-->

Mengenali Kesesatan – Melalui Al-Quran (Bahagian 2 )

Posted by syahira rusman Tuesday, October 16, 2012 0 comments
Mengenali Kesesatan – Melalui Al-Quran (Bahagian 2 )

PENDAHULUAN

Surah Al Baqarah [2] : [255]
.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

PENGENALAN

2. Kesesatan Melalui Al-Quran

Setelah kewafatan Rasulullah saw, Al-Quran sudah sampai kepada kita dalam keadaan lengkap secara mutawatir. Sejak dari zaman sebelum hijrah, Al-Quran telah ditulis di atas kertas. Ketika di Madinah pula, Al-Quran telah ditulis lebih kurang hampir enam puluh lima penulis wahyu dari kalangan sahabat, antaranya Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab. (Rujukan : The History of Quranic Text [Prof. Dr. Al-A’zami])

Begitulah dalam penulisan Al-Quran yang dikumpul dan diriwayatkan melalui sanad yang mutawatir. Sekiranya ada yang mendakwa bahawa Al-Quran masih belum lengkap maka dia menidakkan sifat wajib bagi Rasulullah saw sebagai ‘tabligh’ (menyampaikan). Bukan itu sahaja, malah orang yang mendakwa sedemikian mengingkari firman Allah yang Maha Agung dalam;

Surah Al-Hijr [15] : 9

9. Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Al-Quran terjamin pemeliharaan dan kesuciannya dengan penjagaan Allah yang Maha Agung. Dakwaan mengatakan Al-Quran yang ada sekarang masih belum lengkap atau ada yang ditambah adalah dakwaan yang menampakkan kejahilan sendiri. Malah Allah yang Maha Agung mencabar makhluk-Nya jika mampu, buatlah walaupun satu ayat sebanding Al-Quran melalui firman-Nya;

Surah Al-Baqarah [2] : 23 

23. Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah (sahaja) yang sebanding Al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. 

Oleh kerana itulah, Al-Quran merupakan mukjizat yang diberikan kepada Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam (saw) oleh Allah yang Maha Tinggi. Keagungan dan ketinggian Al-Quran itu tidak dapat dipersoalkan lagi, buktinya tiada satu makhluk pun di muka bumi ini mampu mencipta sepertinya.

PERBINCANGAN

Kita kembali dalam perbincangan mengenai orang-orang yang sesat walaupun dari mulutnya keluar ayat-ayat Al-Quran.

(a). sengaja mengikuti jalan yang lain dari jalan yang ditunjuki;

Surah Al-Ahzab [33] : 36

36. Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.

Sekiranya Allah yang Maha Agung dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu perkara, maka tidak seseorang pun boleh melanggarnya walaupun seseorang itu merasakan ada pilihan yang lebih baik, baik dari segi pemikiran dan pendapat mahupun dari segi perbuatan. Contohnya, firman Allah yang Maha Agung;

Surah Al-Maa'idah [5] : 38

38. Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Orang-orang yang sesat akan berkata, mengikut fikiran dan pendapat mereka bahawa memotong tangan pencuri adalah penganiayaan kepada manusia. Tidak kira sesiapapun yang berkata sedemikian walaupun bergelar ustaz atau ustazah (atau bergelar mukmin), maka mereka tertakluk dalam Surah Al-Ahzab [33] : 36, iaitu telah nyata kesesatan mereka. Sekiranya kita mengikuti mereka, maka kita turut sama dipertanggungjawabkan pada hari pembalasan kelak.

Surah Al-Baqarah [2] : 167

167. Dan berkatalah orang-orang yang mengikuti: "Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami." Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari api neraka.

(b). tersesat kerana memang tidak mengetahui jalan yang sebenar;

Surah Al-Qamar [54] : 17

17. Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

(i). Orang-orang yang merelakan dirinya berada dalam kejahilan dan rela pula orang lain berada dalam kejahilan. Mereka tersesat kerana tiada sekelumit dalam hati mereka untuk menuntut ilmu, sedangkan telah jelas dari firman Allah yang Maha Agung dalam Surah Al-Qamar [54] : 17 seperti di atas, iaitu dipermudahkan manusia mempelajari Al-Quran kepada sesiapa yang ingin mempelajarinya.

(ii). Orang-orang yang menganggap remeh hukum-hakam dalam agama Islam, iaitu mereka yang hanya mementingkan pendidikan duniawi dan melupakan pendidikan agama. Oleh kerana pendidikan agama dianggap tidak penting, maka akhlak masyarakat semakin lama semakin buruk, lalu lahirlah generasi mendatang yang buruk kelakuannya dan keseimbangan keharmonian masyarakat terjejas.

