-->

Mayat Bayi Perempuan Ditemui Dipercayai Dicampak

Posted by Muhamad Syafiq Thursday, October 4, 2012 0 comments

PETALING JAYA – Mayat bayi perempuan ditemui di kawasan tempat letak kereta di Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya di sini hari ini dengan kecederaan parah di kepala akibat dicampak dari tempat tinggi.

Bayi dipercayai baru lahir dan berkulit cerah itu ditemui seorang penduduk di situ, Jundi Mat, 35, kira-kira pukul 11 pagi.

Jundi berkata ketika kejadian, beliau sedang mengambil motosikal kira-kira dua meter dari tempat bayi itu dicampak sebelum terdengar bunyi objek jatuh.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti ada objek terjatuh di belakang saya dan setelah diperhati adalah seorang bayi,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau yang pada mulanya menyangka itu adalah patung permainan terus memanggil individu lain di situ untuk mengesahkan penemuan bayi malang tersebut.

“Semasa saya menjumpai bayi tersebut dia dalam keadaan tertiarap, tidak menangis dan tidak bergerak,” katanya, yang menetap di tingkat tiga blok 11 di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan seorang wanita berusia 20-an dipercayai terlibat dalam kes itu telah ditahan.

“Dipercayai bayi tersebut dicampak dari tingkat tiga blok itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh,” katanya.

Bagaimanapun motif kejadian masih dalam siasatan dan mayat bayi tersebut dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

Sumber : BeritaCeritaDunia

0 comments:

Post a Comment