-->

Subjek Pendidikan Yang Dihilangkan – Akhlak dan Jihad

Posted by Unknown Tuesday, October 2, 2012 0 comments
Subjek Pendidikan Yang Dihilangkan – Akhlak dan Jihad

PENDAHULUAN
Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

PENGENALAN

1. Pemahaman Mengenai Akhlak dan Jihad

Pendidikan akhlak dan jihad merupakan satu ilmu yang sangat penting kepada umat Islam. Walaubagaimanapun samada ia telah hilang atau telah dihilangkan dalam sistem pendidikan menjadi tanda tanya. Pelbagai spekulasi boleh kita buat mengenainya, tetapi yang paling penting adalah bagaimana mewujudkannya kembali.

Dapat kita lihat zaman ini di mana umat Islam amat lemah dalam semua segi termasuk dari segi akhlak seperti perselisihan, perpecahan dan sebagainya seolah-olah tiada kesalahan apabila mencaci sesama mereka sedangkan Islam itu melahirkan manusia yang mempunyai akhlak yang mulia dan saling bahu-membahu. Manakala perbuatan mencaci sesama Muslim itu adalah haram dan dapat menjejaskan keimanan seseorang.

Antara puncanya adalah kerana mereka tidak diajar dan diberi pendedahan yang betul mengenai akhlak. Tiada sistem pendidikan yang khusus samada sekolah mahupun universiti mengenainya, sedangkan ia adalah perkara terpenting.

Maksudnya, adakah sebuah buku teks yang khusus dan subjek yang khusus mengenainya? Akhlak bukanlah pendidikan moral dimana membantu orang buta melintas jalan, beri tempat duduk pada wanita mengandung, adab-adab makan, adab pergaulan dan seumpamanya, tetapi ia lebih besar dari itu.

Begitu juga jihad. Jihad bukanlah mengasari atau membunuh orang bukan Islam sambil lewa dan bom di sana sini. Tetapi jihad lebih mulia dari itu dan jihad bukanlah keganasan. Amat menyedihkan apabila orang Islam sendiri mengikut telunjuk kafir dengan mengatakan jihad itu adalah keganasan lalu mengabaikan ilmu yang sangat-sangat penting dan bermanfaat ini.

Oleh kerana itulah tujuan risalah ini ditulis agar sedikit sebanyak dapat menarik perhatian kita agar mewujudkan kembali subjek pendidikan yang telah hilang atau dihilangkan ini dan seterusnya melahirkan umat Islam yang berakhlak mulia dan penuh bersemangat jihad.

PERBINCANGAN

2. Akhlak

Akhlak mengikut kamus Dewan (edisi keempat) bermaksud budi pekerti, kelakuan atau tabiat. Jika diperincikan lagi;

(a). Kelakuan bermaksud perangai.

(b). Tabiat pula bermaksud sifat batin seseorang yang mempengaruhi tingkahlakunya.

(c). Manakala budi pula bermaksud akal atau kebijaksanaan; dan pekerti pula bermaksud kelakuan atau perbuatan.

Oleh itu bolehlah ditakrifkan akhlak itu adalah tingkahlaku dan perangai yang mempengaruhi perbuatan seseorang itu samada baik atau buruk dengan menggunakan kebijaksanaan akalnya.

Walaubagaimanapun, tidak perlu diperpanjangkan takrif akhlak di sini, tetapi takrif akhlak yang lebih menyeluruh dan mudah difahami dengan maksud yang ingin disampaikan;

‘Akhlak adalah kekuatan jiwa yang mantap hingga mendorong seseorang memilih apa yang baik dan mendatangkan kebaikan ataupun memilih perkara yang jahat dan salah dengan menggunakan pertimbangan syariat Ilahi dan fitrah yang sempurna.’ (Akhlaqun Nabi SAW [Dr. Ahmad Abdul Aziz])

Keutamaan Akhlak

Di dalam Al-Quran terdapat begitu banyak ayat-ayat yang membicarakan berkenaan akhlak secara jelas atau berisyarat. Terdapat perintah dan larangan yang berulang-ulang sebagai dorongan kepada manusia agar dapat mengambilnya sebagai pedoman yang dapat menghindarkan akhlak yang keji. Antara firman Allah Subhana wa Ta’ala;

Terjemahan : Surah Ali 'Imran [3] : 110

110. Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia; menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; dan beriman kepada Allah.

