-->

Wasiat Luqman Al-Hakim (Kedua) : Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa

Posted by syahira rusman Wednesday, October 17, 2012 0 comments
Wasiat Luqman Al-Hakim (Kedua) : Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa
Pendahuluan

Surah Al Baqarah [2] : [255]
.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Pengenalan

Surah Luqman [31] : 14
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Selepas bebas daripada syirik, wasiat kedua adalah supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Pentingnya perkara ini dan tidak boleh dianggap remeh, sehinggakan ia diletakkan atau digandingkan selepas perkara yang berkaitan dengan akidah. Melalui firman-Nya;

Surah Al-Israa' [17] : 23

23. Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapa mu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Kasih Ibu Bapa

Perlu kita fahami dan menghayati betapa besarnya pengorbanan kedua ibu bapa yang melahirkan dan menjaga segala pakai, minum, makanan, kebersihan dan berapa banyak pula wang yang dibelanjakan demi membesarkan anaknya. Tidak dapat ditukarganti dengan mana-mana harta yang ada di muka bumi ini untuk menyamakan dengan kasih sayang dan segala pengorbanan oleh kedua ibu bapa.

Tetapi amat sedikit sekali kita lihat pengorbanan yang dilakukan oleh anak-anak kepada kedua ibu bapa mereka, sedangkan perkara ini sangat-sangat penting kerana ia merupakan salah satu jalan menuju ke syurga atau ke neraka. Malah, berbuat baik kepada ibu bapa juga digandingkan dengan jihad di jalan Allah Subhana wa Ta’ala. Dalam sebuah hadis,

Dari Muawiyah bin Jahimah As Salami bahwa Jahimah datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata : Wahai Rasulullah, saya ingin berperang dan datang untuk minta petunjukmu, beliau bertanya: "Apakah engkau masih memiliki ibu?" ia menjawab; Ya, beliau bersabda: "Jagalah ia, kerana syurga itu dibawah kakinya." [3053] (Riwayat Nasa’i – Semua perawi adalah tsiqah, cuma Muhammad bin Thalhah bin 'Abdullah kurang dhabitnya namun Ibnu Hajar al-‘Asqalani mengatakan tiada kecacatan, maka hadis ini Maqbul)

Jadi, ini bermakna berbuat baik atau berbakti kepada kedua ibu bapa bukanlah kerana kasih sayang pada mereka sahaja, tetapi ini adalah demi kebaikan pada diri sendiri juga kerana ia menjadi penghubung antara pintu syurga dan pintu neraka.

Antara Kederhakaan Kepada Ibu Bapa

Anak-anak tidak boleh menyakiti ibu bapanya baik dari segi perbuatan, perkataan, mimik muka dan sebagainya. Di antara ciri-ciri anak derhaka yang kurang kita beri perhatian, tidak tahu atau tidak menghiraukan adalah;

1. Mencaci maki ibu bapa sendiri. Siapakah yang sanggup mencaci ibu bapa mereka sendiri? Orang yang mencaci ibu bapanya akan mendapat laknat Allah Subhana wa Ta’ala.

Dari Ibnu Abbas, ia berkata : Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Terlaknatlah orang yang mencaci ayahnya, terlaknatlah orang yang mencaci ibunya, terlaknatlah orang yang menyembelih untuk selain Allah, terlaknatlah orang yang merubah batas-batas tanah, terlaknatlah orang yang menyesatkan orang buta dari jalan, terlaknatlah orang yang menyetubuhi binatang dan terlaknatlah orang yang melakukan perbuatan kaum Luth." Beliau mengucapkan berulang kali, tiga kali tentang liwat (perbuatan kaum Luth (homosex). [2764] (Riwayat Ahmad. Semua perawinya Tsiqah, kecuali Muhammad bin Ishaq bin Yasar, kurang dhabitnya. Namun Imam Ahmad mengatakan hadis ini Hasan)

Adakah kita tergolong orang yang mencaci ibu bapa sendiri? Orang yang mencaci ibu bapa orang lain, sama juga dengan mencaci ibu bapa sendiri, berdasarkan sebuah hadis;

