-->

Lelaki Tembak Anak Tiri Ditemui Bunuh Diri

Posted by Muhamad Syafiq Monday, October 1, 2012 0 comments

IPOH — Seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana mencederakan dan menembak anak tirinya dengan pistol ditemui mati di tepi jalan di Km282 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Ampang, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata lelaki yang dikenali sebagai S. Ravindran, 40, ditemui pada pukul 11.30 pagi tadi oleh orang awam.

“Polis yang membuat pemeriksaan mendapati lelaki tersebut mengalami kecederaan di kepala dengan kesan tembakan serta menemui sepucuk pistol jenis Norinco di sisi mayatnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menemui sebuah motosikal yang digunakan oleh lelaki berkenaan.

Katanya siasatan polis mendapati lelaki terbabit yang merupakan bekas anggota tentera udara dipercayai membunuh diri selepas lari dari kejadian menembak anak tirinya yang berusia 15 tahun di rumah mereka di Laluan Panorama Rapat Indah, Gunung Rapat, semalam.

Beliau berkata pelajar lelaki Sekolah Menengah Sri Ampang tersebut dipercayai ditembak dari jarak dekat ketika dikatakan bergelut dengan bapa tirinya itu.

Sebelum kejadian lelaki terbabit datang ke rumah didiami mangsa bersama ibu dan tiga adiknya dengan menaiki kereta.

Pasangan tersebut yang tidak lagi tinggal sebumbung kemudian dikatakan bertengkar di depan rumah sebelum mangsa cuba meleraikan pergaduan dan bergelut dengan bapa tirinya itu.

Lelaki itu kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal sejurus mendapati anak tirinya rebah berlumuran darah. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun akibat kecederaan di kaki kirinya. — BERNAMA


0 comments:

Post a Comment