-->

Wasiat Luqman Al-Hakim (Pertama) : Jangan Menyekutukan Allah

Posted by Unknown Wednesday, October 17, 2012 0 comments
Wasiat Luqman Al-Hakim (Pertama) : Jangan Menyekutukan Allah

Pendahuluan


Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

PENGENALAN

Surah Luqman [31] : 13
13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

Syirik

Syirik adalah sesuatu perkara yang menyamakan makhluk dengan Allah yang Maha Suci atau sesuatu perkara yang menolak kekuasaan-nya dari segi pengkhususan ibadah, matlamat ibadah, pengakuan terdapat kuasa lain (yang menimpakan bahaya, memberi rezeki dan lain-lain), perakuan (menyetujui atau membenarkan terdapat kuasa atau perkataan lain yang lebih tinggi) serta perkara lain yang menyamakan, merendahkan dan menolak kekuasaan Allah yang Maha Tinggi.

Syirik merupakan perkara yang paling bahaya dan amat ditakuti kerana di dalam Al-Quran;

Surah An-Nisaa' [4] : 116

116. Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.

Dosa syirik tidak akan diampuni oleh Allah yang Maha Tinggi, kecuali mereka yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat sementara mereka masih hidup di muka bumi ini. Wajarlah kita melihat diri sendiri dan memperbaiki diri serta berdoa agar jauh dari sebarang kesyirikkan.

PERBINCANGAN

Kesyirikan Zaman Ini

Antara perkara-perkara syirik zaman ini yang kita terlepas pandang, tidak tahu atau tidak menghiraukannya adalah;

1. Menolak Al-Quran dengan mengatakan terdapat perkataan atau hukum yang lebih baik dari Al-Quran. Al-Quran adalah kalam Allah Subhana wa Ta’ala, menolaknya sama dengan menolak Allah yang Maha Bijaksana.

2. Beribadah kerana malu pada orang, contohnya menghadiri solat Jumaat kerana malu pada orang lain dan termasuk juga segala ibadah yang lain.

3. Berjumpa bomoh atau mempercayai tangkal yang boleh memberi kemudaratan atau manfaat. Contohnya;

a. meletakkan tangkal pada tangan atau lengan bayi yang menangis malam,

b. mempercayai suara (bunyi) cicak membenarkan kata-kata,

c. mencari barang yang hilang dengan berjumpa bomoh, lalu membenarkan kata-katanya,

d. menganggap gelang, cincin, keris dan sebagainya sebagai dapat menyembuhkan penyakit atau mempunyai kuasa-kuasa tertentu,

e. mengajak atau menasihati orang lain agar berjumpa bomoh atau mencari tangkal,

f. mengatakan bahawa hanya ubat saja, sebagai penyambung nyawa dan penyembuh kesakitan (menolak bahawa Allah –lah yang menyembuhkan segala penyakit) dan lain-lain yang seumpama semua di atas.

4. Mempercayai hantu boleh menganggu dan membunuh orang. Berdasarkan beberapa hadis, antaranya;

a. Dari Jabir bin Abdullah bin ‘Amru r.a berkata : Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Tidak ada 'Adwa (keyakinan bahawa penyakit menular dengan sendirinya bukan kerana takdir Allah), tidak ada tiyaroh (firasat bahawa kemalangan akan berlaku; seperti melihat ular melintas, contohnya) dan tidak ada juga ghul (keyakinan orang Jahiliyyah bahwa ada hantu yang menakutkan yang boleh menyesatkan jalan) ". [13603] ( Hadis Sahih. Riwayat Ahmad)

b. Dari Jabir bin 'Abdullah bin 'Amru dia berkata : Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Tidak ada penyakit yang menular secara sendirian, tidak ada pengaruh atau tanda bahaya kerana suara burung, dan tidak ada hantu." [4119] (Sahih Muslim)

