-->

Mencintai Rasulullah (sallahu ‘alaihi wasallam)

Posted by syahira rusman Tuesday, October 2, 2012 0 comments
Mencintai Rasulullah (sallahu ‘alaihi wasallam)

Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Hadis : Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, "Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum ia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya.” (0035) Sahih Muslim. Juga terdapat dalam riwayat Bukhari, Ibnu Majah, Nasa’i, Ahmad, al-Darimi.

Mencintai Rasulullah saw melebihi cinta kepada manusia semuanya bukanlah bermaksud membenci orang-orang lain. Tetapi apa yang dimaksudkan adalah mengikuti apa yang diperintahkan, serta menjauhi apa yang dilarang oleh Allah subhana wa Ta’ala dan Rasul-Nya.

Ini bermakna sesiapa sahaja yang menyuruh kita melakukan kemaksiatan,walaupun ibu bapa sendiri, hendaklah kita mengingkarinya. Tidak boleh mentaati sesiapa sahaja dalam kemungkaran.

Selain itu diantara ciri-ciri orang yang mencintai Rasulullah saw boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian, antaranya;

Individu

1. Mendahulukan kata-kata Rasulullah saw daripada kata-kata orang lain, walaupun kata-kata orang yang ternama dan terkenal.

2. Mencari contoh-contoh dari Rasulullah saw sebelum membuat sesuatu pekerjaan atau keputusan.

3. Berbuat baik sesama rakan, iaitu tidak memalukannya, mencelanya, mengumpat atau secara umumnya menjaga hati rakan-rakan yang lain.

4. Sentiasa berfikir dan mencari jalan untuk menyebarkan kebaikan, atau berlumba-lumba dalam membuat kebajikan.

5. Tidak membiarkan diri berada dalam kejahilan.

Keluarga
1. Menghormati kedua ibu bapa dan menjaga mereka yang telah tua (tidak dihantar ke rumah kebajikan).

2. Berbuat baik kepada isteri atau suami dan anak-anak. Sentiasa memberikan yang terbaik kepada mereka.

3. Melengkapi keluarga dengan pendidikan agama yang cukup, iaitu mengajar mereka tentang Iman, Islam dan Ehsan.

4. Sentiasa mengambil berat hal-ehwal mereka (ibu bapa, isteri atau suami dan anak-anak) dari segala segi terutama emosi mereka.

5. Membangunkan mereka (menantu, isteri atau suami dan anak-anak) untuk solat malam (solat sunat tahajjud).

Masyarakat

1. Sentiasa mendoakan kebaikan kepada seluruh umat Islam. Jangan sekali-kali mendoakan keburukan pada orang-orang Islam yang lain.

2. Kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah sekiranya terdapat sebarang perselisihan walaupun perkara kecil.

3. Menghormati, tolak ansur, memberi makan, menjaga hati dan perasaan jiran tetangga tanpa mengira agama dan bangsa.

4. Tidak bertelagah sesama sendiri, juga tidak mendengki, khianat dan memburuk-burukkan satu sama lain.

5. Tidak taksub atau fanatik terhadap sesuatu aliran sehingga mengkafirkan sesama sendiri terutamanya pada perkara cabang.

Negara

1. Taat pada pemimpin dalam hal-hal yang tidak membelakangi Al-Quran dan Al-Sunnah (termasuk mengikut peraturan jalanraya serta peraturan-peraturan lain yang dibuat oleh pemerintah).

2. Sekiranya ada sesuatu perkara yang dibuat oleh pemimpin yang tidak dipersetujui, hendaklah bersabar. Haram melakukan tunjuk perasaan, hirabah, demonstrasi (walaupun secara aman), merampas kuasa dan lain-lain yang menyebabkan huru-hara dalam apa keadaan sekalipun. Hendaklah bersabar dan berdoa agar pemimpin diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah Subhana wa Ta’ala.

3. Bersama menjaga keamanan negara baik dari segi hubungan sesama negeri atau hubungan luar negara.

4. Sentiasa bekerjasama dalam berusaha melengkapi fardhu-fardhu kifayah dalam negara seperti ahli tafsir, saintis, pakar fizik, doktor, pakar enjin, arkitek, pakar komputer, pakar persenjataan dan segala perkara yang diperlukan oleh umat Islam masakini.

5. Jangan sekali-kali berpaling tadah atau menjadi tali barut dalam mengkhianati negara.

Secara umumnya, setiap umat Islam perlu senantiasa menjadikan Rasulullah saw sebagai satu contoh yang terbaik dari segi akhlak, perbuatan, tindakan serta apa-apa sahaja dalam kehidupan sehariannya dan barulah ia dikatakan mencintai Rasulullah saw melebihi cintanya pada manusia lainnya.

Rujukan :

Terjemahan Al-Quran dan Al-Sunnah

Ciri-Ciri Akhlak Mukminin dan Mukminat (Syeikh Abdul Aziz)

Ciri-Ciri Masyarakat Islam (Syeikh Muhammad Abdullah)

Fiqh Sunnah

Sifat dan Ciri-Ciri Seorang Muslim (Syeikh Muhammad Fauzi)

Agama dan Politik (Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi)


0 comments:

Post a Comment