-->

Ajek Hassan: Penyanyi ‘Pemalu’ Yang Ditonton Jutaan Peminat Di Youtube

Posted by Muhamad Syafiq Tuesday, October 9, 2012 0 comments

KUALA LUMPUR – Mahathir Hassan atau Ajek adalah seorang ahli perniagaan kelahiran Terengganu yang kini menetap di Perth, Australia.

Kerinduannya terhadap kampung halaman setelah lebih lapan tahun menetap di negara kanggaru itu menyebabkan beliau sering menghabiskan masanya bermain gitar dan menyanyi lagu-lagu Melayu popular.

Namun, ‘tindakannya’ memuat naik lagu-lagu yang dinyanyikannya dalam laman Youtube tiba-tiba mencetuskan fenomena yang luar biasa.

Sehingga kini, lebih 3.5 juta orang telah menonton persembahannya di laman tersebut menjadikan Ajek antara penyanyi yang popular dalam laman tersebut.

” Memang saya tidak sangka mendapat sambutan sampai begini sekali, kekok pun ada juga,” katanya yang berusia 36 tahun itu.

Disebabkan permintaan tinggi daripada peminatnya, Ajek telah diterbangkan khas dari Perth untuk menghiburkan lebih 200 peminat setianya di Rebung, Bangsar malam tadi.


Persembahan akustik hampir dua jam itu ternyata mencetuskan ‘histeria’ buat peminatnya apabila setiap lagu yang dinyanyikan beliau mendapat tepukan gemuruh dan sorakan daripada mereka yang hadir.

Antara lagu yang dibawakan Ajek adalah Ombak Rindu (nyanyian asal Adira dan Hafiz), Bicara Manis Menghiris Kalbu (Siti Nurhaliza), Bayangan Gurauan (Mega), Kala Cinta dan banyak lagi.

Bercakap mengenai pilihan lagu yang beliau muat naik dalam Youtube, Ajek berkata, ia merupakan pilihan beliau sendiri, peminat serta isterinya, Nor Fazaida Mohd Noor.

Pada masa yang sama beliau menolak tanggapan sesetengah pihak yang menyifatkan kemampuannya membawakan lagu berbentuk ‘cover version’ ini adakalanya lebih baik daripada penyanyi asal.

” Masing-masing ada pendapat mereka tersendiri, yang pasti saya hormat kepada penyanyi asal sesebuah lagu, saya hanya membawakannya kembali mengikut cara saya agar tidak dilihat cuba meniru atau menjadi seperti mereka,” katanya merendah diri.

Sementara Nor Fazaida mengakui kejayaan Ajek adalah disebabkan sifat suaminya itu sendiri yang komited dengan setiap perkara yang dilakukannya sama ada ketika bekerja mahupun dalam bidang nyanyian.


Mengenai peminat Ajek yang rata-ratanya wanita dan komen-komen ‘nakal’ yang diterima suaminya dalam laman tersebut, Nor Fazaida hanya tersenym.

” Saya tahu siapa suami saya,” katanya ringkas.

Ajek kemudian mencelah menjelaskan yang beliau ada membaca komen-komen ‘nakal’ sebegitu namun tidak mengambil pusing mengenainya.

Menurut Ajek, beliau lebih teruja jika peminatnya memperkatakan mengenai mutu nyanyiannya berbanding ‘peribadi’. Ini berikutan ada komen-komen mereka yang kononnnya ‘cair’ dengan suaranya, ingin mendekatinya dengan ‘lebih dekat’ dan banyak lagi.

Sementara itu, Ajek semalam juga mengumumkan akan keluar dengan albumnya sendiri tidak lama lagi yang diterbitkan oleh pemain gitar terkenal, Rafi.

Menurutnya, ia mengandungi lima lagu ‘cover version’ dan dua buah lagu baru.

” Lagu mana yang saya akan nyanyikan biarlah rahsia,” katanya sambil tersenyum.


Sumber : BeritaCeritaDunia

0 comments:

Post a Comment