-->

Pengakuan cinta Jung Suk Won

Posted by Admin Friday, March 9, 2012 0 comments

AKTOR Jung Suk Won membuat pengakuan secara terbuka mengenai hubungan cintanya bersama penyanyi Baek Ji Young atau Ji Young dalam program televisyen Come To Play yang ditayangkan pada 5 Mac lalu.

"Saya bertemu dengan Ji Young secara kebetulan. Dia sangat berbeza daripada apa yang saya bayangkan.

"Saya sangka dia pasti seorang yang peramah dan gila-gila tetapi hakikat sebenarnya dia seorang yang pemalu. Selepas itu, saya melihat dia sebagai seorang wanita, bukannya penyanyi popular," ujar Jung Suk Won yang berusia 27 tahun.

Sambung aktor itu lagi, hubungannya dengan penyanyi yang berusia 36 tahun itu semakin rapat apabila mendapati terlalu banyak persamaan antara mereka meskipun usia Ji Young sembilan tahun lebih tua daripadanya.

"Selama enam bulan pertama perkenalan kami, hubungan kami hanya seperti hubungan antara adik dan kakak sahaja, tetapi suatu hari Ji Young beritahu yang kami harus berhenti berjumpa.

"Alasannya, saya baru sahaja memulakan kerjaya dan skandal cinta bersamanya hanya akan memusnahkan kerjaya saya. Dia sangat bimbang dan saya meyakinkannya bahawa sesiapa yang mempunyai bakat akan berjaya. Apabila saya cakap begitu, dia menangis dan kami meneruskan hubungan seperti biasa," kata Jung Suk Won tentang perjalanan cinta mereka.

- Dipetik dari KOSMO! Online 08032012

Kualiti Seefood setanding antarabangsa

Posted by Admin 0 comments

FILEM kita wajah kita, kata-kata yang jelas dan tepat sekali menggambarkan kualiti hasil sesebuah filem sebenarnya saling berhubung kait dengan acuan yang kita bentuk pada mulanya.

Seefood, sebuah filem animasi terbitan Silver Ant Sdn. Bhd. yang diedarkan oleh Grand Brilliance Sdn. Bhd. merupakan salah satu hasil kerja anak muda tempatan yang patut dibanggakan.

Selain berjaya menghasilkan kualiti grafik bertaraf antarabangsa, filem yang sudah banyak kali dipertikaikan ejaan Seefood yang sebenarnya bermaksud seeing food itu memaparkan jalan cerita yang sarat pengajaran serta amat sesuai buat tontonan si cilik.

Filem animasi arahan Goh Aun Hoe itu juga telah berjaya ditayangkan di lebih 90 buah negara di seluruh Amerika Utara, Eropah, Amerika Latin dan Asia.

Malah, menurut Aun Hoe lagi filem animasi berbahasa Inggeris pertama di Malaysia itu mengekalkan usaha 100 peratus bakat tempatan.

“Filem ini memakan masa selama lebih dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya manakala kajian yang dilakukan untuk Seefood juga mengambil masa yang panjang iaitu hampir sepuluh tahun.

“Sebab filem ini lambat dikeluarkan adalah kerana masalah kewangan. Selain sukar untuk mendapatkan bahan mentah dan tenaga kerja yang bermutu, kami perlu sentiasa memantau kualiti yang bakal dihasilkan,” katanya yang ditemui ketika sidang akhbar dan sesi tayangan perdana filem animasi Seefood di Cineleisure, Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Seefood mengisahkan tentang pengembaraan seekor jerung bernama Pup dan sahabat baiknya Julius ke daratan apabila berdozen telur ikan jerung dalam terumbu karang dicuri pemburu haram dari perairan.

Tanpa mengambil kira risiko dan bahaya yang bakal ditempuhinya, Pup nekad untuk menyelamatkan adik-beradiknya.

Julius yang khuatir akan keselamatan Pup muncul dengan sutnya yang menyerupai robot akuarium untuk memburu makanan di daratan.

Malangnya, Julius pula yang menjadi mangsa tangkapan seorang nelayan yang tamak dan Pup pula yang bertindak untuk menyelamatkan kawan baiknya daripada menjadi hidangan sup jerung istimewa.


