-->

Sampah Meletup – Lelaki Tercampak 5 Meter

Posted by Muhamad Syafiq Monday, September 3, 2012 0 comments

JOHOR BAHARU — Seorang lelaki cedera apabila saluran sampah di rumah pangsa Bandar Selesa Jaya, di sini meletup, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, A.Rahim Arshad, 59, cedera di kaki dan tangan kanan dan terpaksa menerima lebih 10 jahitan akibat tercampak kira-kira lima meter dari tempat kejadian.

A. Rahim berkata kejadian berlaku apabila beliau bersama seorang lagi penduduk, Mohd Eddie Mohd Kamal, 37, mengambil keputusan untuk membersihkan saluran sampah berkenaan yang tersumbat selepas tidak tahan dengan bau busuk setelah dua bulan sampah terbabit tidak dibersihkan.

“Kami memulakan operasi membakar daripada tingkat empat dalam pukul 4.30 petang. Kami melakukannya daripada satu tingkat ke satu tingkat sehinggalah selesai dan ia berjalan lancar.

“Namun, entah bagaimana botol air mineral yang berisi separuh minyak petrol yang kami gunakan untuk membakar sampah tersebut terlepas daripada gengaman dan jatuh ke dalam saluran sampah itu. Waktu ia jatuh, tiada api namun hanya sisa-sisa bara,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Seminit kemudian, satu letupan besar berlaku menyebabkan dinding saluran tersebut berkecai dan dia tercampak kira-kira lima meter dari tempat kejadian menyebabkan dada dan kakinya dihempap serpihan batu sementara Mohd Eddie tidak mengalami kecederaan.

“Mohd Eddie terus membawa saya ke klinik sebelum membuat rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk ujian X-ray. Alhamdulillah, semuanya baik-baik saja,” katanya sambil menambah beliau kini hanya sukar untuk tidur kerana sakit dada kesan daripada dihempap batu itu.

Sementara itu, Mohd Eddie berkata, dia tidak berniat untuk membahayakan nyawa sesiapa dan hanya ingin membantu penduduk di rumah pangsa empat tingkat itu membersihkan saluran tersebut.

“Saya tidak mahu persekitaran yang tidak sihat itu menjejaskan kesihatan ramai orang. Tidak mustahil suatu hari nanti, ada yang mengadu kesihatan mereka terganggu kerana sampah tersebut,” katanya.

Katanya beliau membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu pejabat Polis Daerah Nusajaya pukul 11 malam.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamed gagal dihubungi untuk mendapatkan ulasannya mengenai kejadian itu.

Dalam pada itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Rinting, Chia Song Cheng ketika melawat mangsa berkata, pihaknya akan membantu membaiki kerosakan yang berpunca daripada letupan tersebut seperti bumbung yang tercabut.

Beliau berharap penduduk akan lebih bertanggungjawab tidak membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan sekali gus menyusahkan jiran-jiran yang lain.– BERNAMA


0 comments:

Post a Comment