-->

Ibadah Haji dan Umrah

Posted by Unknown Tuesday, July 3, 2012 0 comments
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 


Haji

Ibadah Haji mengikut kebiasaan sebutan orang adalah ‘haji besar’ dan ibadah Umrah pula disebut ‘haji kecil’. Musim Haji bermula daripada 1 Syawal hingga 10 Zulhijjah (hari raya puasa hingga hari raya haji), manakala Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa termasuk di luar musim haji. Dari segi syarak pula ianya adalah mengunjungi Baitullahil Haram di Mekah untuk mengerjakan ibadat-ibadat yang tertentu di sana.

Menunaikan Haji

Menunaikan haji adalah rukun Islam kelima dan ia dikerjakan hanya di sekitar tanah suci Mekah serta masanya hanya dari 9 hingga 13 Zulhijah. Haji menurut syarak adalah mengunjungi Baitullah (Rumah Allah) di Mekah untuk beribadat ‘manasik’ (tawaf, saie, bergunting) dan wukuf pada waktu serta syarat-syarat tertentu dalam bulan Zulhijah.

Firman Allah SWT: “Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa untuk sampai ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Surah Al-Imran, ayat 97)

Ibadat haji hanya diwajibkan kepada Muslim yang berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan fizikal dan juga mental. Allah membuka ruang dan memudahkan semua hamba-Nya menziarahi, mendekatkan diri dan bermunajat kepada-Nya serta memohon limpah Rahmat-Nya dan Hidayah-Nya. Ibadat haji adalah satu-satunya peluang keemasan untuk kita mengadap Allah secara lebih dekat.

Firman Allah dalam surah al-Hajj: “Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada-Mu dengan berjalan kaki, atau mengenderai setiap unta yang kurus, mereka datang dari segenap penjuru yang jauh agar mereka menyaksikan berbagai-bagai manfaat untuk mereka dan agar mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari (hari raya haji dan tasyrik) yang telah ditentukan.”

Pemergian ke kota Makkah atau Arafah bukan semata-mata perjalanan jasad, tetapi perjalanan ‘rabbani’ iaitu perjalanan berserta ketulusan hati dan rohani ke arah menemui Allah SWT serta mengeratkan jalinan hubungan antara Allah sebagai Khalik (Pencipta) yang menjadikan alam sebagai makhluk-Nya dan manusia sebagai khalifah-Nya.

Firman Allah SWT.: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah, ayat 196).

Haji dan Umrah, kedua-duanya hanya wajib sekali saja seumur hidup dan sunat dikerjakan berulang-ulang kali. Perbezaan jelas antara kedua-duanya ialah haji hanya boleh dikerjakan dalam bulan haji iaitu mulai 1 Syawal hingga naik fajar hari 10 Zulhijah.
Allah menyediakan ganjaran cukup besar bagi sesiapa yang mengerjakan umrah dan haji pada bulan ini. Rasulullah SAW bersabda: “Daripada satu umrah ke umrah berikutnya adalah penghapus semua kesalahan serta dosa yang berlaku antara keduanya. Haji yang mabrur (yang dilakukan dengan ikhlas dan sempurna) itu tidak ada ganjarannya yang setimpal melainkan syurga.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Niat Haji dan Umrah

1. Niat mengerjakan Haji:

نَوَيْتُ الْحَجَّ وَأَحْرَمْتُ بِهِ لِلَّهِ تَعَاَلَى

Sahaja aku mengerjakan Haji dan berihram dengannya kerana Allah Ta’ala.

2. Niat mengerjakan Umrah:

نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لِلَّهِ تَعَاَلَى

Sahaja aku mengerjakan Umrah dan berihram dengannya, kerana Allah Ta’ala.

3. Niat mengerjakan Haji dan Umrah serentak (Haji Qiran):

نَوَيْتُ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِـهِمَا لِلَّهِ تَعَاَلَى
Sahaja aku mengerjakan Haji dan Umrah serta berihram dengan kedua-duanya, kerana Allah Ta’ala.


0 comments:

Post a Comment