-->
Posted by Unknown Thursday, October 18, 2012 0 comments
Kitab-Kitab Hadis

Hadis-hadis Nabi saw yang terdiri daripada tutur kata, perbuatan, pengiktirafan (taqrir) dan sifat baginda Rasulullah saw telah pun dikumpul di zaman lalu. Para ulama zaman silam sudah pun membukukan dengan menggunakan kaedah-kaedah penyaringan yang telah disepakati para ulama’. Cara pengumpulannya melalui beberapa cara, antaranya;

1. Masanid

Ia adalah kata jamak dari perkataan musnad iaitu, kitab yang mengandungi hadis-hadis Nabi saw berdasarkan riwayat seseorang sahabat yang meriwayatkannya. Bagaimanapun tidak diambil kira samada hadis tersebut berstatus sahih atau daif.

Nama-nama sahabat itu disusun samada mengikut tertib keislaman mereka atau dengan cara mengikut susunan abjad ataupun dengan cara mengikut kabilah, negara kelahiran serta nama keluarga dan selainnya.

Contoh : Musnad Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H), Musnad Abu Daud Al-Thayalisi (wafat 203H), Musnab ‘Ubaidullah bin Musa (wafat 213H) dan banyak lagi musnad-musnad yang lain.

2. Musannafat

Ia adalah kata jamak dari musannaf, merupakan kitab hadis yang disusun secara ringkas dalam beberapa bab fiqh dan agama yang tidak lengkap dan tidak secara khusus. Topik yang dibentangkannya tidak lengkap seperti kitab Jamik yang merangkumi semua topik agama dan tidak juga lengkap dalam topik fiqh sepertimana kitab Sunan.

Contoh : Musannaf oleh Waki’ bin al-Jirah (wafat 197H), Hammad bin Salamah (wafat 167H) dan beberapa lagi.

Di dalam musannafat ini pelbagai hadis yang bertaraf marfuk. mauquf dan juga maqthu’.

3. Sihah

Ia adalah kata jamak dari sahih dan merupakan kitab hadis yang disusun berdasarkan himpunan hadis-hadis yang paling sahih dengan mengeluarkan semua hadis-hadis yang lemah dan tidak menepati syarat hadis sahih.

Contoh : Imam al-Bukhari (wafat 256H), Imam Muslim (wafat 261H).

Kedua kitab ini telah menjadi panduan dan rujukan kitab-kitab hadis yang paling utama selepas itu samada dari sudut manhaj atau kesahihannya.

4. Jamik

Ia adalah kitab hadis yang dikumpulkan setiap hadis menurut topik yang lebih besar dikenali sebagai kitab, seperti kitab akidah, kitab iman, kitab adab, kitab musafir dan sebagainya.

Contoh : Jamik al-Sahih – Imam al-Bukhari, Jamik Sunan - Imam al-Tirmidzi (wafat 279H), Jamik al-Saghir – Sufyan al-Tsauri (wafat 161H).

5. Sunan

Ia merupakan kitab hadis yang ditulis dengan cara urutannya didasarkan pada tajuk-tajuk fiqh menurut ahli fiqh seperti dimulakan dengan bab ilmu, bab iman, bab bersuci, bab solat, bab zakat, bab puasa dan lain-lain.

Kurun ketiga yang merupakan kemuncak kegemilangan keilmuan Islam telah menyaksikan banyak hasil pengumpulan hadis dalam bentuk sunan, antaranya;

Contoh : Sunan Abu Daud (wafat 275H), Sunan Ibnu Majah (wafat 273H), Sunan al-Nasa’I (wafat 303H) dan lain-lain.

Keempat-empat kitab sunan yang masyhur di kalangan umat Islam adalah Jamik Sunan al-Tirmidzi, Sunan Abu Daud, Sunan Ibn Majah dan Sunan al-Nasa’i.

(Rujukan : Sejarah Perkembangan Hadis – Rosli Mokhtar dan Mohd Fikri Che Hussain)


0 comments:

Post a Comment