-->

Terbunuh Rempuh Rombongan Pengantin

Posted by Unknown Thursday, October 4, 2012 0 comments

ENDAU – “Kami tidak sangka perjalanan menghantar adik ipar melangsungkan pernikahan malam ini (kelmarin) di Rompin, Pahang, berakhir di hospital dan bukannya rumah pengantin apabila Proton Exora kami naiki bertembung sebuah Proton Wira,” kata Zaiton Abdul Fatah, 44, menceritakan kemalangan maut di Kilometer 13 Jalan Mersing-Endau di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 7.15 malam itu, seorang remaja Fadhil Ariffin, 18, dari Simpang Renggam yang duduk di tempat penumpang belakang Proton Wira meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan, manakala dua lagi rakannya cedera ringan.

Proton Wira dinaiki arwah dari Endau menuju ke Mersing dikatakan hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh Proton Exora dinaiki tujuh sekeluarga itu menyebabkan pasangan warga emas, Abdul Fatah Idris, 84, serta isterinya, Indok Akok Dayang Sitakak, 78, cedera parah.

Penumpang lain cedera ringan dan semua mangsa kini mendapatkan rawatan di Hospital Mersing.

Zaiton berkata, walaupun hujan dia dapat melihat Proton Wira itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung kenderaan dipandu suaminya, Mohd Amin Masot, 48.

“Kejadian berlaku dalam keadaan hujan dan jalan licin selain cuaca gelap. Sebaik tiba di selekoh itu, kereta itu memasuki laluan kami menyebabkan kami bertembung.

“Akibatnya, saya dapat melihat seorang penumpang kereta itu tercampak dari kenderaan itu namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana cedera,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga dari Benut, Pontian dan menuju ke Rompin, Pahang, untuk perkahwinan adik iparnya.

Katanya, mereka dibawa ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan manakala sebuah MPV lain dinaiki saudara mara lain terpaksa meneruskan perjalanan menghantar bakal pengantin yang melangsungkan pernikahan malam kelmarin.

“Kejadian itu menyebabkan kami terpaksa membatalkan hasrat menghantar pengantin. Kami reda dengan kejadian ini dan kini, bimbangkan keselamatan ibu bapa yang cedera parah.

“Walaupun tidak dapat menghadiri majlis berkenaan, kami bersyukur kerana semuanya selamat dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Wira hilang kawalan sebelum berpusing lalu bertembung Proton Exora dari Mersing itu.

“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. 


0 comments:

Post a Comment