-->

Manisnya Iman

Posted by Unknown Tuesday, October 2, 2012 0 comments
Manisnya Iman

Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Pengaruh Iman Dalam Kehidupan

Iman merupakan perkara yang sangat penting dalam kehidupan kita. Seperti yang kita fahami, ringkasnya iman adalah percaya dengan sepenuh keyakinan dan melaksanakan serta membenarkan sepenuhnya zahir dan batin apa yang terdapat dalam rukun iman.

Risalah ini tidak terdapat rukun iman, hakikat iman, pembatalannya atau sifat dua puluh mahupun tauhid tiga. Semuanya biasa kita pelajari dan mudah pula untuk didapati. Oleh itu tidak perlu dihuraikan di sini.

Risalah ini bertujuan untuk berkongsi maklumat mengenai sesuatu yang jarang kita dengar, jarang diajar dan jarang pula diambil perhatian oleh orang ramai, iaitu pengaruh keimanan dalam kehidupan. Semua orang mengaku beriman, tetapi sejauh mana iman itu menjadikan dia seorang ‘mukmin’? Atau sejauh manakah iman itu meresap ke dalam hatinya?
Apakah maksud manis?

Manis bermaksud lazat, nikmat dan seumpamanya. Selain itu ia juga bersinonim dengan akhlak yang murni seperti berbudi pekerti, bersopan berbahasa dan seumpamanya.
Apakah maksud iman?

Seperti yang kita fahami, ringkasnya iman adalah percaya dengan sepenuh keyakinan dan membenarkan serta melaksanakan (perintah dan larangan) sepenuhnya zahir dan batin tanpa ragu. Ia bukan mengenai pengetahuan (hafalan) dalam rukun iman sahaja tetapi iman itu juga terzahir dalam kehidupan sehariannya.
Apakah makna ‘pengaruh iman dalam kehidupan’?

Ia membawa maksud kesan iman terhadap jiwa sehingga kekuatan atau lemahnya iman seseorang itu terzahir melalui pemikirannya, kata-kata, perbuatan, akhlak dan sebagainya.

Apakah maksud ‘manisnya iman’?

Oleh itu manisnya iman boleh dimaksudkan sebagai ‘sesuatu nikmat yang dicari untuk merasai hebatnya keimanan hingga menimbulkan pengaruh kepada jiwa hingga terlahir kepada zahirnya, iaitu iman itu melahirkan akhlaknya, pemikirannya atau segala fikiran dan perbuatannya dalam menjalani kehidupan’.

Ciri-ciri imannya umat Islam itu adalah mereka dengar dan taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya serta rasa harap pada rahmat dan takut pada azab-Nya dan percaya pada hari pembalasan dan ketetapan dan ketentuaan-Nya. Semua umat Islam tahu perkara ini, tetapi apakah cara atau kaedahnya mendapatkan kemanisan iman?

Sedikit Perbandingan Keimanan Orang Kafir dan Umat Islam

Jika kita melihat dalam Al-Quran mengenai perkataan-perkataan tahap iman seseorang itu, ia boleh terzahir dengan pemikiran dan perbuatan mereka. Jika boleh, cuba kita buat perbandingan iman kita dan iman mereka di bawah ini. Ia boleh dikategorikan;

(a). Perkataan imannya orang yang mengikut keimanan orang Yahudi;

Terjemahan : Surah An-Nisaa' [4] : 46

46. Iaitu orang-orang Yahudi, mereka mengubah perkataan dari tempat-tempatnya[i]. Mereka berkata : "Kami mendengar", tetapi kami tidak mahu menurutinya[ii]. Dan (mereka mengatakan pula) : "Dengarlah" sedang kamu sebenarnya tidak mendengar apa-apa[iii]. Dan (mereka mengatakan) : "Raa'ina"[iv], dengan memutar-mutar lidahnya dan mencela agama.

Imannya orang Yahudi;

[i]. Mengubah ayat-ayat dari kitab Allah dan mentakwil bukan mengikut takwilan sebenarnya, tetapi mengikut hawa nafsu mereka.

[ii]. Mereka mendengar tetapi tidak mahu dan tidak akan sekali-kali mentaatinya.

[iii]. Mereka mengatakan mereka mendengar tetapi tiada satu pun yang masuk ke hati mereka.

[iv]. Mereka menggunakan perkataan dari kitab dan perkataan dari Rasul mereka sendiri untuk menghina agama bagi menolak ketetapan hukum (kesimpulan dari tafsirannya).

Imannya orang Yahudi berdasarkan logik akal mereka semata-mata. Apabila berbeza dengan apa yang diinginkan mereka, mereka akan mengubahnya serta merancangnya agar semua berada di bawah telunjuk kekuasaan mereka. Mereka melampau dalam menggunakan logik akal mereka.

