan padang tiruan di Stadium Jalan Besar juga tidak begitu membimbangkan kerana kami telah menjalani latihan di Padang MSN sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! kelmarin.

Pada masa sama, Irfan juga tidak menolak kemungkinan akan menurunkan G. Jeevananthan sebagai penjaga gol utama Gergasi Merah malam ini selepas beraksi cemerlang ketika menewaskan Kuala Lumpur tempoh hari.

Menurut beliau, keputusan itu tidak ada kena mengena dengan kesilapan mudah seorang lagi penjaga gol, Norazlan Razali yang didakwa menjadi punca skuad Merah Kuning itu ditunjukkan jalan keluar oleh Johor FC pada pusingan kedua Piala FA baru-baru ini.

Selain itu, Irfan juga percaya dengan kredibiliti penyerang import, Bosko Balaban yang semakin menemui sentuhan penyudah berkesan dan diharap dapat mengulangi kehebatannya sekali lagi malam ini.

“Sebelum ini, saya pernah memberitahu Balaban supaya sentiasa berasa rendah diri dan berbangga dapat menyarung jersi Selangor meskipun pernah menyarung jersi kelab England, Aston Villa sebelum ini.

“Ternyata Balaban mendengar kata-kata saya dan tidak mempunyai masalah memberikan kerjasama yang baik dengan rakan-rakan sepasukan,” katanya.

- Dipetik dari KOSMO! Online 20032012

0 comments:

Post a Comment