-->

Beramal dan Memahami Al-Sunnah

Posted by Unknown Wednesday, October 17, 2012 0 comments
Beramal dan Memahami Al-Sunnah

Surah Al Baqarah [2] : [255]
.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)..

Antara Cara Beramal Dengan Al-Sunnah dan Mengambil Pelajaran Darinya

Bagi memudahkan cara memahami hadis, ia boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian;

(a). Hadis yang mudah difahami

Maksudnya hadis yang apabila dilihat dari sudut zahirnya saja kita sudah boleh memahaminya. Contohnya;

Hadis tentang akhlak : Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw, “Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik?” Jawab Rasulullah saw, “Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya”. (0033) Sahih Muslim

Hadis bersolat : Dari Aisyah r.ha : Bahawa Nabi saw setelah salam (selesai solat), Nabi saw mengucapkan ‘Allaahumma antassalaam, wa mingkassalaam, tabaarokta yaa dzal jalaali wal ikraam.’ (Wahai Allah, Engkaulah keselamatan, daripada-Mu kesejahteraan dan Maha Besar kebaikan-Mu, wahai Allah yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan). Abu Daud berkata, ‘Sufyan mendengar dari Amr bin Murrah.” Kata mereka, “(Ia mendengar) lapan belas hadis.” [Hadis 1512] Sahih Abu Daud

Hadis tentang zikir : Dari Abu Hurairah r.a : Nabi saw bersabda, “Dua kalimat yang amat dikasihi (disukai oleh) Tuhan yang Maha Pemurah, ringan disebut lidah dan berat timbangannya (pahalanya), iaitu; ‘Subhaanallahi wabihamdihi , Subhaanallahil ‘azhim’ (Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya/kemuliaan-Nya, Maha Suci Allah dengan keagungan-Nya).” [2028] Sahih Bukhari

Hadis penakwilan secara zahir ini adalah yang paling banyak dalam kitab-kitab hadis. Beramal dengan hadis ini lebih diutamakan.

Kadangkala terdapat beberapa hadis yang walaupun dilihat seperti boleh memahaminya dengan mudah, tetapi agak bertentangan dengan akal, contohnya;

Hadis yang memerlukan tafsiran hadis lain : Dari Abu Hurairah r.a : Nabi saw bersabda, “Barangsiapa menjulurkan kain sarungnya hingga dibawah mata kaki, maka tempatnya adalah neraka.” [5341] Sahih Bukhari

Mengapa pakaian yang melebihi mata kaki (buku lali) boleh menyebabkan seseorang dimasukkan ke dalam neraka dan apa kaitannya dengan agama? Seolah-olah Nabi saw melarang seseorang melabuhkan pakaiannya. Bagaimana pula dengan wanita yang perlu menutup aurat?

Jika berjumpa hadis seperti ini, hendaklah kita melihat tafsirannya melalui hadis-hadis yang lain kerana para sahabat r.anhum lebih mengetahui mengenai apa yang dimaksudkan oleh Nabi saw. Zaman kita ini telah menyaksikan pembukuan hadis yang telah disusun mengikut bab-babnya atau menyatukan jalan periwayatannya dan memudahkan kita untuk mencari hadis-hadis yang bersangkutan mengenainya.

Namun sekiranya tidak mampu, maka bertanyalah kepada ahli ilmu. Bukan bertanya pada seorang sahaja, tanyalah kepada beberapa orang supaya kita tidak taksub mengenainya. Antara contoh hadis mengenai apa yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah;


Hadis : Dari ‘Abdullah ibn Umar : Nabi saw bersabda, “Seseorang yang menyeret (labuh) pakaiannya kerana kesombongan tidak akan dilihat oleh Allah pada Hari Kebangkitan.” [009] Hadis sahih dari Imam Malik dalam Al-Muwattho’

Dalam hadis yang lain;

Hadis : Dari Ibnu Umar r.a : Nabi saw beliau bersabda, “Siapa yang menjulurkan pakaiannya (hingga ke bawah mata kaki) dengan sombong, maka Allah tidak akan melihatnya pada hari Kiamat kelak.”

