-->

Lalai Dalam Solat

Posted by Unknown Wednesday, October 17, 2012 0 comments
Lalai Dalam Solat

PENDAHULUAN


Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

PENGENALAN

Apakah yang dimaksudkan dengan lalai?

Lalai membawa kepada beberapa maksud yang berlainan jika diperincikan, diantaranya ;

1. tidak menghiraukan,

2. tidak berhati-hati,

3. berlengah-lengah atau melambat-lambatkan,

4. terlupa,

5. asyik dengan sesuatu perkara dan

6. tidak mengambil berat. (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat).

Di dalam Al-Quran, Allah yang Maha Agung telah memberi ancaman kecelakaan terhadap mereka yang lalai dalam solat.

Surah Al-Ma’un [107] : 4-5

4. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat,

5. (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya,

(Mengikut Tafsir Ibnu Abbas : Mereka adalah golongan munafik yang berbuat riya’ ketika bersolat. Apabila ada orang Islam, mereka bersolat kemudian meninggalkannya apabila tiada orang melihat) - halaman 819

Kita tidak akan dapat menangani sesuatu permasalahan sekiranya kita tidak mengetahui atau mengenalpasti apakah punca kepada permasalahan itu. Sekiranya kita mengetahui apakah yang menyebabkan kita lalai dalam solat, maka dapatlah kita memperbaikinya dan secara automatik, insyaAllah yang Maha Tinggi kita akan mendapat kekhusyukan di dalam solat.

Maka dapatlah dikatakan risalah ini bertujuan untuk mendekatkan kita kepada perkara-perkara asas dalam mewujudkan kosentrasi atau kekhusyukan dalam solat dengan cara mengenali kelalaian-kelalaian yang kurang kita beri perhatian terhadapnya.

PERBINCANGAN

Kita akan menelusuri satu persatu secara ringkas mengenai pemerincian perkataan lalai di atas melalui contoh dalam Al-Quran yang sebelum ini mungkin kita ‘lalai’ dari memperhatikannya, iaitu apakah yang boleh menyebabkan seseorang manusia itu lalai.

Pemerincian Perkataan Lalai Dalam Al-Quran

Walaupun ayat-ayat Al-Quran di bawah ini dikhususkan kepada perkara tertentu, tetapi pengajarannya adalah khusus kepada umat manusia.

1. Tidak Menghiraukan

Surah Ar-Ruum [30] : 7

7. Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.

(a). Orang-orang yang terlalu asyik dengan kehidupan dunia sehingga terlupa satu hari nanti dia akan mati lalu segala perbuatannya akan dihisab.

(b). Mereka tidak menghiraukan pembelajaran mengenai solat khususnya dan apa yang penting adalah ilmu akademik semata-mata.

Orang yang lalai dalam solat adalah orang yang tidak tahu bersolat dengan cara yang betul kerana tiada ilmu mengenai cara-cara bersolat. Solatnya hanya mengikut orang-orang yang di kiri dan kanannya sahaja.

Puncanya : Tidak menghiraukan akan ilmu menghadapi hari akhirat dan asyik dengan kehidupan dunia.

2. Tidak berhati-hati atau cuai

Surah Al-Munaafiquun [63] : 9

9. Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.

(a). Orang-orang yang sibuk dengan urusan kehidupannya seperti perniagaan, urusan kekeluargaan dan segala macam lagi kepentingan diri sendiri yang tidak bertempat.

(b). Tidak berhati-hati dalam melaksanakan solat dan sambil lewa sahaja seperti, tiada tukmakninah dalam solat kerana sibuk mengejar urusan dunianya.

Orang yang lalai dalam solat adalah, orang yang cuai dalam melaksanakan solat atau memandang remeh kewajipan solat sehingga meninggalkan solat kerana sibuknya menguruskan harta dan keluarga.

Puncanya : Salah anggap tujuan hidup. Mereka menganggap wang dan keselesaan keluarga adalah lebih penting dari solat.

3. Berlengah-lengah atau melambat-lambatkan

Surah Al-Anbiyaa' [21] : 1

1. Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).

(a). Orang-orang yang lupa bahawa kematian semakin mendekati, tetapi tetap melengah-lengahkan waktu solat dan menganggap ia akan hidup lama. Pemikiran sebegini juga boleh membawa kepada syirik kerana menidakkan kuasa Allah subhana wa ta’ala.

(b). Termasuk dalam kelalaian itu juga adalah orang yang melengah-lengahkan dalam menuntut ilmu. Mereka menganggap masa muda adalah untuk ‘enjoy’ dan apabila tua atau pencen, barulah mendekati ilmu agama.

Perlu berhati-hati dengan pemikiran sebegini kerana ia boleh menyebabkan syirik kerana beranggapan kita mempunyai kuasa dalam menentukan selama mana kita hidup dan bila kita akan mati.

Puncanya : Beralasan terlalu sibuk dengan kerja. Selain itu ada pula yang melewatkan waktu solat zohor berdekatan dengan asar (atau solat lainnya) dengan alasan, mudah dengan sekali wudhuk. Sebenarnya tidak boleh melewatkan waktu solat kecuali dalam keadaan alasan yang benar. Contohnya, doktor yang membedah pesakit atau apa-apa darurat yang lain.

4. Terlupa

Surah Al-Maa'idah [5] : 14

14. Dan diantara orang-orang yang mengatakan: "Sesungguhnya kami ini orang-orang Nasrani", ada yang telah kami ambil perjanjian mereka, tetapi mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diberi peringatan dengannya; maka Kami timbulkan di antara mereka permusuhan dan kebencian sampai hari kiamat. Dan kelak Allah akan memberitakan kepada mereka apa yang mereka kerjakan.

