-->

Rumah penyanyi terbakar

Posted by Muhamad Syafiq Thursday, October 4, 2012 0 comments

Tingkat atas rumah dua tingkat penyanyi Alleycats, mendiang Datuk A. Loganathan di Jalan Azyze Tanjung Bungah di sini musnah dalam kebakaran semalam.

Dipetik dari laporan Malaysian Digest, kenyataan rasmi diterima dari balu mendiang sendiri yang ada ketika kejadian berlaku iaitu Datin Susan Loganathan, 56 tahun. Ketika kejadian, Datin Susan memberitahu dia sedang berehat di tingkat bawah ruang tamu sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan dan kepulan asap di tingkat atas rumahnya.

"Saya hanya tinggal berdua dengan adik saya, Kevin Jonathan Boudville, 46, dan sebaik sahaja melihat asap itu itu kami segera mencapai dokumen penting dan terus keluar dari rumah," katanya.

Beliau yang mengalami kecederaan ringan pada tangan dan sedikit rambutnya terbakar, berkata tingkat atas kediamannya yang menempatkan koleksi piring hitam nyanyian mendiang suaminya sejak tahun 1980-an dan pelbagai barangan berharga seperti barang kemas serta wang tunai hangus dijilat api.

Namun begitu, Susan turut meluahkan rasa syukur kerana sempat membawa keluar dokumen penting peribadi dan juga trofi milik mendiang yang tidak terjejas kerana diletakkan di tingkat bawah.

Abang mendiang, Datuk A. David yang turut melawat lokasi kejadian berkata kali terakhir beliau berkunjung ke rumah adiknya pada tahun lepas.

"Sudah 12 tahun mereka menyewa di sini dan rumah itu menyimpan pelbagai kenangan berharga adik saya," katanya sebak.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bagan, Jermal, A. Ravi, berkata sebanyak 29 anggota bomba dan enam jentera dihantar ke tempat kejadian sejurus menerima laporan pada jam 11.18 pagi. Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


0 comments:

Post a Comment