Lalu Abu Bakar r.a berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya salah satu dari sarungku terkadang turun sendiri, kecuali jika aku selalu menjaganya?” Lalu Nabi saw bersabda, “Engkau bukan termasuk orang yang melakukan hal itu kerana sombong.” [5338] Sahih Bukhari

Jadi apa yang dimaksudkan adalah; jika memakai satu pakaian kerana sombonglah yang akan menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke neraka. Andaikata kita memakai sarung walaupun di atas mata kaki tetapi di hati kita ingin mempamerkan logo sarung tersebut (gajah duduk, emirates) kerana menunjukkan mahalnya kain tersebut, maka tempatnya adalah neraka kerana sombong.

Jadi apabila anda memakai apa sahaja pakaian, niatkanlah ‘ini adalah pakaian untuk menutup aurat’ maka kita tetap tergolong dalam orang yang mentaati Allah dan mengikut sunnah Rasul-Nya. Berdasarkan sebuah hadis;

Hadis : Dari Abu Umamah r.a dia mendengar Umar Bin Khaththab r.a berkata : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa memiliki pakaian baru kemudian mengenakannya dan ketika sampai di tengkuknya dia membaca;

'Alhamdulillaahil ladzii kasaanii maa uwaarii bihi 'aurotii wa atajammalu bihii fi hayaatii (Segala puji bagi Allah yang telah memberikan pakaian kepadaku yang dapat menutup auratku dan dapat berhias dengannya dalam hidupku)’,

kemudian dia berniat dengan pakaian yang sudah usang atau yang sudah tidak dikenakan untuk diinfaqkan, maka dia berada dalam jaminan Allah Ta'ala dan berada di sisi Allah serta berada dalam lindungan Allah baik hidup mahupun mati, baik hidup mahupun mati dan baik hidup mahupun mati.” [288] Sahih Riwayat Ahmad

(b). Hadis yang pertengahan

Maksudnya hadis yang memerlukan perhatian khusus atau takwilan mengenainya. Contohnya;

Hadis kiasan : Dari 'Aisyah r.anha : Sebahagian isteri-isteri Nabi saw berkata kepada Nabi saw : "Siapakan diantara kami yang segera menyusul anda (setelah kematian)?". Beliau bersabda: "Siapa yang paling panjang lengannya diantara kalian". [1331] Sahih Bukhari

‘Panjang lengan atau tangan’ itu bermaksud orang yang paling banyak bersedekah bukan orang lebih panjang tangannya secara zahir. Para isteri Nabi saw juga salah faham mengenainya (pada mulanya sahaja) sehingga mereka mengukur tangan masing-masing untuk melihat tangan siapa yang lebih panjang.

Di dalam bahasa melayu panjang tangan bermaksud suka mencuri, tetapi dalam bahasa arab panjang tangan bermaksud orang yang paling suka dan banyak bersedekah. Jadi tidak boleh kita menafsir mengikut bahasa lain kecuali mengikut maksud bahasa yang diturunkan pada waktu itu.

Hadis pengkajian : Dari Ibnu Abbas r.a : Nabi saw bersabda, “Terapi pengubatan itu ada tiga cara, iaitu; berbekam, minum madu dan kay (menempelkan besi panas pada tempat yang terluka), sedangkan aku melarang umat ku berubat dengan kay.” [5249] Sahih Bukhari

Bukan sahaja berbekam dan madu sahaja malah bercelak, lada hitam dan sebagainya juga mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan. Tetapi, bukan itu satu-satunya cara dalam pengubatan, apa yang Nabi saw ingin sampaikan, hakikatnya adalah supaya kita berusaha mencari penawar apabila sakit dan yang paling utama adalah penjagaan kesihatan. Tiada salahnya dengan memakan vitamin dan sebagainya.

Hadis yang boleh dipelbagaikan : Dari Aisyah r.anha : Rasulullah saw bersabda, “Siwak itu dapat membersihkan mulut dan dapat mendatangkan keredhaan Allah AzzaWaJalla.” [23196] Sahih Riwayat Ahmad

Tidak semestinya menggunakan sugi untuk memberus gigi, boleh juga menggunakan berus dan ubat gigi kerana tujuan asalnya adalah agar dapat membersihkan mulut dan gigi. Sekiranya tiada sugi atau berus gigi misalannya, gunakanlah jari.

Perlu diingat, secara asasnya kita perlu melihat kepada zahir hadis terlebih dahulu sebelum mentakwil sesuatu hadis. Untuk mentakwil sesuatu hadis, ia perlu kepada alasan yang kuat dan kukuh dan perlu melihat kepada keperluannya samada hadis itu satu kiasan, memerlukan pengkajian dan samada ianya boleh dipelbagaikan.

