-->

Teknik Penulisan Dalam Al-Quran

Posted by syahira rusman Tuesday, October 2, 2012 0 comments
Teknik Penulisan Dalam Al-Quran (Bahagian Satu)

Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Pendahuluan

Banyak penulisan di dalam facebook, blog atau ‘website’ atau seumpamanya yang ditulis oleh para sahabat kita tidak kira samada dari segi dakwah, idea-idea yang menarik, perkongsian ilmu dan pelbagai lagi penulisan yang bermanfaat.

Tetapi penulisan yang bermanfaat itu mungkin menjadi sia-sia jika orang yang membacanya tidak dapat mengambil manfaat daripadanya kerana pelbagai sebab, antaranya;

1. Tidak menyertakan kemunasabahan sesuatu tulisan atau tujuan penulisan itu.

2. Penggunaan bahasa singkat yang sukar difahami (Contoh: knp, bgmn, sy, a/p, tmsklah, knnya dan pelbagai lagi yang seumpamanya).

3. Menggunakan intonasi yang tidak sesuai dan beremosi hingga menyebabkan pembaca berasa bosan untuk membaca sehingga habis.

4. Tulisan yang panjang, tetapi tiada perenggan hingga membuatkan para membaca ‘sakit mata’ (susah membaca dan memahaminya).

5. Tidak menggunakan format pernomboran atau ‘bullets’ jika ingin mengemukakan poin-poin (spesifikasi perkara yang hendak disampaikan) yang utama.

Perbincangan

Al-Quran merupakan contoh terbaik pada kita untuk menghasilkan tulisan yang bermanfaat dan insyaAllah Ta’ala, tulisan yang mencontohi Al-Quran akan membawa keberkatan sesuai dengan firman Allah Subhana wa Ta’ala (apa sahaja yang mencontohi Al-Quran akan membawa keberkatan);

Surah Sod [38] : 29

29. Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.

Maha Suci Allah, hanya dengan memperhatikan sahaja kita sudah dapat mengambil sesuatu pelajaran darinya dan belum lagi memikirkan dan memahaminya, tentu lebih banyak pelajaran yang dapat diambil.

Menerusi nombor satu (1) hingga nombor (5) di atas, kita bandingkan contoh-contoh yang terdapat dalam Al-Quran.

1. Kemunasabahan sesuatu tulisan atau Tujuan penulisan itu

Dimulakan dengan Surah Al-Fatihah yang menunjukkan kemunasabahannya Al-Quran itu yang diturunkan oleh Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang untuk menyatakan tujuan-Nya bahawa seluruh alam ini dicipta, ditadbir dan dipelihara pula oleh Rabb seluruh alam. Itulah pendahuluan Al-Quran iaitu, membetulkan akidah manusia.

Tambahan : Apabila berjumpa perkataan ‘Rabb’ di dalam Al-Quran, ia membawa maksud ayat itu sebagai peringatan kepada manusia. (Rujukan Tafsir Ibnu Katsir)

Oleh itu, kepada para penulis adalah lebih baik kita meletakkan akan tujuan sesuatu penulisan itu dan mengapa munasabahnya penulisan itu agar dapat memudahkan para pembaca memahaminya dan seterusnya matlamat penulisan itu dapat dicapai.

2. Tiada terjemahan dalam perkataan singkat

Tiada satu pun Al-Quran yang diterjemah menggunakan bahasa singkatan. Sedangkan penulisan yang begitu jelas pun ramai yang tidak ambil peduli dan salah faham mengenainya, bayangkan jika terjemahan Al-Quran yang ada pada kita sekarang banyak perkataan-perkataan yang singkat tentu lebih memudaratkan.

3. Bahasa yang lembut dan indah hingga menarik hati pembacanya

Ayat-ayat Al-Quran menggunakan bahasa yang lembut dan indah sehingga orang yang membacanya tidak pernah jemu. Pernahkah kita jemu membaca Surah Al-Fatihah setiap kali solat? Paling sedikit tujuh belas kali sehari kita membaca surah Al-Fatihah, jika satu tahun? (kiralah sendiri). Pernahkah kita jemu membaca Al-Quran?

Tiada ayat Al-Quran yang meletakkan tanda seruan. Contohnya dalam Surah Al- Maa’un [107] ayat 3 dan 4; ‘Maka kecelakaanlah bagi orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dalam solatnya.’