Penggambaran filem itu dilakukan oleh studio animasi Silver Ant Sdn. Bhd. dan penyelidikan terhadap pelbagai jenis spesies ikan serta persekitarannya dijalankan selama tiga bulan di akuarium, kawasan kampung di Sekinchan serta beberapa buah pantai di sekitar kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Seefood dibiayai menerusi geran dana e-kandungan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI) dan telah memenangi tiga anugerah dalam Majlis Anugerah Animasi pada tahun lalu menerusi kategori animator tiga dimensi terbaik, animasi terbaik dan montaj animasi terbaik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn. Bhd., Ahmad Izham Omar, pihaknya bagaimanapun tidak meletakkan sebarang sasaran untuk filem itu.

“Mendapat kutipan pecah panggung bukanlah tujuan utama filem animasi ini dihasilkan tapi kami mahu memotivasikan animator-animator tempatan untuk bersama-sama menyumbangkan kemahiran dalam industri ini bagi penghasilan animasi yang bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

Sari kata bahasa Melayu dan Mandarin disertakan untuk filem Seefood yang mula ditayangkan pada 8 Mac (hari ini) di 65 buah panggung wayang seluruh Malaysia dan Brunei.

Sementara itu, filem animasi itu juga bakal ‘terbang’ ke Jerman dan Indonesia pada bulan depan seterusnya ke China pada bulan Jun nanti.

- Dipetik dari KOSMO! Online 08032012

Cat Farish serik masuk ICU

Posted by Admin 0 comments
SEBULAN lalu, kecoh apabila bekas anggota kumpulan Ruffedge, Cat Farish atau nama sebenarnya Farrish Zaquan Ramli dikejarkan ke Hospital Pakar KPJ Tawakkal disebabkan tekanan darah tinggi. Semuanya gara-gara bebanan kerja.

Malah, keadaannya pada waktu itu dikatakan kritikal apabila Cat dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua hari.

Trauma melalui pengalaman selama dua hari di ICU dengan seluruh badan dipenuhi oleh wayar dan tiub, Cat berjanji untuk menjaga kesihatannya sebaik mungkin dan nekad untuk tidak kembali ke ICU.

Cat menceritakan pengalamannya sepanjang berada di hospital selama hampir sepuluh hari kepada Kosmo!.

 

Bila anda dimasukkan ke hospital?

Tiga minggu lepas saya dikejarkan ke hospital selepas hidung saya mengeluarkan darah tanpa henti selama sembilan jam. Lebih memburukkan keadaan, darah turut keluar dari mata saya dan doktor memberitahu salah satu sel pada hidung saya pecah. Pihak hospital terpaksa menempatkan saya di ICU untuk rawatan lanjut. Selama seminggu saya berada di hospital untuk rawatan manakala di ICU saya ditempatkan selama dua hari.

Jadi sekarang anda diagnosis penyakit apa?

Doktor kata saya menghidap penyakit tekanan darah tinggi. Sebelum ini saya tidak pernah menghidap penyakit tersebut. Punca saya diserang darah tinggi kerana kurang rehat dan bebanan kerja yang melampau.

Kenapa anda terlalu ‘gila’ kerja sehingga tidak menjaga kesihatan?

Saya akui memang gila kerja dan kerap kali pulang ke rumah apabila hari menjelang subuh. Saya juga jenis suka berfikir terlampau mendalam dan otak saya juga masih aktif ketika tidur.

Boleh ceritakan pengalaman anda sepanjang berada di ICU?

Memang tak dinafikan apabila berada di ICU kita akan ingat tentang mati. Melihat pada pesakit-pesakit yang berada di situ juga membuatkan kita takut. Selepas melalui pengalaman selama dua hari di ICU, saya berjanji akan lebih peka dalam menjaga kesihatan diri. Jika dulu saya keluar lepas subuh dan balik sebelum subuh, kini saya akan pastikan balik sebelum pukul enam petang demi kesihatan diri dan juga isteri serta anak yang sedang membesar.

Apa aktiviti terkini anda sekarang?

