-->

Muhkam dan Mutasyabih

Posted by Unknown Tuesday, October 16, 2012 0 comments

PENDAHULUAN 

Surah Al Baqarah [2] : [255] 

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Muhkam dan Mutasyabih
Pengkhususan antara maksud ayat ‘muhkam’ dan ‘mutasyabih’

1. Muhkam : Ayat yang mudah diketahui secara langsung tanpa memerlukan keterangan lain.
Mutasyabih : Ia memerlukan penjelasan dengan merujuk kepada ayat-ayat lain (atau melalui tahap penafsiran yang dibenarkan, melalui Al-Quran, Nabi saw dan sahabat r.a).

2. Muhkam : Ayat yang mudah diketahui maksudnya.
Mutasyabih : Hanya Allah yang Maha Agung mengetahui maksudnya.

Dalam ertikata lain, para ulama telah membahagikan ayat muhkam dan mutasyabih;
Muhkam

Contoh ayat-ayatnya seperti ayat-ayat nasikh, masalah halal dan haram, hudud, kewajipan, janji dan ancaman. Contohnya,

Surah Al-Maa'idah [5] : 38

Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Mutasyabih

Ayat-ayat mutasyabih pula, seperti ayat mansukh dan asma’ Allah serta sifat-sifatnya seperti;

Surah Thaha [20] : 5
(Yaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah. Yang bersemayam di atas 'Arsy.

Tiada Percanggahan dalam Al-Quran

Muhkam dan Mutasyabih Secara Umum

Muhkam dan Mutasyabih tidak bercanggah antara satu sama lain. Bukanlah bermakna kita langsung tidak boleh menafsir ayat mutasyabih kerana Rasulullah saw telah diutus untuk menyampaikan dengan jelas akan Al-Quran. Allah yang Maha Agung telah berfirman;

Ayat Muhkam yang Umum

Surah Fushshilat [41] : 3

Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yang diturunkan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang mengetahui,

Surah Huud [11] : 1

Alif laam raa, (inilah) suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan dari sisi (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Ayat Mutasyabih yang Umum

Surah Az-Zumar [39 : 23

Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) Al Quran yang serupa (mutasyabiha) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, niscaya tak ada baginya seorang pemimpinpun. 

Ayat Muhkam dan Mutasyabih yang digabungkan bagi pengkhususan

Surah Ali 'Imran [3] : 7

Dia-lah yang menurunkan Al-Kitab (Al-Quran) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat, itulah pokok-pokok isi Al qur'an dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihaat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. 

Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyaabihaat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami." Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.

Ayat di atas diterangkan mengenai ayat-ayat Al-Quran yang dijelaskan secara terperinci satu persatu (perkara asas), kemudian ayat yang mutasyabih (diulas dibawah) dan terakhir digabungkan muhkam dan mutasyabih yang mana diterangkan orang yang mentakwil ayat mutasyabih untuk menimbulkan fitnah.

Rasulullah saw telah pun menyampaikan selengkapnya kepada umatnya. Menjadi tanggungjawab kita untuk mempelajarinya kerana begitulah ilmu. Perlu dicari, dipelajari dan kadangkala perlu dikaji dan kadangkala perlu diperhati.

Persoalannya bagaimana ayat mutasyabih itu dimaksudkan atau ditafsirkan? Saya memberi contoh berdasarkan PERUMPAMAAN supaya kita mudah faham.

1. Muhkam : Perumpamaannya, seperti buah durian, manggis, epal dan lain-lain. Tutup mata pun kita boleh tahu jenis buahnya dengan hanya melalui rasanya atau sentuhan. Alhamdulillah.

2. Mutasyabihat : Perumpamaannya, seperti benih-benih pokok seperti buah di atas. Benih-benih kelihatan sama tetapi kita tidak tahu membezakan yang mana satu benih pokok durian, manggis dan sebagainya. Subhanallah.

Apa yang ingin disampaikan melalui perumpamaan di atas adalah bagi ayat-ayat mutasyabihat, kita mesti mengakui akan maksud asalnya (tafsiran asal) kemudian memerlukan penelitian yang lebih dalam menafsirnya tanpa melanggar perkara asas dalam Al-Quran.

Perumpamaannya, tanam benih pokok durian tidak akan berbuah manggis (muhkam). Tafsirannya, jika mahu menanam pokok durian mesti menggunakan benih pokok durian. Penelitiannya, cara membaja, struktur tanah dan sebagainya (mutasyabih). Ini hanyalah contoh perumpamaan.

Kita tidak boleh memandai-mandai mengatakan durian itu manggis atau mengandaikan sesuatu tanpa ilmu. Ini boleh menyebabkan kekeliruan dan menyebabkan salah tafsir.

Contoh Ayat Mutasyabih

Contoh; Allah SWT berfirman Surah Az-Zumar [39] : 67, “langit digulung dengan tangan kanan-Nya”. Takwilan orang zaman ini menafsirkan ‘tangan’ itu adalah al-qudrah atau kekuasaan dan mereka berpendapat tidak mahu menyamakan Allah SWT dengan makhluk.