(b). Perkataan imannya orang yang mengikut keimanan orang Nasrani;

Imannya orang Nasrani;

Terjemahan : Surah Al-Maa'idah [5] : 112

112. (Ingatlah), ketika pengikut-pengikut Isa berkata: "Hai Isa putera Maryam, sanggupkah Tuhanmu menurunkan hidangan dari langit kepada kami? " Isa menjawab: "Bertakwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang yang beriman."

Imannya orang Nasrani, mereka terlalu taksub kepada mukjizat para Rasul mereka daripada kekuasaan Allah. Jika terdapat sesuatu keajaiban maka barulah dikatakan Rasul dan diikuti oleh mereka. Tetapi, setelah ditunjukkan segala macam mukjizat kepada mereka, lalu dikatakan Nabi Isa a.s itu anak Allah. Mereka melampau mengenai perkara-perkara yang ghaib.

(c). Perkataan imannya orang yang mengikut keimanan orang Musyrik;

Imannya orang Musyrik;

Terjemahan : Surah Al-An'aam [6] : 37

37. Dan mereka (orang-orang musyrik Mekah) berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) suatu mukjizat dari Tuhannya?" Katakanlah: "Sesungguhnya Allah berkuasa menurunkan suatu mukjizat, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui."

Terjemahan : Surah Al-Anfaal [8] : 32

32. Dan (ingatlah) ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata: "Ya Allah, jika betul (Al-Quran) ini, dialah yang benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih."

Imannya orang Musyrik hanya kepada apa yang dilihat oleh mata dan akalnya sahaja. Mereka melampau dalam perkara ghaib dan juga kepada logik akal. Malah terdapat segelintir mereka ‘mengkafirkan’ sesama mereka yang membina berhala besar.

Ertinya, mereka percaya kepada perkara-perkara tahyul kemudian membawa persamaan-persamaan itu dengan agama yang lain untuk membuktikan kebenaran tahyul itu. Malah mereka mencabar Allah jika mampu, turunkanlah azab kepada mereka jika Al-Quran itu adalah benar.

Perselisihan Turut Berlaku Pada Orang Kafir

Perlu kita ketahui, perbezaan mazhab akidah ini berlaku kepada seluruh umat manusia dan bukannya terjadi kepada umat Islam sahaja. Malah kucar-kacir perbezaan mazhab akidah orang kafir lebih buruk lagi dari umat Islam.

Maksudnya, umat Islam apabila berselisih masih mempunyai asas dan pegangan (Al-Quran dan Al-Sunnah), tetapi orang kafir? Mereka terus hanyut dalam kesesatan mereka. Ini bermakna, mereka sedang berpecah dan perpecahan itu sangat besar, sangat melemahkan emosi dan mereka hidup dalam keadaan takut dan ragu.

(d). Perkataan imannya orang yang mengikut keimanan umat Islam;

Imannya umat Islam;

Terjemahan : Surah Al-Baqarah [2] : 285

285. Rasul telah beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya.

(Mereka, orang beriman mengatakan): "Kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya".

Dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat."

(Mereka berdoa): "Ampunilah kami wahai Rabb kami dan kepada Engkaulah tempat kembali."

Ciri-ciri orang imannya umat Islam itu adalah mereka taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya serta rasa harap pada rahmat dan takut pada azab-Nya dan percaya pada hari pembalasan dan ketetapan dan ketentuaan-Nya. Semua umat Islam tahu perkara ini, tetapi apakah cara atau kaedahnya?

Tiga Perkara Mendapatkan Manisnya Iman

Antara tiga cara membolehkan kita membawa pengaruh iman bertapak dalam hati dan seterusnya memberi pengaruh yang baik kepada diri dan umat Islam lainnya terdapat dalam sebuah hadis dari Rasulullah saw;

Dari Anas bin Malik r.a : Nabi saw bersabda, “Ada tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang akan maka ia akan merasakan manisnya iman iaitu;

(a). Hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya selain dari keduanya,

(b). Hendaklah mencintai seseorang hanya kerana Allah, dan

(c). Hendaklah benci untuk kafir kembali kepada kekafiran (termasuk juga keingkaran pada perintah Allah dan Rasul-Nya) sebagaimana benci apabila ia dilemparkan ke neraka.” [0016] Sahih Bukhari
Mencintai Allah dan Rasul-Nya Melebihi Segalanya

1. Berakhlak baik. Orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya akan mencontohi akhlak sebaik-baik manusia, iaitu akhlak Rasulullah saw. Dalam sebuah hadis;

Hadis : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang soleh." Sahih (Riwayat Al-Bukhari, Ahmad dan Al-Hakim, dinukil dari Akhlaqun Nabi SAW Jilid 1 halaman 34 [Dr. Ahmad Abdul Aziz). Dalam kitab Adabul Mufrad bernombor 207 tanpa lafaz ‘yang soleh’.