Dari Abdullah bin Amr ia berkata : Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Termasuk Al-Kaba`ir (dosa-dosa besar), yakni bila seseorang mencela kedua orang tuanya." Mereka para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, mungkinkah seseorang mencela kedua orang tuanya?" Beliau (saw) menjawab: "Ya, bila ia mencaci bapa seseorang, maka orang itu pun akan mencaci bapanya. Dan bila ia mencaci ibu seseorang, lalu orang itu pun akan mencaci ibunya." [1824] (Hasan Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)

Oleh itu, jangan sesekali kita mencela dan mencaci maki ibu bapa orang lain, kerana dengan sebab itu ia sama seperti mencaci maki ibu bapa sendiri. Moga kita terhindar dari mendapat laknat Allah kerana kejahilan diri sendiri.

2. Mimik muka. Tidak boleh menunjukkan perasaan tidak senang melalui mimik muka kepada kedua ibu bapa, seperti menjeling, menjegilkan biji mata dan seumpamanya kerana ia mengguris hati kedua ibu bapa.

3. Berkira-kira atau bakhil kepada kedua ibu bapa kerana terlalu sayang pada harta, sedangkan harta si anak juga milik ibu bapanya. Dalam sebuah hadis;

Dari Abdullah bin 'Amru dia berkata : Bahawa seorang Arab badui datang menemui Nabi Saw seraya berkata; "Sesungguhnya aku mempunyai wang dan juga seorang ayah, dan ayahku ingin mengambil harta milikku." Maka Rasulullah Saw bersabda: "Kamu dan juga hartamu adalah milik bapamu, sesungguhnya anak-anak kalian adalah sebaik-baik hasil usaha kalian, maka makanlah dari usaha anak-anak kalian." [6706] (Sahih. Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah [2282]

4. Berkata buruk. Tidak boleh berkata buruk kepada kedua ibu bapa atau mencelanya kerana sesuatu perbuatan atau kesilapannya sehingga si anak membenci kepada keduanya. Dalam sebuah hadis;

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Janganlah kamu membenci bapa kamu. Sesiapa yang benci kepada bapanya, maka dia kafir.” (0051) (Sahih Muslim)

5. Tidak boleh menipu kepada kedua ibu bapa kerana tidak sanggup memegang amanah yang diberikan, contohnya ponteng sekolah, keluar tanpa izin atau pengetahuan kedua ibu bapanya, mengambil barang mereka tanpa izin dan yang seumpamanya.

6. Menghormati sanak saudara serta rakan-rakan kedua ibu bapa.

7. Tidak mengutamakan isteri dan anak-anak, apalagi kawan-kawan melebihi kedua ibu bapa. Namun perlu tahu akan hak masing-masing dan utamakan hak kepada kedua ibu bapa.

8. Minta pendapat mereka terhadap satu-satu keputusan besar atau melibatkan hal-hal peribadi atau keluarga sebagai tanda menghormati kepada keduanya.

9. Sentiasa bersikap lembut dan jangan sesekali meninggikan suara.

10. Jangan sesekali mengatakan, tidak ada kebaikan yang pernah dibuat oleh ibu bapa.

Begitulah antara nasihat-nasihat agar kita tidak menjadi anak yang derhaka. Para ibu bapa juga jangan lupa, kerana mereka juga adalah anak-anak kepada kedua ibu bapa mereka. Mohonlah kepada Allah Subhana wa Ta’ala semoga dimpimpin hati agar dapat menjadi anak yang soleh.

Dari Abdullah bin Mas’ud r.a : katanya dia bertanya kepada Rasulullah saw, ‘Amal yang bagaimanakah yang paling utama?’ Jawabnya, “Solat pada waktunya.” ‘Kemudian itu apa?’ tanyaku. Jawab Nabi saw, “Berbuat kebajikan pada ibu bapa.” ‘Kemudian itu apa?’ tanyaku lagi. Jawab beliau (Nabi saw), “Jihad fi Sabilillah!” ‘Aku sebenarnya hendak bertanya lagi, tetapi aku cukupkan sedemikian.’ (0066) Sahih Muslim

Bersambung - Wasiat Luqman Al-Hakim (Ketiga) : Tiada Ketaatan Dalam Menderhakai Allah SWT


0 comments:

Post a Comment