-->

Mengenali Kesesatan – Syirik (Bahagian 1)

Posted by Unknown Tuesday, October 16, 2012 0 comments

Mengenali Kesesatan – Syirik (Bahagian 1)

PENDAHULUAN

Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

PENGENALAN

Sesat bermaksud tersasar dari jalan yang lurus ataupun tidak mengikut jalan yang betul. Kesesatan dalam agama adalah menyimpang dari ajaran Islam samada dari segi pemikiran mahupun pemahaman. Istilah ‘fanatik Islam’ atau ‘fanatik agama’ sebenarnya tidak wujud dalam Islam kerana umat Islam sememangnya wajib mengikuti Al-Quran dan As-Sunnah sebagaimana firman Allah yang Maha Agung;

Surah Al-Anfaal [8] : 20-22

20. Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling dari pada-Nya, sedang kamu mendengar (perintah-perintah-Nya),

21. dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata "Kami mendengarkan, padahal mereka tidak mendengarkan.

22. Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah; orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.

Orang-orang yang tidak mentaati Allah yang Maha Agung serta Rasul-Nya, cenderung kepada kemunafikan dan mereka digelar seperti binatang kerana tidak mahu mendengar dan tidak mampu memahami kebenaran, sedangkan dianugerahkan kepada mereka akal fikiran. Bagaimanakah kesesatan boleh terjadi? Kesesatan boleh terjadi dalam empat perkara secara umum; 

(1). sengaja mengikuti jalan yang lain dari jalan yang ditunjuki;

(2). tersesat kerana memang tidak mengetahui jalan yang sebenar;

(3). disesatkan oleh orang yang menunjuki arah jalan yang salah; dan

(4). sombong untuk bertanya apabila tidak tahu jalan yang betul.

Di setiap waktu solat, kita di suruh memohon agar terselamat dari kesesatan dan supaya tetap berada di jalan yang lurus.

Surah Al-Faatihah [1] : 6-7

6. Tunjukilah kami jalan yang lurus,

(‘Jalan yang lurus’ bermaksud : Kita bermohon kepada Allah yang Maha Agung supaya memimpin hati dan perbuatan kita ke jalan yang diredhai-Nya, kerana hanya kepada-Nya kita beribadah dan memohon pertolongan)

7. (iaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.

(‘Orang-orang yang diberi nikmat’ bermaksud : Orang-orang yang mengikuti Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam (saw), orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

Manakala ‘mereka yang dimurkai’ bermaksud : Orang-orang yang menolak kebenaran serta menyimpang dari ajaran Islam dan ‘mereka yang sesat’ pula, adalah orang yang jahil; dan jika dia berilmu, dia tidak mengamalkannya).

Tafsir surah tersebut diringkaskan dari tafsir Ibn Katsir. Berdasarkan tafsiran tersebut, dapatlah sedikit sebanyak kita mengenali orang-orang yang kufur pada nikmat Allah yang Maha Agung dan orang yang dimurkai-Nya.

Secara umumnya mereka yang dikatakan sesat adalah, orang-orang yang tidak mengikuti Rasulullah saw kerana Rasulullah saw adalah utusan Allah yang Maha Agung kepada umat manusia supaya diajari kepada manusia jalan yang lurus dalam menuju kepada-Nya. Contohnya, apabila Rasulullah saw mengatakan;

Hadis : Dari Irbadh bin Sariyah : Rasulullah saw bersabda, “....hendaklah kamu berpegang pada Sunnah-ku dan Sunnah-Khulafa ur rasyidin yang mendapat petunjuk.....” (0040) Sahih Ibnu Majah

Maka hendaklah kita tetap berpegang kepada sunnah Rasulullah saw dan sunnah para sahabatnya. Keingkaran kepada amanat Rasulullah saw, bererti kufur kepada arahan Allah yang Maha Agung seperti dalam;

Surah An-Nisaa' [4] : 14

14. Dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuan-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya siksa yang menghinakan.

Jelas di dalam Al-Quran, mereka yang menderhakai Allah yang Maha Agung dan Rasul-Nya kekal di dalam api neraka. Semoga Allah yang Maha Agung melindungi kita dari kesesatan dan menetapkan hati dan memimpin kita di jalan yang diredhai-Nya.

