-->

Solat didik hati manusia

Posted by Unknown Monday, October 15, 2012 0 comments

JIKA difahami dan dihayati, solat sebenarnya amalan yang cukup hebat. Solat adalah modul lengkap bagi mendidik hati dan jiwa manusia. Pelbagai kekuatan terhasil jika seseorang itu benar-benar menjiwai tuntutan solat. Solat juga menjadi penghubung antara hamba dengan Tuhannya. Setiap ayat dalam surah al-Fatihah yang dibaca adalah bicara dengan Allah.

Perintah solat bukan untuk kepentingan Allah Yang Maha Agung yang sudah memiliki segala-galanya. Solat hanya untuk kepentingan hamba-Nya. Ia sebenarnya melatih seseorang hidup tertib sebab gerakan solat sangat tertib dimulai dengar takbir dan diakhiri dengan salam.

Tujuan solat sebenarnya untuk mengingati Allah. Dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya: “Dirikanlah solat untuk mengingati Aku.” Dalam ayat lain Allah berfirman yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” Bayangkan seharian kita fikir mengenai dunia, fikir mengenai kerja, makan minum, kawan dan keluarga.

Kalau semua itu kita dapat bahagikan masa, takkan kita tidak boleh memberi masa untuk mengingati Allah. Semakin baik kualiti dan mutu solat seseorang, semakin kukuhlah benteng kemampuan untuk memelihara diri mereka daripada perbuatan maksiat.

Beberapa contoh solat dapat membina sifat positif manusia antaranya bersikap rajin. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita perlu sentiasa rajin. Dalam solat kita memuja dan memuji Allah. Kita membuat janji dan ikrar yang semua solat, ibadat, hidup dan mati kita hanya untuk Allah.

Perbuatan dalam solat membuatkan kita cergas dan aktif, rajin dan sentiasa bergerak. Bermakna solat itu dapat membunuh sifat malas. Orang yang kuat hubungannya dengan Allah mesti banyak berhubung dengan manusia. Jika betul takut dan cinta kepada Allah, maka akan bertambah rasa cinta kepada manusia.

Solat ibarat ‘tiang’ dalam Islam. Malah ketika bertempur dalam peperangan sekalipun tidak boleh tinggal solat. Selagi hayat dikandung badan, selagi itu mesti solat. Solat perlu dilakukan dengan berdiri, jika tidak mampu berdiri, boleh duduk dan jika tidak mampu juga boleh dilakukan dengan cara baring. Sekiranya masih tiada daya juga dengan isyarat mata dan masih tidak boleh juga, lakukan dengan isyarat hati.

Solat bukan saja menghapuskan dosa seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Solat menghapuskan dosa antara satu solat dengan satu solat yang lain kecuali dosa besar.”

Imam Abu Aaliayah berkata: “Solat mempunyai tiga keistimewaan dan jika tidak ada ketiga-tiga ini maka solat itu tidak sempurna dan tidak boleh mencegah dosa. Keistimewaan itu adalah ikhlas, khusyuk dan zikrullah.

Ikhlas membuatkan seseorang melakukan perkara baik, khusyuk akan mencegah perbuatan jahat manakala zikrullah (ingat Allah) pula mencegah mungkar dan menanam makruf (kebaikan).

Sesetengah ulama dulu apabila tiba saat menghembuskan nafas terakhir, mereka masih sempat meminta pertolongan orang mengambil wuduk untuknya supaya dapat mengerjakan solat.

Malah, ada yang minta diusung ke masjid kerana hendak mati di tempat solat. Justeru, janganlah kita mengabaikan solat dan jadikanlah ia rutin hidup kita. Setiap kali solat, anggaplah mungkin itu adalah solat yang terakhir.

I Love Islam 

0 comments:

Post a Comment