Hasilnya, masyarakat mula hidup tidak tenteram kerana keadaan sekeliling semakin mendesak akibat hilangnya nilai-nilai murni masyarakat yang kurang pendidikan agama dan akhlak, lalu terjadilah ragut, samun, rompak, culik, rogol dan jenayah-jenayah lain hasil daripada punca yang paling utama, iaitu ‘jenayah pendidikan’.

Jenayah pendidikan ini dilakukan oleh ramai orang, terutamanya ibu bapa. Ibu bapa zaman ini kebanyakannya hanya mementingkan pendidikan duniawi tanpa memperhatikan pendidikan agama anak mereka.

Hadis : Dari Abu Hurairah r.a : Rasululullah saw bersabda, “Tidak seorang jua pun bayi yang baru lahir melainkan dalam keadaan suci. Maka kedua orang tuanyalah (ibu bapa) yang menyebabkan anak itu menjadi Yahudi, Nasrani dan musyrik.... [2284] Sahih Muslim

Surah An-Nahl [16] : 93

93. ....Dan sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan.

(c). disesatkan oleh orang yang menunjuki arah jalan yang salah; dan

Surah Al-Maa'idah [5] : 49

49. dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu.

(i). Orang-orang beriman hendaklah membuat keputusan berdasarkan syariat Allah yang Maha Agung dan apa yang diwahyukan kepada Nabi saw, bukannya mengikut majoriti arus perdana atau mengikut kesepakatan mereka yang membelakangi Al-Quran dan As-Sunnah.

(ii). Berhati-hati terhadap musuh-musuh Islam dari kalangan munafik, kafir, pengikut hawa nafsu atau syaitan, pengkhianat dan seumpamanya yang cuba mengindoktrinasi ke dalam fikiran umat Islam mengikut acuan mereka, seperti sekularisme (pemisahan agama dalam kehidupan), sosialisme (hak kemanusiaan dan kemasyarakatan-termasuk menolak hukum yang disyariatkan Al-Quran-menolak hudud dan sebagainya), pluralisme (agama semua sama) dan isme atau fahaman sesat yang lain.

Surah Al-Maa'idah [5] : 49

49. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.

(iii). Orang-orang yang sesat dan menyesatkan orang-orang lain ini, adalah suatu ketetapan dari Allah yang Maha Mengetahui. Sekiranya mereka diberi petunjuk pun, mereka tetap akan berpaling dari ketaatan dan kebenaran kepada Allah yang Maha Agung, sesuai dalam firman-Nya;

Surah Al-Anfaal [8] : 23

23. Kalau sekiranya Allah mengetahui kebaikan ada pada mereka, tentulah Allah menjadikan mereka dapat mendengar. Dan jikalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar, nescaya mereka pasti berpaling juga, sedang mereka memalingkan diri (dari apa yang mereka dengar itu).

(d). sombong untuk bertanya apabila tidak tahu jalan yang betul.

Surah Az-Zumar [39] : 60

60. Dan pada hari kiamat kamu akan melihat orang-orang yang berbuat dusta terhadap Allah, mukanya menjadi hitam. Bukankah dalam neraka Jahannam itu ada tempat bagi orang-orang yang menyombongkan diri?

(i). Orang-orang yang menyombongkan diri dalam menuntut ilmu Al-Quran. Mereka menyangka dengan membaca terjemahannya, sudah cukup untuk mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran. Mereka menafsirnya dengan menggunakan akal fikiran sepenuhnya dan bertentangan pula maksud sebenar dengan Al-Quran, Nabi saw dan para sahabatnya (r.a). Jadilah mereka orang yang sesat dan menyesatkan.

(ii). Orang-orang yang kononnya berilmu dan berasa malu kerana kejahilan mereka gagal menjawab sesuatu pertanyaan, lalu membawakan fatwa yang tidak diketahuinya atau hanya mengagak-agak sahaja. Mereka sombong untuk mengatakan tidak tahu.

(iii). Orang-orang yang berasa malu untuk menuntut ilmu baik dari segi umur yang semakin tua atau beralasan tiada tempat yang sesuai dan pelbagai lagi alasan mereka. Malah mereka mencaci pula orang-orang yang menuntut ilmu kononnya bukan semua orang berilmu itu baik. Sebenarnya mereka merelakan diri mereka berada dalam kejahilan dan kesombongan.

Hadis : Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, “Mencari ilmu adalah fardhu bagi setiap orang Islam.” [0184] Sahih Ibnu Majah


0 comments:

Post a Comment