-->

Muka bernanah selepas rawatan di pusat kecantikan

Posted by Muhamad Syafiq Monday, September 3, 2012 0 comments

Seorang pemilik kedai salun rambut terpaksa menanggung derita apabila mukanya bernanah selepas dia mendapat perkhidmatan mencuci muka di sebuah pusat kecantikan di Banting, Selangor pada bulan Januari lalu.

Mangsa, Hong Peak Cheng, 31, berkata, mukanya kini dipenuhi bintik merah dan jeragat serta bernanah sehingga dia tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa kerana mukanya terasa sakit setiap kali disentuh.

“Seorang pakar kulit memberitahu bahawa muka saya telah dijangkiti kuman dan perlu menjalani rawatan sekurang-kurangnya enam bulan yang menelan belanja sebanyak RM8,000.

“Lebih malang lagi apabila pusat kecantikan itu enggan menanggung bayaran tersebut malah mencabar saya supaya melaporkan masalah itu kepada pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk SeriMichael Chong, wakil peguam MCA, P.Y Leong dan James Ee serta suami mangsa, Yao Chee Wee, 37.

Mengimbau kembali kejadian tersebut, Peak Cheng yang tinggal di Banting berkata, dia mendapatkan perkhidmatan di pusat kecantikan itu selepas disyorkan oleh adik iparnya.

“Bintik-bintik merah timbul selepas muka saya dicuci buat kali kedua. Seorang pekerja pusat berkenaan memberitahu bahawa ia perkara biasa malah meminta saya terus menggunakan produk mereka,” jelasnya.

Ceritanya lagi, ekoran percaya dengan jaminan pekerja pusat berkenaan, dia terus mendapatkan perkhidmatan itu sehinggalah dia mengalami kesakitan serius pada muka walaupun telah membelanjakan sebanyak RM1,704 termasuk kos pembelian produk kecantikan.

“Apabila saya mengemukakan perkara itu kepada pusat kecantikan terbabit, mereka mendakwa saya mengalami masalah ketidakseimbangan hormon yang mereka dakwa sebagai satu fenomena biasa.

“Apabila masalah semakin serius, saya terpaksa mendapatkan rawatan daripada pakar kulit sekali setiap dua minggu,” ujarnya yang telah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Banting pada 10 September lalu.

Peak Cheng berkata, kehidupannya terjejas kerana dia mengalami tekanan emosi dan malu setiap kali berhadapan dengan orang ramai ekoran masalah pada mukanya itu.

0 comments:

Post a Comment