-->

Gabungan mewah dan sederhana

Posted by Admin Friday, March 23, 2012 0 comments
BUTIK Caron yang terletak di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur menampilkan seleksi gaun pendek dalam variasi warna, potongan dan material yang sesuai dipakai untuk pelbagai jenis acara.

BARISAN skirt, blaus, dres, kardigan, beg tangan dan aksesori berjenama pasti menggamit pandangan wanita yang berkunjung ke Butik Caron. Walaupun secara kasar ia kelihatan tidak jauh beza berbanding butik-butik lain, namun keistimewaan gedung pakaian itu terletak pada label jenama yang dijual.

Jenama dari Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah memonopoli deretan pakaian yang dijual di butik yang telah beroperasi selama dua tahun itu.

Dres les jenama Glassons dari Australia, dres XOXO dan Max Studio dari AS, dres jersi Fashion Elle dari Perancis dan dres pendek Lipsy dari United Kingdom (UK), semuanya memiliki rekaan unik yang tidak terdapat dalam pasaran tempatan.

Konsep suai padan (mix and match) menjadi kunci buat wanita yang bercadang membeli pakaian di butik ini. Usah risau dengan warna dan fabrik kerana ia ternyata menepati iklim Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun.

Bermula daripada RM60, pengunjung dapat memiliki sehelai blaus. Bergantung pada material dan potongan, ada juga blaus yang mencecah harga RM126. Skirt pula dijual dalam lingkungan harga RM100 manakala dres diletakkan pada kelompok harga RM89 ke atas.

Lebih mengujakan, pengunjung juga dapat memiliki koleksi beg tangan berjenama mewah seperti Michael Kors (MK), Prada, Coach dan Juicy Couture yang merupakan rekaan edisi terhad yang tidak berada di butik-butik jenama tersebut yang berada dalam negara ini.

Padanan jenama mewah (high end) dan sederhana (high street) membentuk gaya seorang wanita yang trendy dan mempunyai cita rasa tersendiri dalam berfesyen.

- Dipetik dari KOSMO! Online

0 comments:

Post a Comment