Al-Quran tidak menulis ‘Celakalah orang yang solat!!! Orang yang lalai dalam solatnya!!!’ Tetapi penggunaan bahasa Al-Quran begitu lembut dan memujuk.

Sebaiknya di dalam penulisan kita, elakkan dari meletakkan tanda seruan yang menunjukkan sifat marah dan emosi yang tidak dapat dibendung ini. Kecualilah jika anda menulis skrip.

4. Terdapat tanda ‘berhenti’ dan sebagainya

Sekiranya kita membaca ayat Al-Quran yang panjang (Contoh Al-Baqarah [2] : 102), kita dapat melihat tanda-tanda berhenti dalam ayat tersebut. Ini memudahkan kita untuk menarik nafas untuk membaca ayat seterusnya dan memudahkan kita memahaminya.

Begitu juga dalam tulisan kita. Setiap tulisan yang panjang hendaklah diletakkan perenggan (maksima lima hingga enam baris satu perenggan) agar orang yang membaca tidak berasa tertekan dan lebih mudah untuk difahami. Silat lihat contoh tulisan yang tidak berperenggan ini.

Contoh : ‘Ada bezanya antara menghormatikan dan mensucikan. Dalam bahasa Arab disebut tauqir (memuliakan), sementara mensucikan disebut taqdis. Memuliakan atau tauqir bererti kita memberikan penghormatan kepada seseorang atau sesuatu pihak. Ia berkaitan dengan nilai ketinggian yang ada pada pihak atau individu tersebut. Jika dia pemimpin, atas nilai kepimpinan yang ada padanya. Jika dia ulama, atau ilmuwan maka atas nilai ilmu yang ada padanya. Jika dia orang tua, atas nilai usia dan pengalaman hidup yang dilalui. Demikianlah seterusnya. Adapun taqdis atau mensuci bererti menganggap seseorang atau sesuatu itu terpelihara dari sebarang dosa, atau kesalahan. Menganggap ia suci (sacred) bererti apa sahaja yang datang daripadanya adalah benar dan mulia, tidak boleh dipertikaikan lagi. Islam menyuruh kita menghormati ulama atau disebut tauqir al-‘ulama tetapi tidak membenarkan kita mensucikan mereka atau taqdis al-‘ulama. Kita menghormati mereka kerana keilmuan mereka. Apabila mereka berbicara dan bertindak dalam kerangka ilmu, maka dihormati dan disayangi. Kita berinteraksi dengan mereka dengan cara yang hormat dan sopan. Namun, dalam masa yang sama kita tidak dibenarkan menganggap mereka suci dari kesilapan dan kesalahan. Mereka bukanlah para rasul yang setiap tindakan mereka yang berkaitan dengan agama dianggap hujah. Adapun para ulama mereka terdedah kepada salah dan silap, sama seperti manusia lain. Apabila ternyata mereka salah, atau silap kita tidak boleh mengikut kesalahan kesilapan itu.

Bagaimana perasaan anda setelah dihilangkan perenggannya? Tentu tidak ramai yang habis membacanya kerana ‘sakit mata’. Kalau membacanya sehingga habis pun tidak memahaminya dan terpaksa mengulang-ngulang.

5. Menggunakan format pernomboran atau ‘bullets’

Ini perkara yang paling mudah dan penting tetapi ramai yang mengabaikannya. Setiap surah dan ayat Al-Quran telah diletakkan nombor agar mudah dirujuk kembali. Selain itu dengan sistem nombor ini juga kita dengan mudah dapat menghafal Al-Quran.

Contohnya, kita boleh melihat menerusi risalah yang ditulis ini. Meletakkan nombor dalam mengemukakan poin-poin utama adalah sangat penting dalam penulisan agar pembaca tidak hilang konsentrasinya.

Penutup

Semoga risalah ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada kita. Perlu diingat, Al-Quran adalah sumber ilmu kepada kita semua dan tidak ada satu pun yang tidak berfaedah dan sia-sia terdapat dalam Al-Quran walaupun satu titik.

Risalah ini belum habis sepenuhnya dan insyaAllah Ta’ala akan disambung mengenai isi-isi atau kandungan dalam penulisan sesebuah artikel (dan seumpamanya) yang boleh menarik minat pembaca. Ini kerana ada dikalangan pembaca yang mampu dengan tulisan yang berat dan ada pula yang sebaliknya.

Surah Al-Qamar [54] : 40

40. Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?




0 comments:

Post a Comment