PERBINCANGAN
Tujuan utama perbincangan ini adalah supaya kita dapat mengenali kesesatan secara umum, agar kita dapat mewaspadainya. Bukan sahaja mewaspadainya, malah kita sendiri dapat menjadikan piawai dalam mengukur kesesatan itu, seterusnya dapat menghindarinya dan tidak pula termasuk orang yang menyokong kesesatan itu.

Tidaklah tujuannya untuk kita menuduh sembarangan kepada seseorang atau kepada puak-puak tertentu bahawa mereka sesat atau mengkafirkan segolongan dengan membuta tuli. Tujuan utamanya adalah untuk mewaspadai diri dan seterusnya dapat memperbaiki diri agar dapat menghindari kesesatan atau condong kepada kesesatan itu.

Kita kembali kepada empat perkara yang menyebabkan kesesatan seperti di atas, iaitu;

(1). sengaja mengikuti jalan yang lain dari jalan yang ditunjuki;

(2). tersesat kerana memang tidak mengetahui jalan yang sebenar;

(3). disesatkan oleh orang yang menunjuki arah jalan yang salah; dan

(4). sombong untuk bertanya apabila tidak tahu jalan yang betul.

1. Syirik

Surah An-Nisaa' [4] : 116

116. Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.

(a). sengaja mengikuti jalan yang selain jalan yang biasa dilalui;

(i). Orang-orang yang mencari sesembahan selain Allah yang Maha Agung. Mereka sudah tahu hanya Allah yang Maha Agung sahaja yang mampu memberi manfaat dan mudharat, tetapi tetap sengaja mencari sesuatu yang lain seperti percaya pada tangkal, azimat, gelang yang menyembuhkan, batu geliga, kain kuning sebagai penyeru roh dan lain-lain.

Dukun atau bomoh adalah perbuatan yang bertentangan dengan tauhid dan pelakunya yang bersekongkol dengan jin atau syaitan, menjadi musyrik.

Hadis : Dari Abu Hurairah r.a : Barangsiapa yang mendatangi dukun dan membenarkan apa yang dikatakannya maka ia telah kafir terhadap wahyu yang telah diturunkan kepada Muhammad saw.

(SAHIH menurut kriteria Bukhari dan Muslim, Riwayat Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Al-Hakim, Dinukil dari Kitab Ghoyatul-Murid (Sheikh Soleh bin Abdul Aziz bin Muhammad-Menteri Agama dan Wakaf Arab Saudi).

Hadis : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Tidak ada 'Adwa (penyakit berjangkit-kecuali dengan izin Allah), Hamah (melihat burung hantu akan bernasib sial), Safar (bulan safar membawa nasib sial).” (Bukhari dan Muslim).

Tambahan dalam riwayat Imam Muslim : "Dan tidak ada Nau' (turunnya hujan atas sebab-sebab tertentu) dan tidak ada ghaul (beranggapan hantu dapat menyesatkan dan mengganggu orang)." (Dinukil dari Kitab Ghoyatul-Murid [Sheikh Shaleh bin Abdul Aziz]

Surah Al-A'raaf [7] : 131

........Ketahuilah, sesungguhnya kesialan mereka itu adalah ketetapan dari Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

(ii). Orang-orang yang mencari-cari hukum lain yang sabit dalam Al-Quran lalu mengubah hukum tersebut dengan mengatakan ada hukum lain yang lebih benar dari kata-kata Allah yang Maha Agung. Mereka dihukum syirik kerana menganggap ada kuasa atau perkataan yang lebih benar dari Allah yang Maha Agung.

Surah Al-Hujuraat [49] : 1

1. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasulnya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

(b). tersesat kerana memang tidak mengetahui jalan yang sebenar; 

Orang-orang yang memang jahil kerana semenjak dari kecilnya tidak pernah diajar dengan hukum-hukum agama. Namun mereka digelar sesat kerana setelah mencapai akil baligh dan dapat menggunakan akal fikiran dengan betul, mereka tetap dengan pendirian mereka yang menolak kebenaran. 