Tetapi makhluk juga punya kekuasaan, tidakkah ini menyamakan dengan sifat-Nya juga? Perkara ini sama seperti orang yang mencipta hadis palsu kononnya untuk kebaikan, tetapi dia sengaja menjerumuskan dirinya kepada kebinasaan.

Jika terjadi sedemikian (telahpun terjadi), hendaklah kita mengambil takwil yang paling benar, iaitu tafsiran Nabi saw. Nabi saw bila ditanya tentang apa yang disifatkan oleh Allah SWT terhadap sifat-Nya sendiri, Nabi saw membenarkan dan menerima sepenuhnya dan begitu pula para sahabat r.a menerima dengan sepenuh hati tanpa takyif (menanyakan bagaimana) dan tahrif (menyelewengkan maknanya), iaitu mengagungkan Allah SWT dengan pengagungan yang semestinya.

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Apa yang telah kularang kamu mengerjakannya hentikanlah. Dan apa yang kuperintahkan kamu mengerjakannya, lakukan sehabis dayamu. Sesungguhnya umat yang sebelum kamu binasa kerana mereka banyak tanya dan banyak debat terhadap Nabi-Nabi mereka.” [2170] Sahih Muslim

Setiap perselisihan pendapat ada penawarnya, iaitu kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, nescaya tidak sesat, itu janji Allah SWT dan Rasul-Nya. Namun janganlah kita semudahnya mengatakan orang yang berlainan pendapat dengan kita adalah kafir dan sesat kerana ini bukan sikap para Ahli Sunnah wal Jamaah.

Surah Asy-Syuura [42] : 10

Tentang sesuatu apapun kamu berselisih, maka putusannya (terserah) kepada Allah. (Yang mempunyai sifat-sifat demikian) itulah Allah Tuhanku. Kepada-Nya lah aku bertawakkal dan kepada-Nyalah aku kembali.

Perkara yang Lebih Penting

Sepatutnya apa yang perlu dititikberatkan oleh kita, para ilmuwan dan para ulama khususnya; hendaklah kita bersatu hati dan berdakwah dalam memperjelaskan dan menerangkan kepada orang-orang yang menjadikan ayat muhkam itu menjadi mutasyabih. Contohnya, setelah jelas ayat muhkam,

Surah Al Maa'idah [5] : 38

Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah...

Tetapi 'orang-orang ini' mengatakan ada hukuman yang lebih adil dari hukuman Allah yang Maha Agung. Inilah contoh manusia yang menukarkan ayat muhkam, kepada ayat mutasyabih dengan melanggar perkara asas dalam Al-Quran dan menimbulkan fitnah (perselisihan pendapat, huru-hara dan sebagainya).

Namun pada pendapat saya, jika ia menunjukkan kebijaksanaan Al-Quran dan membawa kepada kebaikan manusia, ia dibolehkan seperti;

Surah Faathir [35] : 9

Dan Allah, Dialah Yang mengirimkan angin; lalu angin itu menggerakkan awan, maka Kami halau awan itu ke suatu negeri yang mati lalu Kami hidupkan bumi setelah matinya dengan hujan itu. Demikianlah kebangkitan itu.

Allah yang Maha Agung mengirimkan angin yang boleh menggerakkan awan, iaitu awan hujan. Jika diteliti, pengewapan air dari bumi sepanjang tahun sebanyak 513 juta tan dan bersamaan turunnya hujan ke bumi sebanyak itu juga. Secara purata dalam sebulan 42.7 juta tan dan dalam sehari 1.4 juta tan. (Rujukan : Google)

Sekiranya angin boleh menggerakkan awan hujan sebegini berat, mengapa angin tidak boleh menggerakkan enjin lori satu tan? Atau sebuah enjin kereta yang lebih ringan dari itu? Mengapa kita tidak mencipta enjin yang bergerak menggunakan angin? Mungkinkah?

Ini adalah contoh kebijaksanaan akal manusia yang dapat mengaplikasikan Al-Quran dalam kehidupan dan tidak melanggar perkara asas dalam Al-Quran, antaranya kebijaksanaan Allah yang Maha Agung yang telah menjadikan ayat Al-Quran itu muhkam dan mutasyabih supaya manusia berfikir dan membuktikan kekuasaan Allah yang Maha Agung.

Surah Al-Mulk [67] : 3-4 

Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang? 

Kemudian pandanglah sekali lagi nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itupun dalam keadaan payah.

Wallahu ‘alam.

Rujukan : Tafsir Ibn Katsir, Surah Az-Zumar m/surat : 170, Tafsir Ibnu Abbas m/surat 665, Sahih Muslim dan Cara Mudah Memahami Al-Quran [Manna’ Khalil Qathan] m/surat 376, Ilmu Mantik [Ustaz Ab. Latif Muda dan Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin].


0 comments:

Post a Comment