-->

Perselisihan Umat Islam

Posted by Unknown Tuesday, October 2, 2012 0 comments
Perselisihan Umat Islam
PENDAHULUAN

Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

PENGENALAN

Dari Irbadh bin Sariyah r.a : Pada suatu hari, Rasulullah saw berdiri berkhutbah di tengah-tengah kami. Kemudian beliau saw memberikan nasihat yang sangat mengesankan, yang menggetarkan hati dan membuat air mata bercucuran.

Beliau saw ditanya, “Ya Rasulullah saw, engkau menasihati kami dengan nasihat perpisahan, maka berilah kami amanat.”

Rasulullah saw bersabda, “Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah SWT, dengan mendengar dan taat, meskipun yang memerintahkan kamu adalah seorang budak dari Habsyah. Kamu akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat sesudahku, maka hendaklah kamu berpegang pada Sunnah-ku dan Sunnah-Khulafa ur Rasyidin yang mendapat petunjuk (khalifah pengganti selepas Rasulullah saw).

Gigitlah dengan gigi gerahammu dan jauhilah perkara-perkara baru, sesungguhnya setiap bidaah (perkara baru dalam agama yang diada-adakan) adalah sesat.” [0040] Sahih Ibnu Majah, [4607] Sahih Abu Daud

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam (SAW) telah mengisyaratkan kepada kita bahawa, selepas kewafatan beliau (SAW) maka akan berlaku perselisihan yang sangat dahsyat, iaitu perselisihan yang menakutkan, menggerikan atau perselisihan yang besar.

Walaubagaimanapun, dalam keadaan demikian Rasulullah saw menasihati kepada umatnya agar tetap berpegang kepada al-Sunnah dan para sahabatnya radiyallahu ‘anhum (r.a) yang mendapat petunjuk, iaitu mengikut pemahaman sahabat yang mendapat petunjuk kerana mereka lebih memahami al-Sunnah dan faham apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw.

Ini berdasarkan di dalam hadis;

Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a : Rasulullah saw bersabda, “Janganlah mencaci sahabat-sahabat ku. Demi Zat yang jiwa ku berada dalam kekuasaan-Nya, seandainya salah seorang dari kalian menginfakkan emas sebesar Gunung Uhud, nescaya tidak akan menyamai (pahala) satu mud (cupak) salah seorang di antara mereka (para sahabat Nabi saw) dan tidak pula menyamai pahala setengahnya.” [3861] Sahih Al-Tirmidzi

Dari Imran bin Hushain r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sebaik-baik umat ku adalah mereka yang ada di zaman saat aku diutus (generasi sahabat), kemudian umat pada zaman setelahnya (generasi tabi’in), kemudian umat pada zaman setelahnya (tabi’ut tabi’in).

Setelah itu akan muncullah;

(a). Orang-orang yang bersaksi padahal mereka tidak diminta bersaksi,

(b). Mereka berjanji atas diri mereka untuk melakukan sesuatu tetapi tidak mereka kerjakan,

(c). Mereka suka berkhianat dan tidak menepati janji dan

(d). Banyak diantara mereka yang kegemukan (terlampau banyak makan dan minum atau bermewah-mewah).” [4657] Sahih Abu Daud

Setelah Rasulullah saw mengingatkan kita mengenai perselisihan yang sangat dahsyat, kemudian diingatkan mengenai tetap berpegang kepada al-Sunnah dan mengikutinya ketika bencana itu, lalu beliau (SAW) mengingatkan kita agar menjauhkan diri dari perkara-perkara agama yang ditambah-tambah atau diada-adakan.

Di dalam sebuah hadis;

Dari Aisyah r.ha : Nabi saw bersabda, “Barangsiapa yang membuat-buat perkara yang baru di dalam perkara (agama) kami ini yang bukan darinya, maka tertolak.”

Dalam lafaz yang lain disebutkan, Nabi saw bersabda “Barangsiapa yang membuat perkara yang baru selain dari yang telah kami perintahkan nescaya perkara itu tertolak.” [4606] Sahih Abu Daud juga Ibnu Majah dan Muttafaq ‘Alaih.

PERBINCANGAN

Perkataan ‘Kamu akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat sesudahku’ adalah perkara yang sangat penting. Antara perselisihan yang diucapkan oleh Rasulullah saw dalam hadis (0040 – Ibnu Majah) adalah mengenai ibadat-ibadat yang diada-adakan (bidaah) dan agar mentaati pemerintah walaupun berlainan bangsa (bukan bermaksud agar mengangkat orang kafir sebagai pemerintah- ia memerlukan satu perbincangan khusus yang lain (Rujuk Surah Al-Maa'idah [5] : 51).

Tetapi bukan perkara itu yang hendak dibincangkan dalam risalah ini tetapi apa yang ingin dikongsi atau difikirkan bersama adalah, apakah lagi perselisihan yang dahsyat itu atau fitnah-fitnah yang lainnya yang mungkin sama besar dan lebih besar lagi?