Sekarang saya sibuk menguruskan dua siaran Malaysia iaitu My TV dan eRama TV. Saya juga akan menghasilkan sebuah lagu mengenai penyakit yang dihidapi saya iaitu lagu empat serangkai. Lagu ini menceritakan tentang penyakit empat serangkai yang ditakuti manusia iaitu darah tinggi, buah pinggang, jantung dan kencing manis. Saya juga akan menerbitkan sebuah telefilem yang menampilkan Kamal Adli dan pelakon sinetron Indonesia popular Nada Cinta, Mikha Tambayong yang bertajuk Mila Got Mail.

- Dipetik dari KOSMO! Online 08032012

Tiada istilah bersara

Posted by Admin 0 comments

SEMENJAK muncul sebagai pemenang dalam rancangan nyanyian Asia Bagus pada tahun 1993, ia telah membuka lembaran baharu dalam kehidupan Amy Mastura. Selepas kejayaan tersebut, artis kecil molek itu pantas mencipta populariti sebagai anak seni dalam tempoh yang cukup singkat.

Mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya sebagai pramugari Malaysian Airline System Bhd. (MAS) pada tahun 1994, ia dilihat sebagai satu langkah yang tepat apabila Amy berjaya menempatkan diri sebaris dengan penyanyi popular lain ketika itu.

Selain berhasil mengecap kejayaan sebagai penyanyi, artis kelahiran Batu Gajah, Perak itu juga turut mencipta nama dalam bidang lakonan. Berjalan seiring dengan kariernya yang cemerlang, dia turut dipilih sebagai duta atau jurucakap kepada beberapa produk terkenal.

"Saya masih ingat lagi semasa mula-mula menjadi penyanyi, saya tidak yakin bidang seni mampu menjamin masa depan yang lebih cerah. Ketika menghasilkan album sulung dahulu, saya tidak berani letak jawatan sebagai pramugari kerana risau tidak mampu pergi lebih jauh dalam bidang nyanyian.

"Sekarang saya sangat bersyukur dan berpuas hati dengan apa yang telah dikecapi selama ini. Bukan mudah untuk bertahan dalam tempoh yang lama memandangkan kini semakin ramai artis baharu yang muncul dan saya anggap ia merupakan cabaran buat diri saya," ujarnya dengan penuh rendah diri ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu jenama Kose di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sudah 19 tahun bergelar artis, isteri kepada Alvin Tham Suffian ini menyatakan minatnya dalam bidang seni tidak pernah pudar. Dia juga sangat terharu dengan sokongan daripada peminat yang tidak pernah putus buatnya.

Ujarnya, biarpun kehidupannya kini bahagia bersama suami serta dua orang anak perempuannya, Adriana, 11, dan Adalia, 7, ia bukanlah penghalang besar buat dirinya untuk meneruskan karier sebagai anak seni.

"Setakat ini saya sudah puas dengan apa yang telah diraih sepanjang bergelar pelakon dan penyanyi, tetapi itu bukan bermakna sudah tiba masanya untuk saya terus melupakan bidang yang telah saya ceburi selama ini.

"Apabila sudah terbabit dalam bidang seni, bagi saya tiada istilah bersara dalam kerjaya ini. Jadi, tidak mustahil kalau saya akan terus bergelar sebagai anak seni sampai bila-bila," ujarnya.

Menurut Amy lagi, dia juga beruntung kerana pembabitannya dalam bidang seni tidak dihalang oleh suami tercinta. Apa yang penting, keluarga harus diutamakan.

"Sebenarnya suami tidak terlalu menyokong, namun dia juga tidak pernah menghalang apa yang saya lakukan sekarang. Walaupun sibuk dengan kerjaya, apa yang penting saya tidak mengabaikan urusan rumah tangga," ujarnya.

Bercerita lebih lanjut tentang kerjaya nyanyian pula, Amy menyatakan dia sudah merancang untuk menghasilkan single baharu dan sedang dalam proses untuk mencari lagu yang sesuai.



Jelasnya, buat masa ini dia lebih selesa untuk menghasilkan single dan tidak mahu terlalu terburu-buru setelah kali terakhir menghasilkan album berjudul Happy pada tahun 2009.

"Walaupun sudah agak lama tidak muncul dengan album baharu, tetapi rezeki sebagai penyanyi tetap ada apabila saya masih lagi mendapat tawaran untuk membuat persembahan dalam majlis-majlis korporat," beritahu Amy.

