-->

Wasiat Luqman Al-Hakim (Ketiga) : Tiada Ketaatan Dalam Menderhakai Allah SWT

Posted by Unknown Wednesday, October 17, 2012 0 comments
Wasiat Luqman Al-Hakim (Ketiga) : Tiada Ketaatan Dalam Menderhakai Allah SWT

PENDAHULUAN

Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

PENGENALAN

Surah Luqman [31] : 15

15. Dan jika keduanya (ibu bapamu) memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

Lanjutan dari wasiat Luqman Al-Hakim mengenai ketaatan kepada kedua ibu bapa. Walaubagaimanapun, ketaatan kepada kedua ibu bapa atau makhluk tidak boleh diatasi dengan ketaatan kepada Allah yang Maha Tinggi.

PERBINCANGAN

1. Ketaatan Kepada Allah SWT Paling Utama

Walaupun ketaatan kepada kedua ibu bapa adalah wajib, tetapi ketaatan itu tidak boleh mengatasi ketaatan kepada Allah Subhana wa Ta’ala dan hendaklah tetap berkata dengan baik dan tidak boleh mengasari mereka. Maksudnya bantahlah mereka dengan cara yang lembut dan bijaksana jika mereka menyuruh kepada kemaksiatan.

Walaupun zahir ayat tersebut khusus kepada kedua ibu bapa, tetapi lafaznya adalah umum dan maksudnya jika kedua ibu bapa pun tidak boleh ditaati, apatah pula mentaati orang lain dalam berbuat kemaksiatan. Umumnya, tidak boleh mentaati makhluk dalam hal-hal berbuat kemaksiatan.

Orang-orang yang menderhakai Allah Subhana wa Ta’ala diancam kekal dalam neraka. Firman-Nya;

Surah An-Nisaa' [4] : 14

14. Dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuan-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya siksa yang menghinakan.

2. Menuruti Orang yang Soleh

Selanjut dalam ayat di atas, ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku (Surah Luqman [31] : 15), iaitu ikutlah panduan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, janganlah menuruti orang-orang kafir dan mereka yang membelakangi Al-Quran dan As-Sunnah.

Ini adalah salah satu faktor yang sangat penting dalam Islam, atau dikenali sebagai wala’ (kesetiaan, kepatuhan, kecintaan) dan bara’ (membenci, menjauhi atau membebaskan diri).

· Maksudnya secara kefahaman yang mudah, wala’ adalah mencintai apa yang dicintai oleh Allah Subhana wa Ta’ala dan Rasul-Nya, melebihi cintanya kepada orang lain meskipun melebihi cintanya kepada kedua ibu bapanya dalam mentaati Allah. Apa yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya adalah mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Firman-Nya; dan di dalam sebuah hadis;

Surah At-Taubah [9] : 23

23. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim.

Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, "Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum ia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya.” (0035) Sahih Muslim


· Manakala bara’ pula, berjuang membebaskan diri atau tidak mengikuti orang-orang yang di benci oleh Allah Subhana wa Ta’ala dan Rasul-Nya dengan penuh komitmen walaupun orang tersebut orang yang paling dekat dan rapat dengan kita. Firman-Nya;

Surah Al-Mumtahanah [60] : 1

1. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia.....(musuh Allah dan musuh orang Islam adalah orang-orang yang kufur pada kebenaran Islam)

Surah Al-Maa'idah [5] : 51

51. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

3. Ciri-Ciri Orang yang Mengasihi Musuh Allah SWT

Diantara ciri-ciri orang yang mengasihi musuh Allah Subhana wa Ta’ala atau mereka yang mentaati orang yang menderhakai Allah zaman ini adalah;

a. Menyerupai orang kafir dari segi cara hidup mereka, pergaulan bebas, cara pemakaian (tidak menutup aurat), memuliakan kata-kata mereka walaupun bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, mengagungkan perkataan mereka lebih dari Al-Quran dan As-Sunnah dan perkara-perkara lain yang seumpamanya. Paling keji dan parah adalah mengikuti pemikiran yang sama dengan mereka.

b. Meminta bantuan kepada orang kafir dan percaya kepada mereka dan meletakkan kedudukan terpenting (berjawatan tinggi) di mana mereka mempunyai kuasa (kekebalan) untuk menjatuhkan orang-orang Islam dan menghina agama Islam.

c. Menolong dan membela orang-orang kafir yang menghina Islam, menghina Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam, menghina hukum-hukum Islam dan sebagainya. Contohnya menghalalkan penjualan arak berleluasa, riba dan yang seumpamanya.

d. Bersikap tegas dan biadap kepada orang Islam; tetapi berlemah lembut, lemah longlai, berkasih sayang pada orang kafir dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Contohnya, konon berdakwah kepada mereka tetapi orang Islam sendiri dicaci. Firman Allah Subhana wa Ta’ala;

Surah Al-Mujaadilah [58] : 22

22. Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka....

