-->

Messi lakar sejarah baharu

Posted by Admin Thursday, March 22, 2012 0 comments
BARCELONA - Bintang sensasi Barcelona, Lionel Messi sekali lagi berada di puncak kemasyhuran.Awal pagi semalam, Messi yang meledak hatrik ketika membantu Barcelona menewaskan Granada 5-3 dalam saingan Liga Sepanyol telah meletakkan namanya sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah kelab gergasi Sepanyol itu.

Dengan hatrik tersebut, pemain terbaik dunia tiga kali itu secara keseluruhannya telah merekodkan 234 gol sepanjang dia beraksi bersama Barcelona setakat ini.

Jumlah jaringan itu sekali gus mengatasi rekod yang dipegang legenda The Catalan sebelum ini - Cesar Rodriguez yang menjaringkan 232 gol.

Sebagai rekod, hatrik yang dilakukan Messi awal pagi semalam merupakan yang keenam dilakukan pemain antarabangsa Argentina itu dalam saingan musim ini.

Lebih manis, Messi kini mendahului senarai selaku penjaring terbanyak liga dengan 34 gol.

Minggu lalu, Messi membuktikan ketajaman penyudahnya cukup berbisa apabila menjadi pemain pertama menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan pada kempen Liga Juara-Juara.

Kejayaan itu hadir ketika The Catalan menewaskan Bayern Leverkusen 7-1 pada aksi kedua pusingan kedua Liga Juara-Juara di Nou Camp.

"Messi bukan sahaja menjaringkan gol tetapi dia menjaringkan gol yang cukup luar biasa.

"Kini Messi sudah menjadi sejarah buat pasukan. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli pasukan terutama Messi dengan pencapaian yang telah dilakarnya," kata jurulatih Barcelona, Pep Guardiola.

Pada aksi menentang Granada yang berlangsung di Nou Camp awal pagi semalam, Barcelona memperoleh gol pertama hasil jaringan yang dilakukan Xavi seawal minit keempat sebelum Messi meledak gol kedua berselang 13 minit kemudian.

Tersentak dengan dua jaringan awal The Catalan, Granada bangkit apabila berjaya menyamakan kedudukan masing-masing menerusi jaringan Mainz pada minit ke-55 dan Guillherme Siqueira (penalti minit ke-62).

Messi kembali meletakkan Barcelona di depan lima minit kemudian sebelum Cristian Tello meledak gol keempat tuan rumah pada minit ke-82.

Messi meledak gol kelima dan ketiga peribadinya pada minit ke-86 sebelum Siqueira menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh Granada tiga minit kemudian.

Kemenangan itu menyaksikan anak-anak buah Guardiola kini kembali merapatkan jurang mata dengan pendahulu, Real Madrid, sekali gus menghidupkan peluang mereka untuk mempertahankan gelaran juara musim lalu.

Barcelona kekal menghuni tangga kedua dengan mengumpul 66 mata, ketinggalan lima di belakang Real. - Agensi

- Dipetik dari KOSMO! Online 22032012

0 comments:

Post a Comment