1. Memerangi Sesama Muslim

Dari Abdullah bin Umar r.a : Rasulullah saw bersabda, “Hati-hatilah kamu! Janganlah kamu kafir kembali sepeninggalanku, di mana sebahagian kamu membunuh sebahagian yang lain (memerangi saudara se-Islam).” (0054)

Dari Jarir bin Abdullah r.a katanya : Rasulullah saw bersabda ketika haji Wada’, “Dengarkanlah wahai orang-orang!” Beliau (SAW) kemudian bersabda, “Janganlah kalian kembali kepada kekafiran setelah (sepeninggalan)ku dengan saling memerangi antara sesama (orang Islam).” [3200] Sahih Ibnu Majah

Rasulullah saw melarang sama sekali mencaci sesama Muslim apalagi memerangi dan membunuhnya kerana ia boleh menyebabkan kekufuran. Fitnah yang menakutkan ini berlaku seperti gelapnya malam, ertinya kita tidak tahu siapa yang benar. Masing-masing berhujah menegakkan Islam tetapi saling bunuh membunuh.

Apabila terjadi perkara seperti ini, hendaklah kita jangan sesekali mencampuri atau menyebelahi mana-mana pihak kerana kedua-duanya Islam. Sementara itu jangan pula kita sebarkan fitnah-fitnah yang menimbulkan kekacauan kepada umat Islam. Antara hadis yang menerangkan perkara ini;

Dari Hudzaifah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tidak dapat masuk syurga, orang-orang yang menyiar-nyiarkan berita untuk mengacau (merusuh).” [0082] Sahih Muslim

Dari Abu Musa Al-Asy’ari : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya ketika hari kiamat mendekat, akan terjadi fitnah yang datang seperti gelapnya malam. Seseorang akan beriman di pagi hari dan menjadi kafir pada petang harinya.

Orang yang duduk akan menjadi lebih baik dari orang yang berdiri, orang yang berjalan lebih baik dari daripada yang berlari-lari kecil.

Maka (saat itu) patahkanlah anak panah kalian di batu (tidak melawan). Dan jika ada seseorang datang (untuk membunuh kalian), maka bersikaplah seperti sebaik-baik manusia.” [4259] Sahih Abu Daud

‘Mematahkan anak panah’ atau dalam lafaz lain dari sahih Muslim, ‘Memukulkan mata pedangnya ke batu (Nombor 2458), ini adalah kerana kita perlu sedaya upaya menghindarkan diri dari memerangi atau membunuh sesama Muslim;

(a). Dari Ibnu Umar r.a : Bahawa dia mendengar Nabi saw bersabda, “Sepeninggalanku janganlah kamu menjadi kafir, yang satu memenggal leher yang lain.” [1869] Sahih Bukhari

(b). Dari Ahnaf bin Qais r.a : (Diringkaskan)... Rasulullah saw bersabda, “Apabila dua Muslim berkelahi dengan menggunakan pedang masing-masing, maka yang terbunuh dan membunuh masuk neraka.” [2459] Sahih Muslim

2. Tiga Gabungan yang Mencemar Islam

Dari Tsauban r.a (pembantu Rasulullah saw) : Rasulullah saw bersabda, (telah diringkaskan dalam hadis yang panjang).... “Di antara yang aku takuti atas umatku adalah;

(a). Para pemimpin yang menyesatkan, dan

(b). Sebahagian umat ku yang menyembah al-autsan (berhala),

(c). Sebahagian kabilah dari umat ku bergabung dengan kaum musyrikin.... (dan seterusnya hingga habis hadis).” [3207] Sahih Ibnu Majah

Tiga gabungan ini boleh mencemar agama Islam kerana orang-orang kafir akan mengambil contoh Islam daripada mereka, lalu mereka yang mengikuti sunnah Rasulullah saw akan dipanggil ‘jumud’, fanatik, kasar dan lainnya.

3. Fanatik

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa berperang di bawah panji kesesatan, menyerukan kepada ‘asobiyyah atau marah kerana ‘asobiyyah, maka matinya adalah Jahiliyyah.” [3205] Sahih Ibnu Majah

Maksud ‘Asobiyyah’ yang diletakkan di dalam kitab Ibnu Majah ini sebagai fanatisme. Iaitu orang yang fanatik dan taksub hingga berlakunya kezaliman. Kefanatikannya hingga menghalalkan membunuh sesama Muslim, mengkafirkan orang sesuka hati dan lain-lain yang bertentangan dengan Islam. 

