-->

Adab-Adab Berjiran

Posted by Unknown Tuesday, October 16, 2012 0 comments
Adab-Adab Berjiran

Jiran

Dikhususkan bab ini adalah kerana pentingnya hidup bermasyarakat. Islam mementingkan kesejahteraan, keamanan atau secara umumnya berbaik-baik sesama manusia terutamanya sesama Islam. Allah yang Maha Agung berfirman;

Surah An-Nisaa' [4] : 36

36. Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri,

Hadis yang dipaparkan berikut adalah penting kerana ia membicarakan hal-hal kejiranan, termasuk keutamaan jiran, apa yang diharamkan apabila berjiran, tanggungjawab berjiran dan lain-lain. Semoga dapat memberi manfaat kepada kita insyaAllah dan semoga Allah yang Maha Agung menyatukan hati-hati umat Islam. Amin.

Hadis-hadis dinukil dari; Adab-Adab Berjiran, tulisan Syeikh Ali Hasan Ali Abdul Hamid

Haram Menyakiti Jiran

01. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tidak masuk syurga seseorang yang jirannya tidak merasa aman dari kejahatannya.” [Bukhari dan Muslim dan lain-lain]

Berbuat Baik Kepada Jiran


02. Dari ‘Aisyah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Jibril terus menerus berwasiat kepada ku untuk berbuat baik terhadap jiran, sampai-sampai (sehingga) aku mengira dia akan menjadikannya sebagai ahli waris.” [Bukhari dan Muslim]

Memberi Perhatian Terhadap Jiran

03. Dari Abu Dzar r.a katanya : Kekasih ku (Rasulullah saw) berwasiat kepada ku : “Jika kamu memasak sayur, maka perbanyaklah kuahnya dan perhatikanlah jiran mu.” [Muslim dan lain-lain]

Toleransi Terhadap Jiran

04. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Janganlah sekali-kali salah seorang dari kalian melarang jirannya untuk menancapkan kayu di temboknya.” [Bukhari dan Muslim dan lain-lain]

Cabang Dari Iman

05. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah menyakiti jirannya.” [Bukhari dan Muslim]

Sebaik-baik Jiran

06. Dari Abdullah bin ‘Amr r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah orang yang paling baik di antara mereka terhadap temannya. Dan sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah orang yang paling baik di antara mereka terhadap jirannya.” [Sahih, At-Tirmidzi, Ahmad, Darimi dan Hakim]

Jiran yang Baik Termasuk Dalam Kebahagiaan

07. Dari Sa’d bin Abi Waqqash r.a : Rasulullah saw bersabda, “Ada empat perkara yang termasuk (dalam) kebahagiaan :

(a). Isteri yang solehah,

(b). Tempat tinggal yang luas,

(c). Jiran yang baik; dan

(d). Kenderaan yang nyaman.

Dan empat perkara yang termasuk kesengsaraan :

(a). Jiran yang buruk,

(b). Isteri yang buruk (agama dan akhlaknya),

(c). Tempat tinggal yang sempit; dan

(d). Kenderaan yang buruk.” [Sahih, Ibnu Hibban dan Al-Khatib]

Tidak Diperbolehkan Kenyang dan Membiarkan Jirannya Lapar

08. Dari Abdullah bin Musawir, katanya : Aku mendengar Ibnu ‘Abbas r.a menyebutkan Ibnu Zubair, lalu menuduhnya bakhil. Kemudian berkata :

‘Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, “Tidaklah disebut mukmin orang yang kenyang sedangkan jiran di sampingnya kelaparan.” [Hadis Hasan. Riwayat Bukhari, Hakim dan Al-Khatib]

Hilangnya Iman

09. Dari Anas r.a : Nabi saw bersabda, “Demi Dzat yang jiwa ku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang hamba itu beriman, sehingga dia mencintai jirannya – atau berkata : saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya.” [Bukhari]

Wasiat Kepada Wanita

10. Dari Abu Hurairah r.a : Nabi saw bersabda, “Wahai para wanita Islam, janganlah sekali-kali seorang jiran perempuan meremehkan hadiah yang diberikan kepada jirannya walaupun hanya kuku kambing.” [Bukhari]

Mendahulukan Hak Jiran yang Paling Dekat

11. Dari ‘Aisyah r.a, katanya : ‘Wahai Rasulullah, aku mempunyai dua jiran, lalu kepada siapakah aku memberikan hadiah? Baginda menjawab, “Kepada yang paling dekat pintunya dari mu.” [Bukhari]

Kesaksian Jiran

12. Dari Ibnu Mas’ud r.a, katanya : Seseorang bertanya kepada Nabi (saw) : Bagaimana saya boleh tahu bahawa saya telah berbuat baik dan berbuat buruk?

Baginda (saw) menjawab, “Jika kamu mendengar tetangga mu berkata, ‘Engkau telah berbuat baik’, maka bererti kamu telah berbuat baik.

Dan jika kamu mendengar mereka berkata, ‘Engkau telah berbuat buruk’, maka bererti engkau telah berbuat buruk.” [Sahih, Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Al-Baghawi]

Perdebatan Antara Jiran

13. Dari ‘Uqbah bin Amir r.a : Nabi saw bersabda, “Dua orang yang berdebat pertama kali pada hari kiamat adalah dua orang jiran.” [Sahih, Riwayat Thabrani, Ahmad dan lain-lain]

Menyakiti Jiran Penyebab ke Neraka

14. Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seseorang berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Fulanah banyak melakukan solat, sedekah dan puasa (ibadat). Hanya saja dia menyakiti jiran dengan lisannya.’

Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Fulanah diceritakan sedikit melakukan puasa dan solat. Tetapi dia bersedekah dengan beberapa potong keju dan tidak menyakiti jirannya.” (Kemudian) Rasulullah saw bersabda, “Dia di dalam syurga.” [Sahih, Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Hakim]

Maksudnya : Islam bukan hanya menitikberatkan pelaksanaan ibadah fizikal semata-mata. Ia perlu seiring, iaitu pelaksanaan fizikal dan kerohanian (akhlak yang baik). Sesuai dalam firman Allah yang Maha Agung;

Surah An-Nahl [16] : 90

90. Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.

Fitnah (Godaan) Jiran

15. Dari Hudzaifah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Fitnah (godaan) seseorang itu terletak pada keluarga, harta, anak dan jirannya. Boleh dihapus (godaan itu) oleh solat, puasa, sedekah, amar (ma’ruf) dan nahi (mungkar)...” [Bukhari dan Muslim]

Bersedekah Kepada Jiran

16. Dari Abu Said Al-Khudri r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tidak halal sedekah diberikan kepada orang kaya, kecuali fisabilillah, orang yang dalam perjalanan atau jiran fakir yang diberi sedekah kemudian memberikan hadiah kepada mu atau mengundang mu.” [Sahih Abu Daud, Ibnu Majah dan lain-lain]


0 comments:

Post a Comment