Mengenai dunia lakonan pula, Amy yang pernah terbabit dalam pementasan teater Siti Di Alam Fantasi pada tahun 2000 memberitahu dia sekadar tampil menerusi drama serta telefilem dan terpaksa menolak berlakon filem memandangkan dia perlu memberi keutamaan terhadap rumah tangga.

Sentiasa senyum

Dengan tubuh kecil molek dan sentiasa bersikap ceria, ramai yang terlupa bahawa Amy kini sudah mencecah usia 41 tahun. Sementelah dia sendiri seperti tidak dimamah usia tua.

Membongkar rahsia tentang dirinya yang kelihatan muda berbanding usianya sekarang, Amy menyatakan dia tidak mengamalkan sebarang petua tertentu untuk kelihatan cantik walau usia sudah melewati angka 40.

"Sebenarnya tiada sebarang rahsia atau petua tertentu yang saya amalkan, sebaliknya apa yang paling penting adalah sentiasa senyum dan cuba elakkan diri untuk berada dalam situasi tertekan.

"Mengenai pemakanan pula saya tidak terlalu berpantang sangat dan turut mengambil makanan yang berat termasuk memakan nasi setiap hari. Kalau malam pula saya hanya akan makan sebelum pukul lapan malam dan selepas waktu itu biasanya saya akan makan biskut atau sandwich jika lapar," ujarnya tentang rutin kecantikan dirinya.

Pulau Okinawa

Ternyata dengan memiliki raut wajah yang cantik juga telah memberi tuah kepadanya apabila dilantik menjadi duta produk kecantikan antarabangsa jenama Kose sejak tahun lalu.

Menariknya, Amy sangat bertuah apabila diumumkan bahawa dia telah menyambung kontrak untuk menjadi duta produk Kose buat tahun kedua berturut-turut dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini.



"Saya bersyukur kerana sekali lagi diberi rezeki dan peluang bekerjasama serta melanjutkan kontrak dengan Kose buat kali kedua pada tahun ini. Sepanjang menggunakan produk jenama ini saya dapati ia memang sesuai dengan kulit saya.

"Apa yang menariknya, produk yang dihasilkan oleh Kose ini bukan sahaja sesuai untuk wanita seusia saya, malah ia juga boleh digunakan oleh golongan wanita muda dengan harga sangat berpatutan," jelasnya.

Ditanya tentang program-program yang disertai sepanjang bergelar duta produk tersebut, Amy menjelaskan selain terbabit dengan rangka promosi yang diaturkan, dia telah dibawa ke Pulau Okinawa, Jepun baru-baru ini.

Ujarnya, dia telah ke pulau tersebut pada bulan Februari lalu bersama beberapa orang duta produk Kose dari negara lain seperti Hong Kong dan Thailand untuk menyertai kempen pemuliharaan terumbu karang.

"Sepanjang menjadi pramugari selama lima tahun, saya sudah menjelajah hampir 30 buah negara, tetapi ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke Pulau Okinawa.

"Selama empat hari berada di sana, saya telah berpeluang untuk menyaksikan sendiri langkah-langkah yang dilakukan untuk pemuliharaan terumbu karang serta berkongsi pengalaman dengan duta Kose yang lain," ujarnya penuh teruja.

Selain Kose, Amy juga merupakan jurucakap atau duta kepada beberapa produk terkenal seperti jam tangan Omega, makanan kesihatan Quaker Oats dan peralatan senaman Takashima.

- Dipetik dari KOSMO! Online 08032012

Mercedes Emas Milik Pak Arab (9 Gambar)

Posted by Unknown Wednesday, March 7, 2012 0 comments
Mercedes bersalut emas milik jutawan UAE. Apa pendapat korang... cool? cantik? atau membazir?









Macam Mana Nak Hilangkan Panau Atau Kurap?

Posted by Anonymous Thursday, January 12, 2012 0 comments
Bagi yang tinggal di asrama, masalah dijangkiti panau dan kurap memang biasa berlaku. Lebih-lebih lagi jika dapat rakan sebilik @ se"dorm" yang kurang menitikberatkan kebersihan.

