-->

Sahih Bukhari [ Halaman 2 ]

Posted by syahira rusman Tuesday, October 2, 2012 0 comments
Minuman

61. Dari Sahl Bin Sa’ad, katanya : Sebuah gelas dihidangkan kepada Rasulullah saw dan beliau minum dari situ. Di sebelah kanan beliau ada seorang anak kecil dan di sebelah kiri beliau ada seorang tua.

Beliau bersabda, “Hai anak kecil, relakah engkau kalau sisa saya ini saya berikan kepada orang tua ini?”

Anak itu menjawab, ‘Wahai Rasulullah, sayalah yang paling berhak mendapat sisa anda.’ Lalu Rasulullah saw memberikan kepadanya. [1140]

Pengajaran hadis :

(a). Hadis menunjukkan bahawa ajaran Islam; iaitu memberikan sesuatu kepada orang lain harus dimulakan dari sebelah kanan.

(b). Menghormati orang tua.

(c). Menjaga perasaan, walaupun seorang anak kecil.

62. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Ada tiga golongan manusia yang tidak akan dilihat dan tidak akan disucikan Tuhan pada hari kiamat dan mereka itu akan memperoleh siksa yang hebat.

Pertama, orang yang mempunyai kelebihan air tetapi tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan dalam perjalanan.

Kedua, orang yang berjanji setia kepada Imam (Pemimpin/Penguasa), tetapi hal itu dilakukannya hanya kerana kepentingan dunia. Kalau Imam memberikan keuntungan dunia kepadanya, ia gembira. Tetapi jika tidak, ia menjadi marah.

Ketiga, orang yang berjualan setelah Asar, lalu berkata; ‘Demi Allah tiada tuhan selain-Nya. Barang-barang saya ini telah ditawar orang sekian.’ (Maksudnya : Membuat sumpah palsu) Lalu kata-katanya itu dipercaya orang lain.

Lalu Beliau (Nabi saw) membaca ayat yang bererti;

Surah Ali 'Imran [3] : 77

77. “Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan mensucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih.” [1143]

Bertengkar

63. Dari Abu Said Al-Khudri r.a, katanya : Pada suatu waktu, ketika Rasulullah saw sedang duduk-duduk, datanglah seorang Yahudi berkata, ‘Hai Abu Qasim! Seseorang sahabat dari Tuan telah menampar muka saya.’ “Siapa?”, tanya Beliau (saw). Orang Yahudi itu menjawab, ‘Seorang Ansar.’ Kata Beliau (saw), “Panggillah orang itu!”

Lalu Beliau (saw) bertanya, “Engkaukah tampar dia?”

Orang itu menjawab, ‘Saya dengar ia (Yahudi itu) bersumpah di pasar dengan berkata, ‘Demi tuhan yang telah memilih Musa lebih dari segala manusia.’ Saya berkata, ‘Kamu telah berbuat jahat terhadap Rasulullah saw.’ Saya marah, lalu menampar mukanya.

Nabi saw berkata, “Janganlah kamu melebihkan seseorang dari pada Nabi. Pada hari kiamat seluruh manusia pengsan. Saya adalah orang yang pertama-tama sedar kembali. Tiba-tiba saya jumpai Musa berpegang pada salah satu tiang Arasy.

Saya tidak tahu apakah ia turut pengsan atau sudah tidak pengsan lagi (Maksudnya : dikecualikan dari pengsan).” [1161]

Penganiayaan dan Perampasan

64. Dari Abu Said Al-Khudri r.a : Rasulullah saw bersabda, “Kalau orang yang beriman itu telah bebas dari neraka, mereka ditahan pada jambatan antara syurga dan neraka, lalu orang saling membalas penganiayaan antara sesama mereka waktu di dunia.

Setelah mereka dibersihkan dan disucikan, barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Allah yang diri Muhammad di tangan-Nya, orang lebih tahu tempatnya di syurga daripada (berbanding) tempatnya di dunia.” [1167]


0 comments:

Post a Comment