Cukup sekadar satu contoh di atas dan yang paling penting adalah; perhatian Al-Quran terhadap akhlak terbahagi kepada beberapa perkara;

(a). Akhlak kepada akidah atau keimanan (akhlak kepada Allah, Malaikat, Rasul-Nya, Kitab-kitab-Nya dan seterusnya yang membicarakan keimanan).

(b). Akhlak kepada diri, individu dan masyarakat sekeliling (menuntut ilmu, pergaulan, perniagaan, politik dan sebagainya).

(c). Akhlak kepada selain manusia (jin, binatang dan alam sekitar).

Sedikit tambahan : Mengenai kata-kata ‘sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia’adalah merupakan tuduhan tidak berasas kepada jin. Mungkin jin itu lebih baik akhlaknya dari orang yang mengeluarkan kata-kata penghinaan seperti itu (terdapat dalil mengenai kesalahan kata-kata itu dalam sahih Muslim dan lainnya.

Begitu juga ‘perayaan Earth Hour’ hanya bertujuan bersuka-suka dan bukan kerana menyedari betapa pentingnya alam sekitar dan akhlak manusia yang memusnahkannya. Sebaliknya mereka berkumpul lelaki dan wanita dalam kegelapan dan berbuat kemungkaran. ‘Google’ sahaja dan klik ‘images’ dan lihat apa yang mereka lakukan.

Di dalam hadis;

Hadis : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang soleh." Sahih (Riwayat Al-Bukhari, Ahmad dan Al-Hakim, dinukil dari Akhlaqun Nabi SAW Jilid 1 halaman 34 [Dr. Ahmad Abdul Aziz). Dalam kitab Adabul Mufrad bernombor 207 tanpa lafaz ‘yang soleh’.

Hadis : Dari Abu Darda’ r.a : Nabi saw bersabda, “Tidak ada amalan yang lebih berat daripada akhlak yang baik dalam mizan (timbangan amal) di hari kiamat kelak.” [204] Sahih Bukhari (Adabul Mufrad)

Hadis : Dari Anas r.a : (Bersabda Rasulullah saw), "Kaum Mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya." [2646] Hasan Sahih. Riwayat Abu Ya'la dalam At Targhib

Banyak lagi hadis-hadis berkaitan akhlak ini dan tiga di atas adalah memadai yang mencakupi kepentingannya dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

3. Jihad

Perkataan jihad berasal dari perkataan Arab, ‘Jihadun’. Kata dasarnya jahada yang bererti berusaha keras atau bersungguh-sungguh. Pada perkataan ini juga muncul perkataan lain, iaitu ijtihad bermaksud bekerja dengan bersungguh-sungguh.

Secara ringkas mengenai maksud yang ingin disampaikan;

‘Jihad adalah segala daya usaha yang bersungguh-sungguh, pengorbanan dengan jiwa dan harta benda sepenuh hati ke arah menghapuskan segala bentuk kemungkaran demi untuk menegakkan agama yang diredhai Allah (Islam).’ (Jihad Dalam Al-Quran [A/Prof. Dr. Mustaffa bin Abdullah])

Kata Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhowi, ‘Kalau kita renungkan, kita akan mengetahui bahawa jihad dan ijtihad saling berkaitan. Ijtihad sebagai jihad di bidang ilmiah manakala jihad adalah sebagai satu ijtihad yang berbentuk perbuatan... Hasil ijtihad dan jihad akan hilang jika tidak ada orang yang menyinari jalan (mulia) ini.’ (Ijtihad Dalam Syariat Islam [Dr. Yusuf al-Qaradhowi])

Keutamaan Jihad
Perkataan jihad dalam Al-Quran, kepentingannya dan perintah dan larangannya begitu banyak dalam Al-Quran, antaranya firman Allah Subhana wa Ta’ala;

Terjemahan : Surah Al-Furqaan [25] : 52

52. Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al-Quran dengan jihad yang besar.

Pendekatan jihad yang dilakukan oleh Rasulullah saw yang terdapat dalam Al-Quran melalui beberapa peringkat, antaranya;

(a). Berjihad dari segi pemikiran (pendidikan, penyebaran, penghayatan, akhlak yang mulia, melaksanakan perintah dan menjauhi larangan-Nya, menentang hasutan syaitan dan yang seumpamanya).