Pun begitu, bila balik kampung nanti (Cuti Raya Cina), boleh cuba satu petua tradisional untuk hilangkan kurap mahupun panau yang bakal saya kongsikan sekejap lagi. Bahan utama yang perlu dicari ialah akar pokok lengkuas genting.

Lengkuas genting ni agak berbeza sikit daripada lengkuas biasa. Saiz dan akarnya lebih kecil. Sila rujuk gambar di bawah ya. Anda boleh mencarinya di kawasan tanah poros yang cepat menyerap air.

Pokok Lengkuas Genting 


Baiklah cara merawat kurap dan panau dengan tumbuhan ini seperti berikut;

1. Ambil akar pokok lengkuas genting dalam segenggam.

2. Bersihkan akar tu dulu sebelum diparut dan diperah.

3. Tujuan memarut dan memerah akar tu adalah untuk mendapatkan airnya.

4. Air tersebut kemudiannya boleh disapu atau alirkan saja pada bahagian yang mengalami kurap ataupun panau.

Ulang petua ini beberapa kali sehinggalah panau ataupun kurap pada kulit anda hilang sepenuhnya.

Selain akarnya yang boleh dibuat ubat panau dan ubat kurap, daun beserta akar pokok ini juga boleh digunakan bagi mengatasi sakit urat dan sakit tulang.


Begini caranya;

1. Ambil beberapa helai daun dan akar lengkuas genting.

2. Bersihkan daun serta akar tadi.

3. Tumbuk lumat kesemua bahan di atas.

4. Rebuskan bahan yang telah ditumbuk lumat sampai mendidih.

5. Setelah mendidih, suamkan air rebusan tadi.

6. Kemudian, barulah sapukan air rebusan pada bahagian yang terasa sakit.

Sapu lagi selepas beberapa jam hinggalah rasa sakit urat ataupun sakit tulang berkurangan dan kembali lega seperti sediakala.

Bahayanya Minuman Berkarbonat

Posted by Admin Monday, December 26, 2011 0 comments

Minuman berkarbonat memang popular dalam kalangan masyarakat. Tidak kira musim, minuman menjadi hidangan terutamanya apabila berkunjung ke premis makanan segera. Datang dengan pelbagai jenama minuman berkarbonat menjadi hidangan apatah lagi pada musim perayaan.

Biar apa jenamanya, secara umum, kandungan minuman berkarbonat adalah sama banyak gula.

Selalunya soal kesihatan dan aspek pemakanan sering dipinggirkan seketika pada musim perayaan. Walaupun tahu minuman berkarbonat tinggi kandungan gulanya, kebanyakan kita menghidangkannya kepada keluarga mahupun tetamu tanpa rasa bersalah.

Tarikan iklan yang menceritakan ‘keasyikan’ menikmati minuman ringan dan berkarbonat memang sukar dilawan.

Malah, lebih membimbangkan, minuman berkarbonat juga menjadi antara daya penarik utama di kantin sekolah, termasuk sekolah rendah.

Sedar atau tidak, kanak-kanak akan menjadi mangsa kerana kealpaan kita. Kanak-kanak antara golongan paling suka minum minuman berkarbonat hingga kadangkala ada yang langsung menolak apabila diberikan air kosong. Jika minum pun hanya seteguk dua, itupun selepas dipaksa.

Kajian mendapati, pengambilan minuman ringan dan berkarbonat yang berlebihan akan menyumbang kepada masalah kesihatan, terutama berlebihan berat badan dan obesiti.

Minuman berkarbonat sebenarnya tidak mengandungi zat, tetapi banyak kalori yang datang daripada gula. Banyak bukti saintifik menunjukkan ia ada kaitan langsung dengan pertambahan berat badan.

Masalah pertambahan berat badan ini menjadi satu faktor risiko kepada penyakit kencing manis di kalangan orang dewasa muda. Pertambahan berat badan ini adalah proses yang sentiasa berlaku sebagaimana peningkatan usia. Gabungan dua faktor ini juga mendedahkan seseorang kepada risiko serangan jantung dan strok.

Obesiti membimbangkan

Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak kini mencecah tahap membimbangkan. Kanak-kanak yang minum satu tin minuman berkarbonat (325 mililiter) setiap hari mempunyai lebih kurang 10 peratus tenaga berbanding kanak-kanak lain. Tenaga ini (yang datang daripada gula), jika tidak digunakan, akan disimpan dalam badan sebagai lemak.

