-->

Kombinasi unik dan comel

Posted by Admin Friday, March 23, 2012 0 comments

NAMA asalnya ialah Onika Tanya Maraj. Namun anak kelahiran New York, Amerika Syarikat itu lebih popular kini dengan nama pentas, Nicki Minaj.

Sejak muncul dengan lagu genre hip hop berjudul Super Bass, pada tahun lalu, nama Nicki, 29, melonjak naik. Padahal, penyanyi berkulit hitam manis ini mula berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak tahun 2007.

Lebih mengagumkan, kemunculan Nicki semakin mencuri perhatian di seantero dunia kerana berani bergaya dengan imej unik, funky dan merah jambu persis patung Barbie.

Ekoran kekerapan tampil berimej sedemikian, kelompok peminatnya mula memanggil Nicki dengan sebutan Barbz iaitu panggilan manja bagi patung Barbie.

Tambahan pula, dia sentiasa memilih teknik solekan bak Barbie seperti pembayang mata rona terang, bulu mata palsu yang melentik, kanta lekap serta gincu bibir nuansa merah jambu terang. Tidak ketinggalan, menyarungkan gaun mini potongan kembang dan konsep suai dan padan yang kadangkala 'pelik'.

Namun, kini bagaikan mimpi menjadi realiti apabila pada tahun lalu, penyanyi yang mempunyai darah India itu dipilih oleh syarikat Mattel untuk menghasilkan patung Barbie-Nicki Minaj. Ringkasnya, Nicki bukanlah artis pertama yang diberi penghormatan sedemikian memandangkan sebelum ini selebriti Rachel Zoe dan Janet Jackson terlebih dahulu mempunyai patung versi Barbie.

Secara amnya, patung Barbie yang hadir di pasaran permainan sejak tahun 1959 telah diangkat sebagai ikon fesyen sepanjang zaman. Fesyen yang ditampilkan Barbie antara faktor utama yang menyebabkan Barbie digilai kanak-kanak dan gadis remaja sehingga mencetus fenomena di seluruh dunia.


Kempen amal

"Saya sama sekali tidak menyangka, imej pelik ini menarik minat pihak Mattel untuk mengeluarkan Barbie versi Nicki Minaj. Lebih mengharukan apabila patung Barbie ini merupakan jualan edisi terhad untuk kempen amal.

"Ini momen terbesar dan paling manis dalam kamus hidup saya. Secara tak langsung ia menunjukkan bahawa muzik dan fesyen boleh menyumbang sesuatu kepada insan yang memerlukan," jelas Nicki yang teruja apabila patung Barbie versinya dilelong dalam web CharityBuzz.com dan dipamerkan pada acara Divine Designs yang berlangsung selama lima hari di Beverly Hilton Los Angeles pada harga permulaan RM3,600.



Hasil lelongan itu, disumbangkan kepada Project Angel Food yang menghulurkan bantuan kepada golongan yang menghidap HIV dan AIDS.

"Kawan-kawan pernah memaksa saya memakai pakaian dan bersolek seperti itu dan ini. Mereka menyifatkan seseorang penyanyi rap perlu tampil seksi dan memilih pakaian rona-rona tertentu.

"Tapi, saya ingin lari daripada imej seksi yang tipikal kerana ia kelihatan klise dan bosan. Oleh kerana enggan menipu diri sendiri dan mengikut telunjuk orang lain, maka saya memilih stail pelik yang menyelitkan fesyen Barbie," jelas Nicki yang menyifatkan dirinya seorang yang kelakar dan bersahaja.

Terbaru, pada awal tahun ini Nicki bersama penyanyi latin Ricky Martin menggantikan tempat penyanyi Lady Gaga sebagai jurucakap Viva Glam, yang merupakan koleksi kosmetik untuk kutipan amal jenama M.A.C.


Katy yang funky

Nampaknya penyanyi kelahiran Santa Barbara, California, Amerika Syarikat (AS), Katy Perry juga antara selebriti bertuah kerana memiliki patung Barbie persis wajah dan penampilannya. Dia terpilih kerana kecenderungannya membawa imej comel, funky dan fantasi di kebanyakan acara serta persembahan pentas.

Bahkan pelantun lagu Firework tersebut turut teruja acap kali menjalani sesi fotografi dan pembikinan klip video yang menerapkan kerja-kerja seni berkaitan dunia kanak-kanak dan menyarungkan kostum animasi.

Buktinya, lihat saja set klip video Katy berjudul California Girls yang berwarna-warni dan sarat dengan prop gula-gula, pelangi, aiskrim dan awan yang menyerupai gula-gula kapas.


Bertatah kek cawan

Impak daripada klip video berkenaan, koleksi patung Barbie-Katy Perry 'dilahirkan'. Tampil berambut biru terang, gayanya diserikan persalinan gaun mini potongan kembang bertingkat bertatah kek cawan. Hiasan kek cawan ialah simbolik memandangkan dalam klip video yang sama, Katy meletakkan kek cawan di bahagian dada.

Bukan itu saja, patung Barbie-Katy Perry tampak comel apabila sepasang kakinya disarungkan stokin fabrik jaring yang mempunyai perincian kristal Swarovski. Boneka itu juga memegang mikrofon gula-gula sambil berdiri di atas pentas kon wafel yang dikelilingi aiskrim.


KOSTUM karakter Snow White menjadi pilihan Katy.

"Saya gemarkan sesuatu yang ceria dan berwarna-warni kerana ia membuatkan kehidupan saya gembira serta bahagia. Sebab itu, saya selesa tampil dalam persalinan yang sarat dengan rona terang dan kontra," ujarnya.

Warna gelap pula hanya menjadi pilihan Katy jika perlu mengikut kod pakaian yang ditetapkan oleh pihak penganjur acara atau sidang redaksi majalah.

"Tidak dinafikan, segelintir individu menyifatkan imej saya agak kebudak-budakan. Namun, saya tidak berkecil hati kerana fesyen itu universal, sama seperti muzik. Sesiapa saja bebas memilih gaya mengikut cita rasa peribadi," luah Katy.


Suram

Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Katheryn Elizabeth Hudson itu meluahkan, penampilannya hari ini jauh berbeza jika dibandingkan pada zaman kanak-kanaknya. Sebelum melibatkan diri dalam industri hiburan, dunia Katy dikelilingi aktiviti harian yang 'suram'.

Tidak seperti remaja lain yang bebas bergaya dengan seleksi fesyen terbaharu, Katy hanya dibenarkan memakai pakaian ringkas dan sopan. Ini disebabkan ibu dan bapanya, Mary Hudson dan Keith Hudson merupakan pengikut tegar agama Kristian mengutuk tindakan wanita berimej seksi dan terdedah.

"Bukan sekadar pakaian, malah setiap sudut kehidupan saya dikawal ketat oleh ibu dan ayah. Sebahagian besar masa saya diisi dengan aktiviti membaca kitab Injil berbanding mengulang kaji pelajaran," jelas Katy yang gemar menukar warna dan gaya rambut.

Sementara itu memetik kata-kata pengkritik fesyen terkenal, Steven Cojocaru, dia memuji golongan wanita yang berani tampil dengan persalinan busana dan tata rias wajah yang pelik dan unik.

"Penampilan seseorang terserlah bukan kerana menggayakan jenama mewah yang bernilai ratusan mahupun ribuan ringgit. Tapi, ia wujud disebabkan keyakinan diri yang tinggi," jelasnya. - IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

- Dipetik dari KOSMO! Online

0 comments:

Post a Comment