4. Hanya Umat Islam Boleh Menghancurkan Islam

Dari Amir bin Sa’ad r.a : Rasulullah saw bersabda, (Diringkaskan pada hadis yang panjang) “Aku memohon kepada Tuhanku supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang, maka diperkenankan,

Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti terjadi pada kaum Nabi Nuh a.s, Firaun) permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. (Dalam lafaz lain, ‘Tidak ada satu kekuatan musuh yang dapat menghancurkan mereka (umat Islam) kecuali mereka sendiri walaupun musuh mereka bersatu mengelilingi mereka’-Rujukan Hadis [2463] dari Tsauban r.a)

Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan.” [2464] Sahih Muslim

Umat Islam hanya dapat dibinasakan oleh orang Islam itu sendiri. Walau berkumpul musuh-musuh Islam mengelilingi umat Islam, maka umat Islam tidak akan tewas seluruhnya dan ini jaminan Allah Ta’ala. Selain itu umat Islam juga tidak akan hancur kerana bencana alam yang terjadi, ini juga jaminan Allah Ta’ala.

Tetapi umat Islam akan tewas dan binasa kerana pertentangan sesama sendiri iaitu, umat Islam yang mengaku Islam, mencintai Rasulullah saw, membaca Al-Quran, bersolat dan sebagainya tetapi mempunyai akhlak yang buruk sehingga apabila berlaku perselisihan mereka melupakan kesatuan Islam dan berfatwa tanpa merujuk Al-Quran, Al-Sunnah dan para ulama yang berpegang kepada Al-Quran dan Al-Sunnah.

Setelah terjadi demikian, maka umat Islam akan menjadi berkelompok dan berpuak-puak, sedangkan agama mereka satu dan tuhan mereka Allah yang Esa dan penghulu mereka Rasulullah saw. Kita boleh lihat hari ini betapa benar sabda Rasulullah saw.

PENUTUP

Banyak lagi perselisihan di antara umat Islam namun walaubagaimanapun ia adalah pecahan-pecahan dari hadis di atas. Persoalannya apakah yang perlu kita lakukan? Di dalam sebuah hadis, seorang sahabat bertanya tentang apa yang perlu dilakukan ketika fitnah itu;

Dari Huzaifah bin Yaman r.a : (Diringkaskan dari hadis yang panjang) ... (Huzaifah r.a bertanya), ‘Apakah yang engkau perintahkan kepada saya kalau seandainya saya mendapati hal yang demikian (perkara buruk atau fitnah atau huru-hara yang terjadi)

Jawab Nabi (SAW), “Hendaklah engkau tetap dalam jamaah kaum Muslimin dan mengikuti Imam (pemimpin) mereka.”

Saya (Huzaifah r.a) bertanya, ‘Bagaimana kalau mereka tidak mempunyai jamaah (kesatuan) dan tidak mempunyai Imam (pemimpin)?’

Jawab Nabi (SAW), “Jauhilah semua kumpulan biarpun kerana itu engkau sampai menggigit urat-urat kayu sehingga engkau meninggal dalam keadaan itu.” [1873] Sahih Bukhari

Jamaah yang dimaksudkan adalah ahl al-sunnah wa al-jamaah. Sekiranya tiada jamaah dan pemimpin yang mengikuti sunnah ketika itu, maka hendaklah kita tetap berpegang kepada Al-Quran dan Al-Sunnah walaupun bersendirian sehinggalah ajal kita sampai.

Selain itu jangan pula kita (orang awam) mengkafirkan orang sesuka hati dan melaga-lagakan pula sesama ulama dan orang Islam lain kerana;

Dari Ibnu Umar r.a : Rasulullah saw bersabda, “Siapa yang berkata kepada saudaranya, ‘Hai Kafir!’ maka ucapan itu kembali kepada salah seorang antara keduanya. Jika apa yang diucapkannya benar, maka ucapan itu tertuju kepada orang yang dipanggil. Jika tidak, maka ucapan itu tertuju kepada yang mengucapkan.” (0049) Sahih Muslim

Mereka yang suka melaga-lagakan serta mennyebarkan berita-berita yang boleh menyebabkan pergaduhan pula;

Dari Hudzaifah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tidak dapat masuk syurga, orang-orang yang menyiar-nyiarkan berita untuk mengacau (merusuh).” [0082] Sahih Muslim

Biarlah para ulama yang membicarakan hal itu dan kita ikuti mereka (ulama) yang benar-benar mengikuti Al-Quran dan Al-Sunnah dengan pemahaman yang sebenar. Pemahaman yang sebenar adalah mengikuti sabdaan Nabi saw;

Dari Imran bin Hushain r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sebaik-baik umat ku adalah mereka yang ada di zaman saat aku diutus (generasi sahabat), kemudian umat pada zaman setelahnya (generasi tabi’in), kemudian umat pada zaman setelahnya (tabi’ut tabi’in)... [4657] Sahih Abu Daud

Semoga Allah Subhana wa Ta’ala melindungi kita dari fitnah-fitnah yang dahsyat ini. Perlu diingat ini hanyalah permulaan fitnah-fitnah sebelum terjadinya fitnah yang lebih besar akan datang, iaitu fitnah Dajjal (fitnah terbesar dalam sejarah umat manusia kerana tiada satu Nabi pun kecuali mereka mengingatkan setiap umat mereka akan kedatangan Dajjal ini).

Surah An-Nisaa' [4] : 59

59. Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

Wallahu’alam.



0 comments:

Post a Comment