Janganlah begitu dan sedarlah; sekiranya seorang Muslim mati maka tiada satu orang kafir pun akan memandikan dan mengafankan. Sebenci mana kita pada orang Islam, tetapi merekalah yang akan menguruskan jenazah kita dan merekalah yang mendoakan kepada kita sesama Muslim. Melalui firman-Nya;

Surah Al-Hujuraat [49] : 10

10. Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.

Surah Al-Anfaal [8] : 46

46. Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.

Di dalam hadis;

Dari An Nu'man bin Basyir ia berkata : Rasulullah saw bersabda: "Orang mukmin itu seperti jasad yang satu. Jika kepalanya sakit, maka semua anggota tubuhnya turut merasakan. Dan jika matanya sakit, nescaya seluruhnya akan merasakan (sakitnya)." [17667] (Sahih, Riwayat Ahmad)

e. Memuji-muji upacara keagamaan mereka seperti penyembahan batu, mencucuk-cucuk atau menyakiti badan sendiri, meraikan upacara keagamaan mereka, menganggap agama mereka itu benar serta membantu pula mereka menyebarkannya menerusi media elektronik dan lain-lain.

Memang benar agama mereka untuk mereka tetapi perlu diingat, tidak boleh sama sekali menganggap agama mereka itu benar atau menganggap semua agama bertujuan menjadikan manusia itu baik. Ini adalah bab akidah, mengingkarinya menjadikan seseorang itu menjadi kafir.
e.1. Tidak ada satu agama yang membawa kebaikan pada manusia kecuali Islam. (Ini bukan percakapan kosong kerana penulis beragama Islam, tetapi ia berdasarkan fakta ilmiah). Buktinya? Carilah sebuah kitab agama yang melengkapi, seimbang dan mudah dipraktikkan melalui sanad-sanad yang mutawatir (mustahil ramainya manusia berbohong pada masa yang sama) yang menyamai Al-Quran.

Atau, buatlah walau sepotong ayat yang lebih hebat dari Al-Quran (pendek tetapi jelas dan merangkumi pelbagai makna). Kumpullah walau sejuta para saintis atau pakar bahasa sekalipun, nescaya tidak akan mampu membuat walau satu pun ayat Al-Quran.
e.2. Tidak boleh mengalakkan mereka berterusan dalam kesesatan, hendaklah berdakwah dengan bijaksana dan bukannya menyetujui perbuatan mereka.
e.3. Tidak boleh berada bersama dengan mereka dalam upacara keagamaan, malah hendaklah membencinya (kerana menyekutukan Allah) dengan sepenuh hati.

f. Memberi nama anak atau gelaran pada rakan-rakan atau diri sendiri dengan nama-nama orang kafir.

g. Memuji-muji kebudayaan mereka yang bertentangan dengan syariat Islam, seperti memuji penciptaan patung-patung besar, pakaian budaya yang mendedahkan aurat dan sebagainya.

Bukanlah risalah ini bertujuan supaya kita membenci orang kafir dan pembuat maksiat, tetapi kita membenci kerana kesesatan-kesesatan mereka. Maka dengan itu menjadi kewajipan kepada orang Islam agar meneruskan perjuangan Rasulullah saw, para sahabatnya r.anhum dan para pejuang Islam yang lain, iaitu menyebarkan kepada manusia agar kembali kepada ajaran tauhid dan menegakkan syiar Islam. Ia bermula dari individu yang taat kepada Allah Subhana wa Ta’ala dan Rasul-Nya.

Bersambung - Wasiat Luqman Al-Hakim (Keempat) : Perincian Hisab (Balasan) Atas Amalan


0 comments:

Post a Comment