Kajian yang disiarkan dalam jurnal General Dentistry mendapati, tabiat minum minuman berkarbonat boleh meningkatkan masalah kerosakan dan pereputan gigi.

Pakar Pemakanan Institut Jantung Negara (IJN), Ho Shiau Fen, mengakui hakikat ini.

Bukan gula saja yang menjadi faktor menyebabkan kerosakan gigi, tetapi kandungan asid dalam minuman berkarbonat boleh melemah serta mengikis lapisan enamel (lapisan luar) pada gigi. Ini mempercepatkan proses pereputan gigi.

“Mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 peratus daripada keperluan kalori seseorang. Sebagai contohnya, jika keperluan kalori seseorang itu adalah 2000 kalori, jumlah gula yang boleh diambil adalah kurang daripada 200 kalori, iaitu kira-kira 10 sudu teh gula.

Jumlah ini termasuk gula tersembunyi. Ini adalah jumlah yang diperoleh daripada setiap makanan kita, sama ada dalam teh, kopi atau makanan yang bergula ketika bersarapan, makanan sarapan, makanan tengah hari, sajian minum petang dan makan malam.

“Satu tin minuman berkarbonat mengandungi antara enam hingga 10 sudu teh gula. Ini bermakna, jika kita minum satu tin minuman berkarbonat, kita sudah mencapai sukatan gula daripada yang disarankan.

“Masalah pengambilan gula yang terlalu banyak biasa berlaku pada musim perayaan. Boleh dikatakan setiap rumah menghidangkan minuman berkarbonat. Itu belum mengambil kira kandungan gula dalam kek, biskut atau hidangan lain,” katanya.

Ramai orang menganggap tidak mengapa untuk minum satu tin minuman berkarbonat, asalkan ia diiringi beberapa gelas air kosong. Mereka percaya air kosong akan ‘mencairkan’ kepekatan minuman berkarbonat.

Hakikatnya, anggapan ini salah dan perlu diperbetulkan segera. Tidak kira berapa banyak air kosong diminum, kandungan gula daripada minuman berkarbonat yang masuk ke dalam badan tetap sama. Tetap melebihi tahap keperluan harian kita. Masalah ini bertambah buruk dengan pengambilan makanan manis seperti kek dan biskut hari raya.

Untuk mengurangkan kuantiti gula diambil, kurangkan pengambilan minuman berkarbonat adalah cara paling praktikal.

Ini boleh dibancuh atau dicampur dengan air kosong dan dikongsi minum beramai-ramai. Bagaimanapun, jika air dibancuh dihabiskan sendirian, kandungan gula yang masuk ke badan tetap sama, iaitu antara enam hingga 10 sudu teh.

Di kalangan kanak-kanak pula, terlalu banyak minum minuman berkarbonat menyebabkan mereka kurang minum air kosong atau minuman berkhasiat seperti susu. Selain gula, kebanyakan minuman kola memasukkan kafein sebagai penambah rasa. Kafein adalah ‘bahan perangsang’ yang membuatkan kita ketagih untuk minum lebih banyak dan kerap.

Banyak kajian mendapati, kafein meningkatkan pengeluaran kalsium daripada tulang, menyebabkan kita terdedah kepada masalah reput tulang atau osteoporosis jika diambil dalam jangka masa panjang.

Justeru, jika dapat, pada musim perayaan ini elak mengambil terlalu banyak minuman berkarbonat, sebaliknya gantikan dengan pilihan lain seperti teh atau jus buah-buahan.

Malangnya, budaya orang kita yang menerima saja minuman dihidang tuan rumah boleh memburukkan keadaan, terutama di kalangan pesakit kencing manis.

Dalam hal ini, Ho menyarankan pesakit berterus terang dengan tuan rumah atau meminta minuman lain (pilihan terbaik adalah air kosong) sebagai pengganti. Malah, sebagai tuan rumah juga, kita mesti prihatin keadaan kesihatan tetamu.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak mengenai keburukan meminum terlalu banyak minuman berkarbonat.

Pada masa sama, mereka juga mesti menjadi teladan kepada anak dengan mengamalkan minum banyak air kosong.

Misteriousgrapersz