(b). Berjihad dengan jiwa dan harta benda (persediaan persenjataan, kekuatan jasmani, kekuatan ekonomi, politik dan sebagainya).

(c). Berjihad menentang kezaliman dan mewujudkan keamanan (bukan bermaksud menjatuhkan pemimpin atau rampasan kuasa, tetapi memastikan umat manusia (Islam khususnya) bebas dari cengkaman penindasan, bebas menjalani kehidupan, adab-adab peperangan dan sebagainya).

Di dalam hadis disebutkan juga antara kepentingan jihad;

Dari Abu Hurairah r.a : Nabi saw bersabda, “Barangsiapa yang mati sedangkan ia belum pernah berjihad dan tidak mempunyai keinginan untuk berjihad, maka ia mati dalam satu cabang kemunafikan.” [3097] Sahih Nasa’i

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, .... “Perumpamaan orang yang berjihad di jalan Allah adalah seperti orang yang beribadah (pada malam hari) dan berpuasa (pada siang hari), tanpa merasa penat melakukan solat dan puasa, sampai orang yang berjihad di jalan Allah itu kembali.” (Diringkaskan dari pertanyaan sahabat, ‘apakah amal yang dapat menyamai jihad?’ Lalu Rasulullah saw menjawab, “kalian tidak dapat melakukannya atau menyamainya.”) [1619] Sahih Al-Tirmidzi

Dari Anas r.a : Nabi saw bersabda, “Perangilah kaum musyrikin dengan harta, tangan dan lisan kalian.” [3096] Sahih Nasa’i

Begitulah antara kepentingan jihad dan semangatnya perlu ada dalam setiap jiwa yang bergelar atau mengaku mukmin.

KESIMPULAN

4. Kesan Pendidikan Akhlak dan Jihad

Perlu kita ketahui, Islam bukanlah keimanan (Iman) dan syariat (Islam) semata-mata. Tetapi ia juga adalah Ihsan, iaitu meyakini bahawa setiap perbuatan zahir atau batin dilihat Allah Subhana wa Ta’ala. (Sahih Bukhari, Bab Iman hadis bernombor 42)

Justeru itu tidaklah sempurna keimanan dan keIslaman orang yang mengaku beriman dan Islam itu, jika mempunyai akhlak yang buruk dan perbuatan yang menolak dan menjatuhkan Islam itu sendiri. Malah perbuatan mereka memburukkan Islam itu seolah-olah mereka sengaja membiarkan diri mereka jatuh ke dalam lubang kemunafikan.

Antara kesan daripada pendidikan akhlak dan jihad yang diterapkan dalam sistem pendidikan samada sekolah, universiti, kuliah-kuliah di masjid, kursus-kursus motivasi dan dimana sahaja yang memungkinkan, maka dengan izin Allah akan terlahirlah umat Islam yang;

1. Benar-benar mencintai Allah, Rasul-Nya dan sesama saudara (Islam) mereka termasuk keluarga dan sahabat handai.

2. Dihormati oleh orang-orang bukan Islam.

3. Memakmurkan negara dari segi ekonomi, pertahanan, sosial dan pemerintahan.

4. Mampu mempertahankan Islam dan negara dari pencerobohan orang kafir.

5. Mencintai ilmu.

6. Mempunyai daya usaha yang bersungguh-sungguh dan semangat yang kental.

7. Saling tolong menolong.

8. Cinta kepada keamanan.

9. Menghormati sesama mereka.

10. Penyatuan umat Islam dalam menghadapi fitnah besar yang akan datang.

Itulah antara sebahagian dari kesan-kesan dari pendidikan akhlak dan jihad dalam pendidikan dan banyak lagi kesan-kesan positif yang boleh terlahir darinya. Ia bukan sahaja memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara, malah kepada umat manusia seluruh dunia umumnya.

Semoga kita dapat beri perhatian mengenainya dan bergerak melaksanakan apa yang termampu untuk menyampaikan, membangunkan dan melaksanakan akhlak yang mulia dan menyalakan semangat jihad yang berterusan.

Wallahu’alam

Rujukan :

1. Seperti rujukan yang ditulis di atas.

2. Membina Generasi Berakhlak [Abdul Ghalib Ahmad Isa].

3. Punca Kelemahan Umat Islam [Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhowi.




0 comments:

Post a Comment