Sedangkan anjing liar lagi boleh diubah perangainya menjadi jinak, apatah pula manusia yang dibekali fitrah tauhid, tentunya lebih mudah mengubah perangainya sendiri dari binatang liar. Ini tidak dapat dilakukan kecuali menggunakan akal yang diberikan dalam menuntut ilmu dan menerima kebenaran. Firman Allah yang Maha Agung;

Surah Al-A'raaf [7] : 179

179. Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia,

(1). mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan

(2). mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan

(3). mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah).

Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Mereka yang menyalahkan takdir sebagai punca kepada kesesatan mereka adalah orang-orang yang sangat buruk dan sesat, malah lebih teruk dari binatang ternak.

(c). disesatkan oleh orang yang menunjuki arah jalan yang salah;

(i). Orang-orang yang mencari jalan menuju kepada Allah yang Maha Agung dengan jalan pintas. Mereka membelakangi Al-Quran dan As-Sunnah (kerana jahil) lalu mengikuti pemimpin-pemimpin yang menjanjikan kepada mereka peringkat kemuliaan yang tidak dapat dicapai oleh orang biasa berdasarkan ritual-ritual tertentu, seperti memukul-mukul badan, menari dan menyanyi dalam memuja tuhan dan apa sahaja yang tidak pernah wujud dalam ajaran Rasulullah saw.

(ii). Orang-orang yang mengagung-agungkan pemimpin mereka atau menganggap guru mereka adalah wali teragung atau sultan para wali dan guru mereka adalah ma’sum serta tidak boleh dipertikaikan. Seandainya terdapat jawatan wali teragung tersebut, tentulah Abu Bakar radiyallahu ‘anhu (r.a) yang lebih layak menjawatnya kerana beliau telah dilantik sendiri oleh Rasulullah saw menjadi khalifah.

Surah Al-Hajj [22] : 8-9

8. Dan di antara manusia ada orang-orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan, tanpa petunjuk dan tanpa kitab (wahyu) yang bercahaya 

(maksudnya : mengajar manusia tanpa ilmu yang benar dan hanya menggunakan akal dan fikirannya yang menyimpang jauh dari apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw)

9. dengan memalingkan badannya (dengan sombong) untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah. Ia mendapat kehinaan di dunia dan dihari kiamat Kami merasakan kepadanya azab neraka yang membakar.

(maksudnya : orang yang menyesatkan manusia ini, apabila diseru kepadanya kebenaran, ia tetap sombong dan akibatnya dia mendapat azab di dunia dan di akhirat)

(d). sombong untuk bertanya apabila tidak tahu jalan yang betul.

(i). Orang-orang yang yang menganggap dirinya sudah cukup ilmu pengetahuan dan tidak perlu belajar lagi. Hasilnya dia menjadi taksub pada apa yang diketahuinya; dan pada orang yang tidak sama pendapat dengannya, dianggap jahil, sesat dan sebagainya.

(ii). Orang-orang yang tidak mempedulikan apakah yang diperolehinya dari sumber halal atau haram kerana jika bertanya, mungkin hilang punca rezekinya; padahal Allah yang Maha Agung memberikannya rezeki. Mereka redha pada riba yang diharamkan, dan menganggap Al-Quran boleh diubahsuai mengikut keadaan semasa tanpa ilmu pengetahuan.

(iii). Menganggap semua manusia yang mengucapkan kalimah ‘laa illah ha illallah’ pasti masuk syurga tanpa syarat. Mereka tidak pernah bertanya akan perkara ini kepada para ahli ilmu. Perkara ini adalah yang paling ramai salah faham mengenainya. Mereka menyangka kalimah tersebut adalah ‘passport’ mudah ke syurga.

Pada pendapat mereka jika mereka masuk neraka pun hanya sementara, akhirnya akan masuk syurga juga kerana kalimah itu. Sabar dahulu, perhatikan ayat ini;

Surah Al Baqarah [2] : 80

...."Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka, kecuali selama beberapa hari saja." Katakanlah: "Sudahkah kamu menerima janji dari Allah sehingga Allah tidak akan memungkiri janji-Nya, ataukah kamu hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?"

Pernahkah kita membuat janji dengan Allah yang Maha Suci, bahawa kita akan masuk syurga? Atau kita cuma mendengar dari perkataan orang lain atau agak-agak sahaja? Bukankah khalifah Abu Bakar r.a telah memerangi orang yang tidak membayar zakat kerana memandang remeh hukum Islam dengan mengatakan zakat hanya untuk Nabi saw, setelah Nabi saw wafat, tiada lagi zakat. Sedangkan mereka tetap mengucap kalimah ‘laa illa ha illallah’.