Hadis : Dari Anas bin Malik r.a, ia berkata : “Rasulullah saw adalah orang yang paling baik akhlaknya.” [2310] Sahih Muslim

Bagaimanakah pula contoh akhlak Rasulullah saw?

Hadis : Dari Yazid bin Babanus; Dari Aisyah r.a ia berkata (ketika menjawab pertanyaan Yazid bin Babanus mengenai akhlak Rasulullah saw): “Akhlak beliau (Rasululullah saw) adalah (segala bentuk akhlak mulia) dalam Al-Quran.” [234] Sahih Riwayat Bukhari - Adabul Mufrad juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan sahih mengikut kriteria Muslim.

2. Mengutamakan Allah dan Rasul-Nya dalam setiap urusan kehidupan terutamanya dalam tatacara melakukan ibadah zahir (solat, jihad, puasa dan lain-lain) dan batin (doa, keikhlasan, zikir dan lain-lain).

3. Mentaati Allah dan Rasul-Nya dalam setiap urusan kehidupan, iaitu taat kepada Allah Subhana wa Ta’ala dalam apa juga perintah dan larangan-Nya baik perintah dan larangan itu dalam Al-Quran mahupun apa yang diucapkan oleh Rasul-Nya, Nabi Muhammad saw.

Terjemahan : Surah Ali 'Imran [3] : 31

31. Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (mengikuti sunnah Rasulullah saw) nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, "Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum ia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya.” (0035)
Mencintai Seseorang Hanya Kerana Allah

Ia terbahagi kepada tiga iaitu; seseorang individu itu yang mencintai seseorang individu lain, individu yang mencintai masyarakat sekelilingnya dan individu yang mencintai sesuatu perkara atau perbuatan yang boleh mempengaruhi cara hidupnya.

1. Memilih pasangan atau teman hidupnya seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya.

2. Mencintai masyarakat yang mencintai Allah dan Rasul-nya.

3. Mencintai pekerjaan yang membawa kepada keredhaan Allah Subhana wa Ta’ala.

Hadis : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat kelak, ‘Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini Ku naungi mereka (mendapat perlindungan Allah) di mana tidak ada naungan yang lain selain naungan-Ku’.” [2197] Sahih Muslim
Membenci Menjadi Kafir dan Engkar Kepada Allah

Mungkin sebelum ini kita telah hanyut dilanda ombak dan dengan izin Allah dan nikmat kurnianya, Dia telah mendamparkan kita ke tepian dengan penuh hidayah dan petunjuk. Oleh itu janganlah sia-siakan hidayah tersebut, bersyukurlah kepada Allah dan bencilah, takutlah dan berharap agar tidak lagi mengulangi kesilapan yang lalu.

1. Rasa benci, takut dan berharap agar nikmat Islam dan keimanan ini tidak ditarik oleh Allah dan mati dalam keadaan kufur.

2. Rasa benci, takut dan berharap agar tidak lagi melakukan kemungkaran-kemungkaran dan maksiat.

3. Bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan tidak akan lagi melakukan kesilapan dan perilaku buruk masa lampau dan yakinlah sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Hadis : Dari Abu Al-Khudri r.a : Rasulullah saw bersabda, “Apabila seseorang masuk Islam kemudian Islamnya menjadi baik, nescaya Allah menghapus segala kejahatannya. Sesudah itu (Islamnya seseorang itu), setiap kebaikannya dibalas (Allah) sepuluh hingga tujuh ratus kali. Sedangkan kejahatannya dibalas (hanya) setimpal dengan kejahatannya itu, kecuali pula kalau Allah memaafkannya.” [0035] Sahih Bukhari

Oleh itu, marilah kita menghayati kembali tahap keimanan kita dan beranjaklah sedikit ke hadapan dalam melihat ciri-ciri orang beriman itu. Jika kita benar-benar menghayati iman itu; nescaya hati tidak akan berasa bimbang, jiwa akan berasa tenang dan segala kesedihan akan mula menghilang.

Terjemahan : Surah An-Nisaa' [4] : 136

136. Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari kemudian, maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya.

Rujukan :

Iman [Dr. Muhammad Naim Yasin]

Iman dan Kehidupan [Dr. Yusuf Al-Qaradhawi]

Tauhid [Imam Muhammad bin Abdul Wahhab]

Ilmu Tauhid [Ustaz Abdul Latif dan Dr. Rosmawati Ali]



0 comments:

Post a Comment