5. Mengakui hujan berlaku kerana pembenihan awan. Sesungguhnya tiada siapa yang dapat menurunkan hujan kecuali Allah yang Maha Penyayang. Di dalam sebuah hadis;

Dari Zaid bin Khalid Al-Juhani r.a : Rasulullah saw mengimami kami solat subuh di Hudaibiyah, sesudah tadi malamnya hujan turun. Setelah selesai solat, Nabi saw menghadap kepada orang ramai, lalu bersabda,

“Tahukan anda sekalian, apa yang telah difirmankan oleh Tuhan anda?” Jawab mereka, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.” Sabda Nabi saw, “Allah berfirman; Ketika hamba-hambaKu bangun pagi-pagi, diantaranya ada yang mukmin ada yang kafir.

Siapa yang berkata hari hujan kerana kurnia dan nikmat Allah, maka dia itu mukmin (iman) dengan-Ku, kafir dengan bintang-bintang. Siapa yang berkata hari hujan kerana bintang ini dan bintang itu, maka dia kafir dengan-Ku, iman dengan bintang-bintang.” [0058] (Sahih Muslim)

6. Mengatakan kejayaan seseorang itu adalah kerana ilmu dan hasil usahanya semata-mata. Sila lihat kata-kata Qarun ini;

Surah Al Qasas [28] : 78

Qarun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku." Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta?.....

Mahukah kita menjadi seperti Qarun? Sebenarnya punca kepada kejayaan kita adalah anugerah Allah yang Maha Penyayang. Ayat sebelum itu telah menerangkan mengenainya. Syirik tersebut terjadi kerana menolak bahawa Allah yang menurunkan rahmat dan kerana riya’.

7. Menyembah manusia dan wang ringgit, iaitu membelakangi Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata kerana takut hilang pekerjaan atau hilang sokongan.

8. Mengatakan setiap sesuatu ada penjelasan sains mengenainya atau berfahaman ‘sciencetology’. Contohnya, mengatakan alam ini terjadi dengan sendirinya.

9. Bersolat boleh mendatangkan kesihatan, maka tujuan bersolat semata-mata untuk kesihatan, bukan kerana akur pada perintah Allah yang Maha Tinggi.

10. Mengatakan semua agama adalah sama (pluralisme). Perkataan ini adalah amat keji sekali kerana, Islam adalah agama serba lengkap, sesuai setiap zaman dan mudah dilaksanakan.

a. Serba lengkap bermaksud, meliputi aspek pemerintahan, pendidikan, ekonomi, sosial kemasyarakatan, kesihatan fizikal, kerohanian dan segalanya mengenai pembentukan tamadun. Termasuk juga perkara-perkara berkaitan kehidupan di dunia dan di akhirat. Segalanya lengkap dan seimbang.

b. Sesuai setiap zaman di sini bermaksud, segala hukum-hukum (perintah dan larangan) yang terdapat dalam Al-Quran dan As-Sunnah adalah menjamin keharmonian dan kesejahteraan semua masyarakat itu sendiri.

c. Mudah dilaksanakan bermaksud, segala perintah dan larangan tersebut adalahsatu keperluan individu itu sendiri atau sebuah fitrah perjalanan setiap individu. Contohnya, diharamkan makan babi kerana babi itu kotor. Sangat mudah. Firman-Nya;

Surah Al A'raaf [7] : 157

157. ...Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka....

Adakah sebuah kitab yang sehebat Al-Quran ini yang tidak meninggalkan satu apa pun di dalamnya? Hanya orang yang tidak dapat menggunakan akalnya dengan betul sajalah mengatakan agama itu sama semuanya.

Semoga Allah yang Pemurah lagi Maha Penyayang memimpin kita dari sebarang perkara syirik dan moga dapat kita memperbaiki diri setiap hari supaya menjadi umat Nabi Muhammad Sallahu ‘alaihi wasallam dengan sebenar.

Bersambung – Wasiat Luqman Al-Hakim (Kedua) : Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa


0 comments:

Post a Comment