Maksud lupa di sini bukanlah lupa kerana tidak teringat akan sesuatu, tetapi lupa di sini adalah melupakan dengan sengaja atau sengaja buat-buat lupa. Orang yang lalai dalam solatnya adalah orang yang sengaja melupakan waktu solatnya. Contohnya, tidur lewat hingga terlepas waktu solat subuh. Sememangnya terhadap hadis,

Dari Anas bin Malik katanya : Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa lupa solat atau tertidur kerananya, maka kaffaratnya adalah menunaikannya disaat ingat (sedar atau jaga)." [1103] Sahih Muslim (Ensiklopedia Hadis)

Maksudnya, terlupa atau tertidur tanpa sengaja, maka bolehlah terus bersolat selepas ingat atau sedar. Hadis ini tidak berkaitan dengan orang yang sengaja tidur lewat tiga hingga empat pagi kerana bermain facebook, ‘games’, futsal atau perkara-perkara yang sengaja melalaikan dirinya sehingga lewat bangun subuh.

Orang-orang seperti inilah yang sengaja melalaikan dirinya dan tergolong di dalam orang yang lalai dalam solatnya.

Puncanya : Memandang remeh kewajipan solat.

5. Asyik dengan sesuatu perkara

Surah Shaad [38] : 32

32. Maka ia berkata: "Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingat Tuhanku sampai kuda itu hilang dari pandangan."

Orang-orang yang terlalu asyik dengan sesuatu perkara yang disukainya sehingga menyebabkan ia sengaja melupakan kewajipan untuk bersolat. Walaupun memang fitrah manusia, iaitu suka kepada perkara yang indah dan cantik atau yang menarik minatnya, namun janganlah terlalu asyik kerananya.

Orang-orang yang lalai dalam solatnya adalah, mereka yang terlalu asyik dengan perkara yang diminatinya seperti, bermain atau menonton bola atau sukan lainnya, berhibur, menonton televisyen dan sebagainya yang menyebabkan mereka melewatkan solat atau; malah tidak bersolat langsung.

Kita boleh lihat keadaan ini di mana-mana sekarang ini, contoh terbesar adalah para penonton sukan di stadium bolasepak dan konsert-konsert artis. Bukanlah mencela, tetapi ia adalah satu peringatan supaya tidak terlalu asyik dengan perkara yang tidak terlalu berfaedah.

Puncanya : Terlalu banyak bermewah-mewah dan meletakkan dunia dalam hatinya atau penyakit ‘wahan’ (cinta dunia).

6. Tidak mengambil berat

Surah Al-Anbiyaa' [21] : 2-3

2. Tidak datang kepada mereka suatu ayat Al Quran pun yang baru (di-turunkan) dari Tuhan mereka, melainkan mereka mendengarnya, sedang mereka bermain-main,

3. (lagi) hati mereka dalam keadaan lalai......

Orang-orang yang tidak peduli akan pentingnya solat. Mereka juga tidak peduli akan hukum meninggalkan solat. Malah mereka tidak pernah belajar bersolat, kecuali hanya mengikut-ngikut sahaja.

Orang-orang ini lalai dalam solatnya kerana tidak pernah ambil tahu atau memandang remeh dalam usaha menuntut ilmu agama, khususnya bab paling penting, iaitu tatacara bersolat dengan betul.

Puncanya : Menganggap memadai dengan ucapan kalimah tauhid, maka bab-bab lain dalam agama dipandang ringan. Sedangkan solat juga adalah rukun Islam dan mereka tahu mengenainya tetapi mereka tidak pernah mengambil berat akan hal itu.

PENUTUP


Semoga risalah ini dapat memberi manfaat dan seterusnya dapat kita mengenali kelalaian-kelalaian yang menyebabkan kita tidak mendapat khusyuk di dalam solat. Diantara kelalaian tersebut dapat kita melihat melalui puncanya, iaitu;

(1). Tidak menghiraukan akan kepentingan menuntut ilmu, dan khusus dalam bab ini adalah mengenai ilmu untuk bersolat.

(2). Melupakan tujuan hidup di dunia ini, iaitu beribadah kepada Allah subhana wa ta’ala.

(3). Terlalu sibuk dan asyik dengan sesuatu perkara dan melupakan ‘kesibukan’ yang paling utama, seperti dalam sebuah hadis,

Dari Abdullah bin Mas'ud r.a : Nabis saw bersabda, "Sesungguhnya dalam solat itu ada kesibukan (konsentrasi) ". [3586] Sahih Bukhari (Ensiklopedia Hadis)

Maksudnya sibuk berdoa dan memohon kepada Allah Subhana wa’Ta’ala.

(4). Terlalu suka bermewah-mewah dan mencintai dunia.

(5). Tidak peka atau tidak mengambil berat akan bab-bab bersolat, termasuk kepentingannya pada masyarakat, hukumnya dan segala yang berkaitan.

Surah Al-'Ankabuut [29] : 45

45. Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al-Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Wallahu’alam

Rujukan :

Al-Quran Terjemahan dan Tafsir Ibnu Katsir dan Tafsir Ibn Abbas

Ensiklopedia Hadis

Zadul Ma’ad [Ibnul Qayyim al-Jauziyah]

Betulkan Solat Anda [Imam Ahmad bin Hambal]

Perbaharui Solat Anda – Jangan Solat Bersama Setan [Syaikh Mu’min al-Haddad]


0 comments:

Post a Comment