-->

Masa muda tidak lama

Posted by syahira rusman Friday, September 14, 2012 0 comments

ADA satu surah khusus di dalam al-Quran iaitu surah al-Asr yang menegaskan manusia berada dalam kerugian jika tidak memanfaatkan masa untuk beriman dan beramal soleh serta tidak berpesan-pesan sesama manusia dengan kebenaran dan kesabaran.

Rasulullah s.a.w berpesan kepada umatnya supaya memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati. Masa muda jangan disia-siakan, nikmat kesihatan perlu digunakan bagi menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin. Sesungguhnya apa yang terjadi pada hari tua bergantung apa yang kita lakukan ketika usia muda. Masa muda tidak akan bertahan lama kerana apabila tiba hari tua, zaman muda hanya tinggal kenangan.

Kehidupan pada hari tua kadang-kadang tidak indah lagi kerana tenaga sudah lemah, selera makan mulai menurun malah menghadapi pelbagai macam penyakit. Remaja yang cemerlang akan menjadi warga emas yang gemilang. Manakala yang kecundang menguruskan masanya akan menjadi warga emas yang malang.

Bukan rugi di dunia saja, malah di akhirat kelak akan dipersoalkan ke manakah usia remaja kita dilaburkan? Nikmat kesihatan cukup berharga bagi setiap manusia. Seluruh tubuh badan manusia sebenarnya adalah hak milik Allah, maka wajib kita jaga amanah ini sebaik mungkin. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan kita disifatkan oleh al-Quran sebagai mencampakkan diri ke lembah kebinasaan.

Namun, ramai tidak menghargai nikmat sihat ini sehingga membinasakan diri dengan mengambil dadah, ketagihan alkohol mahupun rokok, atau menjadi individu yang sengaja mendedahkan diri kepada kecelakaan dan kemungkaran. Dengan itu, gunakan masa sihat untuk menuntut ilmu dan pengalaman serta membantu yang lain di samping melaksanakan ibadat. Masa kaya juga adalah nikmat ujian bagi kita.

Ramai yang hanyut dan terpesona dengan kekayaan yang dimilikinya. Kita perlu sentiasa menyedari kekayaan itu tidak kekal, ia boleh bertambah atau hilang dalam sekelip masa. Kekayaan adalah amanah, maka carilah kekayaan dan gunakan mengikut peraturan Allah. Harta boleh dicari sebanyak mungkin, tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan lalu dilanda laknat dan diazab.

Bukan juga seperti Tha’labah yang kaya harta tetapi bakhil. Kekayaan adalah alat mencapai kebaikan dan keburukan. Dengan harta kita boleh menjadi dermawan, dengan harta juga kita boleh menjadi tamak haloba. Sama juga halnya; dengan harta membolehkan seseorang masuk ke syurga dan dengan harta juga kita boleh ke neraka. Masa dan peluang terakhir yang disebut Rasulullah ialah masa hidup sebelum mati.

Saidina Ali berkata: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedialah dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal tiada lagi kehidupan (nikmat) selepas mati.” Maka fikir-fikir dan renungkanlah. Justeru, panjatkanlah rasa kesyukuran kerana sehingga ke saat ini kita masih lagi dapat bernafas di atas bumi Allah, diberi kesihatan, kecergasan dan kesenangan masa untuk menjadi manusia cemerlang di dunia dan akhirat.

Ternyata benar, masa itu ibarat senjata tajam yang amat berguna jika digunakan dengan cara betul dan baik. Namun jika tidak betul cara mengguna masa ketajaman masa itu pasti akan memakan diri sendiri. Bagi golongan yang tidak memanfaatkan masa sebaik mungkin akan ketinggalan dan kemunduran termasuk dalam pekerjaan, rumah tangga, pelajaran, pergaulan dan teknologi.

Kita juga tidak boleh hanya menanti kejayaan dan kecemerlangan datang bergolek. Sedarilah, masa berlalu begitu pantas tanpa kita sedari. Ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin supaya kita tidak tergolong di kalangan orang-orang yang rugi.

Sumber : tazkirah remaja oleh ustaz mohd zawawi Yusoh (myMetro)


0 comments:

Post a Comment