Bab ini adalah antara yang paling rumit, tetapi tidaklah mustahil untuk dipelajari. Tujuannya adalah untuk membuktikan kehebatan hadis Nabi saw yang bersesuaian sepanjang zaman dari seluruh aspek. Selain itu ia juga menunjukkan fleksibiliti hadis yang memudahkan sesiapa sahaja untuk mengamalkannya.

(c). Hadis yang wajib beriman tetapi tidak boleh ditakwil

Ia melibatkan hadis-hadis mengenai alam ghaib (tidak dapat dilihat dengan mata). Contohnya;

Hadis sifat Allah Ta’ala : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Rabb Tabaaraka wa Ta'ala kita turun di setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir dan berfirman: "Siapa yang berdoa kepada-Ku pasti Aku kabulkan dan siapa yang meminta kepada-Ku pasti Aku penuhi dan siapa yang memohon ampun kepada-Ku pasti Aku ampuni”. [1077] Sahih Bukhari

Hadis siksa kubur : Dari Aisyah r.anha : Dia bertanya kepada Rasulullah saw perihal siksa kubur, maka Beliau (saw) menjawab: "Ya benar, siksa kubur itu ada". Kemudian 'Aisyah r.anha berkata : "Maka sejak itu aku tidak (pernah) melihat Rasulullah saw setelah melaksanakan solat kecuali Beliau memohon perlindungan dari siksa kubur.” [1283] Sahih Bukhari

Hadis tentang malaikat : Dari Abu Hurairah r.a : Nabi saw bersabda, “Jika Allah memutuskan suatu keputusan di langit, maka malaikat akan mengepak-ngepakkan sayapnya kerana tunduk kepada titah-Nya, seolah-olah kepakan sayapnya seperti rantai di atas batu licin.” [6927] Sahih Bukhari

Banyak lagi hadis-hadis yang mengenai perkara ghaib ini seperti hadis para Malaikat, Jin, Syaitan, Arasy, alam barzakh, hari akhirat dan sebagainya. Umumnya hadis mengenai perkara-perkara ghaib ini jangan ditakwil kerana tiada sesiapun mengetahui akan perkara ghaib. Namun beriman kepadanya adalah wajib.

(d). Belum sampai ilmu pengetahuan

Terdapat juga beberapa hadis yang kita tidak mampu mengungkapkannya dengan akal kerana akal kita atau ilmu pengetahuan kita masih belum mencapai tahapnya. Selalunya hadis ini berkaitan dengan kejadian masa depan, fizik dan sebagainya. Namun beriman dengannya adalah wajib. Contohnya;

Hadis masa depan : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tidak akan terjadi hari kiamat hingga matahari terbit dari sebelah barat.” [4270] Sahih Bukhari

Tiada seorang pun yang dapat tahu bagaimana keadaan bumi dan planet-planet di sekitarnya apabila matahari terbit dari barat atau menerangkan bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku. Walaupun terdapat beberapa gambaran dan penjelasan mengenainya, namun janganlah terlalu taksub atau berpegang dengannya.

Ini kerana, jika sains tersebut salah maka orang akan menyalahkan hadis Nabi saw. Sebenarnya kajian sains merekalah yang salah bukan hadis yang merupakan wahyu dari Allah Subhana wa Ta’ala yang mempunyai kekurangan.

Firman Allah Subhana wa Ta’ala;

Surah Ali 'Imran [3] : 164

164. Sungguh Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus diantara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab dan Al-Hikmah (As-Sunnah). Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.

Rujukan :

Tafsir Ibn Katsir

Berinteraksi Dengan Al-Sunnah [Dr. Yusuf Al-Qaradhawi]

Keagungan Sunnah [Syeikh Qayyum bin Muhammad bin Nasir As-Sahaibani]

Kaedah Memahami al-Hadith [A/Prof Fauzi Deraman]

Ilmu Usul al-Fiqh [Syaikh Muhammad Shalih al-Utsaimin]

Sejarah Perkembangan Hadis [Rosli Mokhtar]

Sejarah Hadis [M Hasbi Ash Shidieqy]

Ulum Hadis [Dr. Rosmawati Ali]

Iman Kepada Allah [Dr. Sulaiman al-Asyqar]


0 comments:

Post a Comment