Begitu juga puak khawarij, syiah dan lain-lain seumpamanya. Mereka mengucap kalimah yang sama, tetapi menolak Rasulullah saw (menolak para sahabat r.a sama dengan menolak Rasulullah saw dan menolak Rasulullah saw sama dengan menolak Allah yang Maha Agung) dan kerana itu mereka dihukum sesat.

Maksudnya, apabila diucap kalimah ‘laa illah ha illallah, muhammadur rasulullah’ hendaklah kita mengakui dengan hati, dan seterusnya tunduk dan patuh kepada Allah yang Maha Agung dan Rasul-Nya. Mana mungkin kita menolak Al-Quran dan As-Sunnah, tetapi dengan melafazkan kalimah itu, terus masuk syurga. Mana mungkin orang yang menolak Al-Quran dan As-Sunnah mendapat syafaat pada hari kiamat. Perkara ini tidak lain hanya syaitan yang membisikkan.

Surah Huud [11] : 17

17. ....Dan barangsiapa di antara mereka dan sekutu-sekutunya yang kafir kepada Al- Quran, maka nerakalah tempat yang diancamkan baginya, kerana itu janganlah kamu ragu-ragu terhadap Al Quran itu. Sesungguhnya (Al Quran) itu benar-benar dari Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.

Sejak akhir-akhir ini, kita seringkali mendengar penyatuan umat Islam, perdamaian sesama Islam dan pelbagai lagi usaha yang dijalankan demi menyatukan umat Islam. Ini adalah perkembangan yang sangat-sangat diperlukan zaman ini. Persoalannya, penyatuan bagaimana yang ingin diterapkan? Adakah berdasarkan emosi?

Rasulullah saw telah menerangkan perdamaian dan penyatuan yang dibolehkan antara umat Islam. Apa sahaja perkara yang membelakangi Al-Quran dan As-Sunnah tidak boleh dikompromi, walaupun dengan niat ingin menyatukan umat Islam. Perkara ini sama seperti para ahli yang membuat hadis palsu, kononnya bertujuan menyatukan umat Islam yang berselisih, padahal mereka yang sengaja membuat hadis palsu, disediakan tempatnya di neraka.

Sekali lagi ingin ditekankan; Perdamaian Seharusnya Berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah Bukan Emosi.

Hadis : Dari Katsir bin Abdullah bin Amr bin Auf Al-Muzani menceritakan dari bapanya, dari datuknya : Rasulullah saw bersabda, “Perdamaian antara kaum muslimin adalah boleh, KECUALI perdamaian yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. Kaum muslimin harus melaksanakan syarat yang mereka tetapkan, kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.” [1352] Sahih At-Tirmidzi

Umat Islam sekarang benar-benar perlukan perdamaian dan penyatuan kembali, namun dalam keadaan terdesak ini, sama sekali tidak boleh meninggalkan apa yang diperintah dan diajarkan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Maksudnya, tidak boleh membelakangi Al-Quran dan As-Sunnah demi sebuah perdamaian atau apa sahaja alasan yang diberikan. Inilah ujian yang paling getir bagi umat Islam kini sesuai dengan sabda Nabi saw;

Dari Irbadh bin Sariyah : Rasulullah saw bersabda, “Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah Subhana wa Ta’ala, dengan mendengar dan taat, meskipun yang memerintahkan kamu adalah seorang budak dari Habsyah. Kamu akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat sesudahku, maka hendaklah kamu berpegang pada Sunnah-ku dan Sunnah-Khulafa ur rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah dengan gigi gerahammu dan jauhilah perkara-perkara baru, sesungguhnya setiap bidaah (perkara baru dalam agama) adalah sesat.” [0040] Sahih Ibnu Majah

Sekiranya kita mengabaikan perkara ini, maka kekeliruan generasi akan datang, akan lebih parah lagi seperti ketumbuhan yang menjadi barah dan merebak keseluruh tubuh dan akhirnya semakin lemah dan semakin lemah lagi.

Koleksi Hadis Nabi

0 comments:

Post a Comment